Entry: VI ~ JAJA MENANTU CHE' PA Tuesday, November 13, 2007



EPISOD 6

Aku, Mereka & Waktu

 

Sewaktu aku berumur 13 tahun, aku telah membaca Hikayat Misa Jayeng Kesuma. Ceritanya panjang amat, tentang perjalanan cinta Raden Inu Kartapati mencari tunangnya, Raden Galuh Chendera Kirana yang merajuk.

 

Akulah 'Raden Inu' yang tidak pernah jemu menunggu dan menanti itu. Dan dialah 'Raden Galuh' insan pilihan hati yang tiada tolok bandingannya. Cuma dalam hakikat sebenar, aku perempuan dan dia lelaki: Jaja & Din.

 

Konfliknya bermula pada saat Raden Inu ingin melihat wajah Raden Galuh yang waktu itu sedang bermain di taman larangan. Raden Inu ingin tahu bagaimana rupanya Raden Galuh kerana sejak awal mereka bertunang tanpa pernah saling melihat. Lalu Raden Inu menyuruh pengiringnya masuk ke taman dan melukis gambar Raden Galuh.

 

Ya lah, dulu-dulu mana ada kamera digital,mana ada telefon yang canggih-canggih! Semuanya mesti dilukis. Kisah mereka mengingatkan Jaja... ya, seperti mereka juga... kami juga tidak pernah saling mengenali. Cuma yang berbezanya, kami tidak pernah dijodohkan oleh orang tua seperti cerita panji itu!

 

Permintaan Raden Inu sudah diketahui dek sang peri yang nakal. Dia telah menukar diri menyamar menjadi Raden Galuh Chendera Kirana. Cuma dia merupa menjadi perempuan hodoh. Pada saat Raden Inu melihat lukisan 'Raden Galuh' yang sangat hodoh itu, dia tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan Raden Galuh.

 

Aku jatuh hati pada saat pertama kali memandang gambarnya; pada matanya yang hitam, teduh, menunduk dan memikat. Dia tidak pernah hodoh di mataku. Betulkan kata orang, dari mana datangnya cinta, kalau tidak dari mata turun ke hati. Ah, orang dulu-dulu memang pandai bermain kata-kata... indah dan mengasyikkan.

 

Atas kerana rasa sedih dan terhina, Raden Galuh membawa diri bersama pengiring-pengiringnya.

 

Sedangkan aku bersendirian membawa cintaku... aku keseorangan: cuma bertemankan hatiku sahaja.

 

Kemudian cerita sebenar terangkat, dan cerita penuh berliku itu berakhir dengan ternyata cinta sejati terbukti dan terserlah.

 

Aku tahu namanya Din...

 

Itu sudah memadai, kerana tahun lalu aku mengenali gambarnya dan hari ini aku mengetahui namanya. Tahun depan? Ah, tahun depan aku bertemu orangnya pula... hidup ini sekadar suatu perjalanan waktu. Kita melalui tahun yang sama... dan dalam perjalanan kita bertemu dengan orang yang tidak disangka-sangka pula... semoga esok masih ada.

 

Walaupun aku memujuk hatiku begitu, pengalaman di Hentian Duta itu benar-benar merubah hidup aku sepanjang minggu itu. Aku seperti tiada semangat dan berada di awang-awangan. Kagee telah dua kali menegur aku, sewaktu makan tengah hari kelmarin.

"Jaja, you dah jadi orang lain... I macam tak kenal you minggu ni... mana hilangnya mulut you becok tu?"

Hish, tak sangka Kagee rindu akan mulutku yang becok. Aku sudah jadi bisu Kagee, hati sedang memenjarakan seluruh rasa ceriaku, desis hati kecilku.

 

Aku menutup buku lama warna perang tua kepunyaan Mak Ndak aku. Teks sasteranya  semasa di tingkatan enam dulu. Entah kenapa aku menyukai cerita Jawa yang satu ini. Cerita mengarut tidak masuk akal langsung. Aku memang pelik. Semasa kecil tatkala Nini menyukai cerita rakyat koleksi, The Brothers Grimm dan Hans Christian Andersen, sementara aku pula gila pada segala hikayat Melayu, cerita-cerita berbingkai dan cerita Seribu Satu Malam serta cerita-cerita panji. Pelik.

 

 

Aku menyemak buku catatan dan menandakan semua tugasan penting sebelum pulang:

 

        Hadiah untuk abah

        Buku Volcano untuk Wassim

        Umi punya ubat kurus, ambil daripada Kak Aini

        Singgah Koperasi UM ambil buku pesanan Uncle Aqmar

        Beli kain kapas untuk baju kurung baru

        Jangan lupa bawa balik barang kiriman Mie untuk mamanya

 

Inilah yang malasnya, kalau kita nak balik kampung, dan rahsia kita sudah 'terheboh' seluruh negara. Semua orang ada sahaja hendak mengirim itu dan ini. Tiba-tiba sahaja yang lebih menyakiti hati SMS Mira menyusul:

 

Jaja, tolong ambil adik sepupu aku kat Politeknik Ungku Omar, aku dah bagi nombor hp Jaja. TQ

 

Amboi, Mira... bila pula aku buat perkhidmatan kereta sapu ni, tiba-tiba nak kirim orang pula. Rasanya tidak pernah ada pun mana-mana syarikat dispatch di dunia yang ada khidmat pos 'orang' macam ni. Aku tidak suka ada arahan yang sebegitu, tanpa meminta pendapat aku terlebih dahulu. Dia ingat, setelah dia berjaya memberi tip nama Din, aku sudah terhutang nyawa kepadanya. Baru sahaja jarum kesukaan aku untuk Mira menjadi 75 peratus minggu lalu, kini berkurangan 5 peratus pula. Geramlah Mira ni.

 

Tidak lama kemudian Mie menelefon, bercerita fasal sepupu Mira yang hilang tiket bas. Dan tidak dapat pulang ke kampung kerana tiket bas sudah habis. Kakaknya akan berkahwin. Lalu aku diminta untuk menumpangkan sepupu Mira itu dalam perjalanan aku pulang minggu ini. Aku tidak perlu bersusah, kerana aku hanya menghantar dan mengambil sepupu Mira di Plaza Tol Bertam sahaja.

 

Ya lah, ya lah... bencilah.

 

Pagi itu, selepas sahaja mengambil Qaulah di Ipoh, kami meneruskan perjalanan ke Universiti Teknologi Petronas (UTP), untuk menjemput Tuan Puteri Lala. Adik perempuan aku itu sudah tersenyum manis ketika melihat aku sudah di ruang asramanya. Agaknya sejak pagi dia menunggu dengan beg di situ macam pelarian perang. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk pulang. Aku tahu betapa dia tidak suka berada di UTP yang jauh dari rumah. Lala manja orangnya. Setiap kali dapat tawaran ke mana-mana yang jauh dari rumah dia akan menolak dengan satu alasan: jauh sangat. Selama ini abah dan umi sabar sahaja.

 

Bagaimana keadaan berubah setelah dia mendapat tawaran ke UTP sebelum keputusan SPM diumumkan. Kata abah kalau rumah ini boleh keluarkan ijazah untuk dia, abah pun tidak akan biarkan dia pergi jauh. Kata abah lagi, hanya ada satu cara yang boleh buat Lala terus tinggal di rumah. Abah cadangkan dia berkahwin dan jadi suri rumah sahaja. Lala, mana tahu abah sedang mengusiknya. Malam itu juga dia terus kemas barang-barangnya untuk ke UTP. Padahal hari kemasukan dua minggu lagi.

 

Lala, Lala... aku rasa dia sebenarnya overdose makanan ringan sebab tu kelakuannya macam tu. Tapi tidak sangka juga ya, Tuan Puteri Lala akan buat kursus kejuruteraan. Aku ingatkan dia akan jadi pengusaha makanan ringan. Abah dan umi kecewa kerana tiada siapa yang mengikut jejak mereka menjadi doktor. Wassim memang sudah tidak boleh diharap lagi sejak dia jatuh hati pada gunung berapi!!

 

"Buat kursus apa dekat politek," tanya Lala yang peramah.

Tidak terlintas untuk aku bertanya Qaulah soalan itu tadi. Teruknya aku. Aku hanya melayan lara di hati, dan membiarkan Qaulah di sebelah diam sahaja sejak dari Ipoh tadi.

"Diploma Ukur Tanah... tahun dua." Jawab gadis manis bertudung labuh rona kelabu lembut itu.

"Adila buat apa kat UTP." Tanyanya lembut, selembut warna bajunya.

"Panggil lah Lala! Saya baru dalam kelas persediaan." Kata Lala sambil tersenyum, tatkala aku menjelingnya.

"Oh, bakal juruukur la ni... dah habis la ukur seluruh Perak ni?" usik Lala.

"Dah... dari Batang Kali sampai ke Jawi... sudah." Kata Qaulah, tidak tahu Lala mengusik. Qaulah pelajar dari sekolah agama dekat Kodiang tu lurus orangnya. Tiba-tiba hatiku berdetik: dari Batang Kali sampai ke Jawi? 

 

Aku membelok ke kiri jalan, dekat-dekat dengan kedai laksa. Lala sudah hairan dan bertanya sama ada aku sakit perut atau teringin nak makan laksa. Aku tidak menjawab soalan Lala sebaliknya, aku beralih ke belakang memandang Qaulah.

"Qaulah... Parit Buntar termasuk tak?" tanya Jaja.

"Ya." katanya perlahan, kehairanan. Mujurlah dia cepat menangkap soalan Kak Jaja.

 

Aku menghulurkan sekeping gambar. Aku ke Parit Buntar Ahad itu. Maklumat daripada abang pemandu bas hari tu, tidak membantu. Apabila aku memberi gambaran tentang Din, dia cuma berkata: "Lelaki tu turun di stesen bas. Semua orang turun di stesen bas la, ni bas ekspres."

 

Itu sahaja. Dan aku tidak menemui sesiapa pun di sana. Penat saja aku memandu dalam demam selesema Ahad minggu tu. Parit Buntar macam pekan cowboy diserang penjarah sahaja: sunyi sepi.

 

Dan hari ini rancangan aku berantakan lagi kerana Qaulah dan Lala menumpang pulang. Mesti mereka hairan kenapa pula Kak Jaja mencari nisan dan kubur di tepi jalan.

"Oh, kak tak lihat ke nombor kilometer di batu jalan ni?"

Aku memandang. Ya, ada batu jalan... walaupun kabur tetapi masih boleh dibaca. Setelah menyimpan gambar ini setahun lebih, kenapa aku tidak perasan tentang tanda di batu jalan ini?

"Ini dekat sempadan Perak-Kedah Kak Jaja. Nanti saya tunjukkan. Tetapi Kak Jaja mesti masuk jalan kampung, jangan ikut lebuh raya." Ya, dah lama Kak Jaja masuk jalan kampung mencari 'dia'.

 

Aku berdebar-debar. Jantungku terasa bernafas semula. Terasa ingin mengambil Qaulah menjadi adik angkat tiba-tiba.

"Kak kita makan laksa dulu!" kata Lala dengan muka welfare. Jaja ni lah, orang nak cepat dia macam-macam pula.

 

[Bersambung] 

   20 comments

iejay
November 16, 2007   09:55 AM PST
 
kak su semalam iejay selak2 mengulang NTS... ohh jaja kahwin buat garden wedding rupanya... macam mana ya gaya ustaz dhe din masa garden wedding... tak sabarnya nak tahu...

hmm.. kenapa ya iejay macam terlepas bab peri yg nakal tu menyamar jadi raden galuh untuk menipu si raden inu tu? sama ada iejaydah terlupa bab itu atau pun edisi yg iejay baca tu edisi yg telah dipotong?huhuhu...
tganis
November 15, 2007   07:21 PM PST
 
bangganya... lala sama dgn saya.. tgh bt persediaan di utp.. tapi, lala amik jurusan apa kat sane?

hehe...
aura qaseh
November 15, 2007   02:04 AM PST
 
Salam Kak su....sy tgh menghayati lagu kroncong ni & senikatanya, sedih especially yg last part. Lepas tu tengok cover novel NTS.

Tadi Ptg dgr satu lagu senikatanya "jika cinta itu buta, butakanlah mataku" eee.. ngerinya dgr laguni. Maaf Kak su sy terkluar ring lak, komen pasal lagu.

Kak su maaf ya:D
yanti
November 14, 2007   06:31 PM PST
 
kaksu, parit buntar tak la se'cowboy' dulu..skrg dah meriah sikit..
hannah
November 14, 2007   02:26 PM PST
 
Suka suka suka...Hannah suka...pasal Jaja dah hampir dengan mission immpossible mencari si dia..tak rugi lah ek, amik Qaulah...buat khidmat masyarakat lebih sikit Jaja..nanti Tuhan permudahkan jalan!!!
Nuha
November 14, 2007   10:45 AM PST
 
Kak Sue,
apsal jaja tak cakap awal2..bleh suruh Nuha tolong carikkan..
dekat jer dgn rumah kita kat kampung tu...he..he..
alycia
November 14, 2007   09:15 AM PST
 
alahai kaksu, selalu camtu.. time yg suspen lah ada bersambung.. alycia gie makan laksa dulu lah hehe...
kak ee
November 14, 2007   07:37 AM PST
 
ishh... nk makan laksa ka nk cari che din ni? ingat kat my fren's husband yg saya panggil che din, klu tk silap org parit buntar :)
mijot
November 13, 2007   08:49 PM PST
 
seb bek mira suh jaja g amik sepupunya...dpt jaja teruskn misi cari si din tuh..haha
nina
November 13, 2007   07:37 PM PST
 
kaksuuuu bisnes jamu kurus kak Aini tu masih jalan ka?? kakmOn nak beli, pesan ngan jaja tambah 1 lg :p

btw td kakmOn baru aje makan laksam 2minggu dlm freezer ngehngehngehngeh

Khairyn
November 13, 2007   06:51 PM PST
 
kaksu ni.lah, orang nak cepat (tahu) dia macam-macam pula

hihihihihi
pinkJambu@GENG CHEDIN
November 13, 2007   03:57 PM PST
 
*duduk ataih batu jalan dengan harapan gown warna merahjambu ni menutup nombor yang Jaja cari *
wakakakaka

yeyeyey, Jaja cari tak jupe, yeyeye
mar
November 13, 2007   03:18 PM PST
 
uikkss..wan ada hati gak ngan che din..bak kata nacha, wan jaga ja lah che man kt umah nu..hikhikhik..

apapun kaksu, saya pun suka laksa..*dok teringat laksa yg pedas kt rebung*..
wanAmalyn
November 13, 2007   02:13 PM PST
 
kaksu...
wan pun suka laksa gak!! :P

waaa kaksu... tingat zaman2 yg kena jadi pak pacak tukang pegang kayu... tengah2 panas... huhuhu lagi satu, tingat kenangan manis ketika kena jelajah satu parit buntar buat kajian "Pusat Bandar Parit Buntar" termasuk kena jaga tepi jalan dok kira kereta lalu lalang.... huhuhu penatnyaaa dari pagi sampai ke malam....

hehehe... apsal time tuh wan tak jumpa ngan che din yer... klu tak sure che din itu aku yang punya... har har har
aura qaseh
November 13, 2007   01:44 PM PST
 
Kak su....dah baca dah tp nape stop part yg tgh suspen?

Kak su kita semua dah lihat gambar jaja, gambar din? "mata yg hitam,teduh,menunduk & memikat. Waduh, waduh kak su coolnya din ni.
nacha
November 13, 2007   01:37 PM PST
 
huhu.. mkn laksa kat Parit Buntaq? kat Kpg. Titi Serong ka? hehehe... kwn cheq ada kat situ.
nor ash burn
November 13, 2007   01:36 PM PST
 
sy dh tak ketinggalan lagi! hureyyyy!
yi ya ni
November 13, 2007   12:53 PM PST
 
terpaksa makan laksa dulu.. huhu
Em
November 13, 2007   12:21 PM PST
 
hehehe
siti zubaidah
November 13, 2007   12:18 PM PST
 
kak su..tak sabar....cepat sambung lagiiiii....

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments