Entry: I - Surat Bersampul Perang Tuesday, October 09, 2007



::~ TIGA PULUH SATU ~::


(i)

HARI MINGGU INI, sudah dua puluh tiga hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Farhana seronok bukan kepalang kerana akhirnya dia mendapat kesempatan untuk membawa anak-anaknya pulang berpuasa di kampungnya, di Kaki Bukit. Rumah kak chaq sudah bertukar menjadi restoran sejak petang Jumaat hari itu. Anak dia saja sudah lapan orang; bang tam sekeluarga pun berbuka di sini; lalu ditambah pula dengan Farhana dan anak-anaknya. Setiap kali tiba waktu berbuka atau bersahur; naik kembang tangan anak-anak perempuan kak chaq si Arisya dan Arini membasuh pinggan mangkuk tu. Si Adlina dan Ainun jangan dikata lagilah, memasak mengalahkan orang masak nasi kawah.

 

Farhana pula telah membawa anak-anak Ilham; Nafisya dan Najaah juga berpuasa di kampungnya. Selalunya mana Si Ilham tu mahu melepaskan anak-anaknya pergi jauh begitu. Tetapi Nafisya dan Najaah sudah merenggek nak ikut. Si Zetti tu memang macam tu, semuanya dia nak beritahu kepada Najaah. Sekejap saja rancangan mereka nak balik ke Perlis telah dibocorkan kepada sahabatnya itu. Ilham yang telah jadi serba salah terpaksa melepaskan anak-anaknya hari tu. Memandang ibunya pula kurang sihat Ilham memang tidak mahu menyusahkan Puan Darawisah. Tambahan pula Ilham perlu ke Termerloh hari Jumaat itu.

 

Ilham kata selepas dia balik dari Temerloh, dia akan ke rumah kak chaq, ambil anak-anaknya. Sepatutnya semalam lagi Ilham datang. Tetapi tengah hari kelmarin dia telefon, terpaksa menunda masa untuk ambil anak-anaknya. Budak-budak dua orang tu seronok bukan main, kerana papa mereka tidak jadi datang kelmarin. Si Nafisya teringin sangat nak tolong Adlina buat kuih raya. Sementara itu Si Najaah pula bimbang kalau-kalau baju kurungnya tidak sempat disiapkan... semalam Achik Anah baru memotongnya, hari ini barulah Achik Anah janji nak menjahitnya. Padahal raya kan lambat lagi dalam seminggu. Achik Anah dah janji akan pos kalau bajunya tidak sempat siap. Tetapi Najaah tu... tak nak balik selagi bajunya tidak siap. Ini kerana baju kakaknya dan baju Nuha dah siap sejak semalam lagi.

 

Yalah, salah Najaah juga. Dia yang mahu bajunya dijahit oleh Achik Anah. Anah manalah secekap Ainun tu. Kalau Adlina cekap dengan kerja-kerja dapur, Si Ainun ni pandai pula menjahit. Hari tu Anah dah kata pada kak chaq, bila Zetti besar sikit dia pasti saja akan hantar ke kampung untuk 'kursus' menjadi seorang wanita Melayu sejati seperti pandai memasak dan menjahit anak-anak kak chaq. Lalu abang tam menambah, kirim juga Zaynn sekali; Zaynn sudah sepatutnya diajar turun ke bendang tanam padi.

 

Walaupun anak-anak perempuan kak chaq tidak sepandai Nina anak abang teh, tetapi kak chaq sepatutnya berbangga. Mereka memang cekap dengan kerja dapur. Kak chaq dah boleh jadi mem, sebut aja nak makan apa... dayang-dayangnya itu pasti aja akan uruskan. Rumah mereka bersih dan berkilat. Kalau kak chaq beli saja kain di pekan, pasti siap baju kurung atau baju kedah atau kebaya idamannya dijahit oleh puterinya itu. Hujung tahun ni, kak chaq akan menerima menantu. Adlina sudah bertunang hari tu. Mudah sungguh Adlina membuat keputusan dalam hidupnya.

 

Farhana tidak mahu campur tangan. Hari tu apabila Adlina bertanyakan pendapatnya, Farhana cuma kata; Achik doakan yang terbaik untuk Adlina. Buatlah apa pun keputusan yang Adlina rasa baik. Lalu Adlina memilih untuk berkahwin dengan guru muda tu. Dan dia akan mengikut bakal suaminya itu ke Kota Marudu, Sabah selepas itu. Aku juga selalu merasakan Adlina terlalu muda untuk dibebani dengan tanggungjawab. Siapalah aku untuk menasihati dia. Perjalanan hidup aku tidak sesempurna perjalanan hidup orang lain. Biarlah Adlina membuat keputusan yang dia kira baik untuk dirinya itu.

 

Lagipun kalau di kampung ni, Adlina, anak sulung kak chaq tu sudah dianggap cukup dewasa. Dia sudah cekap di dapur, menjahit pun pandai... walaupun tidak sehalus jahitan adiknya, Ainun. Kalau dibandingkan dengan jahitan aku, pandai lagilah Adlina berkali-kali ganda. Jahitan aku bengkok-keledok aja... itu pun Si Najaah ada hati nak suruh aku jahitkan baju kurung raya untuk dia. Manjanya Najaah membuat Si Zaynn jadi cemburu sungguh. Tetapi Zaynn sudah pandai menyembunyikan hatinya sejak akhir-akhir ini. Mungkin sejak tinggal dengan abahnya, membuat dia jadi begitu.

 

Farhana mengukur baju yang sudah siap dijahit tu ke badan Najaah. Najaah nampak comel dengan baju kurung hijau muda berbunga-bunga kecil warna putih. Baju untuk Nafisya serta Nuha juga dari corak yang sama sudah siap berjahit dan digantung di tingkap. Cuma baju kurung untuk adik tiri Zetti, Si Mawardah yang belum siap lagi. Sekejap lagi tentu sahaja Ainun akan seterika baju Nafisya dan adik-adiknya itu sebelum dimasukkan ke dalam beg. Papa mereka akan datang petang nanti. Cantik, kemas dan halusnya jahitan Ainun. Kalau Ainun sudah tidak mahu bersekolah, tentu saja aku sedia untuk membiayainya belajar menjahit. Ainun sebaya dengan Nina. Tetapi mereka berbeza sekali. Nina tu bukan sahaja cantik, bersopan santun tetapi juga sangat pandai... dia dapat 9A untuk peperiksaan SPM baru-baru ni. Sedangkan Si Ainun, satu A pun tak ada. Kasihan betul. Kalau dengan mengetepikan kepandaian membuat kerja rumah, bersopan santun dan ilmu agama... anak-anak perempuan kak chaq kalah serba-serbi dengan Nina, bisik Farhana.  

 

Semalam Ilham tersadai di Temerloh, kerana ada tanah runtuh. Dia ada urusan mahkamah di sana. Salah seorang patientnya meninggal dunia dalam suatu kebakaran. Jadi dia ke sana untuk memberi keterangan sebagai saksi atas suatu tuntutan harta pusaka yang banyak. Ilham ada maklumat forensik kerana mangsa pernah membuat rawatan gigi dengannya. Lamanya kes tu, dari zaman Ilham masih bekerja di hospital kerajaan lagi. Dulu aku ingatkan kerja doktor hanya cabut dan palam gigi orang saja. Rupa-rupanya tidak, bidang kerja mereka lebih luas dari itu.

 

"Cantiknya, Achik Anah... buatlah satu lagi warna pink pula." Jerit Najaah.

Jahitan hodoh dan kasar begini dia kata cantik. Tengok... kan baju ni sudah conget begitu, kerana bulan lehernya silap diukur. Sudahlah pesaknya terbalik, kikik baju tu pun kecil sangat, tak padan langsung.

"Satu lagi ya, warna pink." Najaah masih memujuk.

"Mana sempat lagi, nanti papa dah nak datang... nantilah raya haji pula." Pujuk Anah.

"Malaslah nak balik lagi lah, Achik Anah."

"Janganlah begitu, Najaah... kan Najaah belum lagi buka puasa di rumah opah dan atuk lah... rumah Mak Su Idayu lah..." Pujuk Farhana, apabila dilihatnya Najaah pula-pula merajuk dengan buat-buat sedih jatuh terlentang macam panda.

 

Si Najaah ni kalau dia tidak dapat warna merah jambu terang mana dia jadi senang duduk. Farhana sengaja beli warna yang sama untuk semua gadis-gadis kecil tu, termasuk Mawardah, anak Masri. Nanti kalau mereka berempat terserempak di pusara kan nampak cantik saja. Menurut Ilham, tahun ini mereka akan menziarahi pusara Dalilah pada hari raya pertama lagi. Zetti suka sangatlah dapat bertemu dengan Najaah lagi di pusara tu nanti. Boleh kita main lagi, katanya tadi. Zetti, Zetti dia ingatkan kawasan perkuburan tu taman permainan ke?

 

"Bolehlah." Kata 'si panda' kecil tu lagi.

"Nanti mak su Najaah kecil hati... tak jadi bagi duit raya, macam mana" kata Farhana lagi. Dia dah tak larat nak menjahit lagi. Ainun tu sekejap saja dalam dua hari ni dapat menjahit berpasang-pasang, sedangkan dia sehelai ni pun bagai nak pitam.

 

Muka Najaah berubah dengan kata-kata Achik Anah. Semua orang tahu, yang Mak Su Idayu nak berinya lima puluh ringgit jika dia habis puasa tahun ni. Yalah, kalau dia tak dapat duit yang banyak bagaimana pula dia nak bayar 'duit setem' yang dijanjikannya dengan pak long. Pak long selalu marah kalau mereka tidak dapat menepati janjinya.

 

Akhirnya, Najaah termakan dengan pujukan Farhana.

"Tapi Najaah kena janji ni... kalau orang tanya baju kurung Najaah siapa buat... kata Kak Lang Nun tau, jangan kata Achik Anah yang buat... malulah Achik Anah nanti," kataku kepada Najaah.

"Eh, achik tak bolehlah macam tu... nanti orang tuduh Nun yang jahit baju tak senonoh macam tu... rugilah Nun, nanti orang tak mau buat menantu, achik lain lah... achik dah ada orangnya," balas abang kepada Ainun tu sambil tersenyum nakal.

"Betul juga tu Azam, tapi emak rasa... kalau Abang Imran tengok jahitan achik kamu tu... tentu dia tak jadi kahwin dengan achik... kasar jahitannya mengalah tali orang ikat gajah." Canda kak chaq.

 

Muka aku merah padam malu diusik begitu. Dalam banyak-banyak anak kak lang, Azam ni memang tak makan saman sikit. Dia suka usik aku yang bukan-bukan. Sejak dia tahu aku akan berkahwin, lagilah macam-macam dia usik.

"Tak pa lah, mak chak... lagi bagus kalau pak long tak mau dekat Achik Anah... bolehlah Najaah suruh papa yang kahwin dengan Achik Anah... kami pun dapat mama."

 

Semua orang ketawa dengan kata-kata Najaah. Tapi dalam hati Najaah takut juga, kalau pak long tahu dia menyampuk orang tua cakap... matilah dia kena marah. Jangan pula Kak Sya mengadu pula. Tapi Najaah juga tahu, Kak Sya juga harap papa yang kahwin dengan Achik Anah. Cuma dia tidak berani cakap aja. Najaah lainlah, dia sudah hantar surat dan sedang menunggu balasan surat dari....

(ii)

FARHANA DUDUK di beranda petang itu dengan tenang. Angin bertiup panas. Kerja-kerja dapur untuk berbuka nanti semuanya sudah Adlina dan adik-adiknya uruskan. Kak chaq di dalam bilik mengaji al-Quran seorang diri. Naim pun sudah lama ke masjid tidak balik-balik lagi. Farhana sedang sibuk membetulkan baju Najaah yang sudah tidak tentu arah jadinya. Nasib baik Zetti sudah insaf, tidak menyuruh uminya buat baju kurung untuknya. Sejak dia dah semakin besar ni, dia sudah tahu kalau baju itu tidak dijahit dengan sempurna atau tidak. Dulu masa dekat Norwich, dia tidak tahu baju kurung jahitan uminya teruk betul... lalu dia dengan megahnya akan menunjuk-nunjuk kepada teman-temannya yang tak ada baju kurung. Sekarang ni awal-awal lagi dia dah pesan: umi kali ni boleh tak... Kak Lang Nun yang jahit baju untuk Zetti. Farhana ketawa mendengar kata-kata Zetti. Tengok Nun, anak sendiri pun tak dah tak percaya pada jahitan Achik Anah.

 

Zaynn sudah mengikut sepupu-sepupu lelakinya ke kedai. Mereka nak beli minyak gas (minyak tanah) dan nak buat pelita untuk nanti malam. Pak Su Naim sudah janji nak beli bunga api kalau dia keluar ke Arau nanti. Zaynn tu tak tahu kenal letih agaknya, puasa-puasa begini pun masih larat nak ke kedai jalan kaki... dalam panas-panas begini. Zetti dan Najaah pula sudah jadi macam sayur tak cukup air. Itulah waktu bermain tidak ingat yang waktu berpuasa ada beberapa jam lagi... akhirnya kedua-dua gadis kecil itu telah terlelap di tepi tingkap dengan kipas terpasang kuat mengalahkan kipas helikopter. Padahal, kipas tu akan mengisar udara panas... silap-silap mereka akan jadi terhidrat pula. Tetapi kalau kita larang, dia akan kata sekejap saja umi... tengah panas ni, nanti Zetti perlahankan lah.

 

Nafisya yang rajin sangat tu, sudah ke dapur tolong Adlina, Arisya dan Arini buat kuih raya. Lagipun tunang Adlina nak datang bertandang raya nanti. Tentulah Adlina kena buat kuih macam-macam, nak ambil hati. Kak chaq macam emak juga, mananya dia nak biarkan anak perempuannya bebas ke sana ke mari. Kalau nak jumpa mesti datang ke rumah. Ni baru bertunang, Anah... tak tentu jadi kahwin lagi. Kata-kata kak chaq tentu sahaja mengingatkan aku pada kelakuan buruk aku dulu. Yalah, kalau yang kahwin pun boleh bercerai-berai... ini baru bertunang, sambung kak tam tanpa niat untuk menyindir aku. Tetapi ya lah hati aku terasa tersindir juga.

 

Raya ni juga, Imran akan datang untuk menyimpulkan kasihnya dengan akad dan nikah. Semakin hari, semakin aku rasa debarannya. Macamlah tidak biasa pula. Ya lah tentulah berdebar, kerana aku akan kahwin dengan cara baik-baik. Dengan cara paling terhormat, beradat. Di sebelah pihak aku, majlisnya kami akan buat ringkas sahaja, nak di selit-selit dengan kenduri arwah juga. Tetapi di sebelah sana... Puan Darwisah nak buat besar sikit... siap dengan kenduri dan majlisnya. Ya lah, Imran tu anak sulung... baru nak berkahwin untuk pertama kalinya.

 

Bau kuih semprit yang sedang dibakar membuat Farhana segera terkenang kepada emaknya. Sudah bertahun-tahun dia tidak membakar kuih dengan emaknya... dan kini peluangnya itu sudah tidak ada lagi.

 

Pernah suatu ketika dulu, dalam bulan Ramadan di Norwich... tiba-tiba dia terhidu kuih dibakar orang. Harum dan menusuk hidung. Ketika itu Farhana duduk keseorangan di bawah pohon mapel menunggu daun bertukar menjadi hijau. Lalu dia teringat kepada emak pada waktu itu, dan dia menangis seperti tidak cukup air mata.

 

"Assalamualaikum...."

Farhana yang sedang duduk di beranda tersentak dan memandang ke bawah.

"Eh, Imran... sorang, mana Ilham? Kenapa Ilham tak datang ambil anak-anaknya?" kata Farhana selepas menjawab salam dari bakal suaminya itu.

Imran memang kacak, jauh lebih kacak daripada Ilham. Farhana tersenyum dengan kata-kata hatinya, entah kenapa!

 

Ainun segera ke belakang mencari emaknya. Farhana segera mempelawa Imran ke atas rumah.

"Tak payahlah sekejap aja, boleh I cakap dengan you sekejap." Kata Imran dengan muka nampaknya lain daripada biasa.

Farhana turun dari beranda, dan mendapatkan Imran di tanah. Mereka berdiri tidak jauh dari beranda rumah.

 

"Kenapa?" tanya Farhana lembut.

"Farhana. I nak minta maaf kerana tak boleh meneruskan segala harapan kita. Setelah berfikir panjang, I baru sedar kita tidak serasi." Kata Imran spontan, tanpa mukadimah.

Farhana betul-betul terkejut. Dia jadi sakit hati dengan kata-kata yang meluncur dari mulut Imran petang itu.

"Kenapa Imran, apa yang tak kena dengan I?"

 

Lalu Imran bercerita seenaknya, sehingga terasa bingit di telinga Farhana mendengarnya. Farhana rasa nak terjelepok. Dia rasa sungguh terhina sekali. Selama ini, dia memang sudah tak ada hati untuk berumah tangga lagi. Setelah begitu lama dia terlepas bebas, sendirian... haruskah dia diikat dengan tanggung jawab? Tetapi Ilham terlalu baik untuk dilukai. Dia jadi leka dengan keikhlasan Imran, yang kononnya sekian lama menunggu Farhana. Lalu hatinya yang sudah lama ditinggalkan tak berpenghuni berkata; apa salahnya dia berkongsi hidup dengan lelaki sebaik Imran. Agaknya itulah yang dikatakan jodoh agaknya... tiba-tiba dia dijentik rasa dengan cinta lagi. Walaupun dia sedar cintanya tidak sebesar cinta Imran kepadanya.

 

"Eh, Imran naiklah... kenapa berdiri kat bawah saja. Farhana ajak Imran tu naik." Kata kak chaq yang baru muncul di muka pintu, di belakangnya Ainun dan Nafisya.

"Tak apalah saya tunggu IIham sekejap, nak ambil budak-budak ni."

"Ilham mana? Bolehlah berbuka kat sini ramai-ramai."

"Dia ke kubur isterinya sekejap, kak chaq."

"Budak-budak ni dah ke sana pagi tadi, Farhana dah bawa." Balas kak chaq dengan penuh mesra.

"Nanti dia datanglah. Maaf kak chaq, kami tak dapat berbuka di sini sebab nak singgah banyak tempat lagi ni." Kata Imran.

Imran baru sedar yang dia belum pun menyerah buah tangan yang dibawanya itu. Tadinya dia ingin cepat-cepat memutuskan hubungan dengan Farhana sebelum Ilham datang atau orang lain datang. Farhana pula berlari ke atas. Imran jadi sayu melihatnya pergi.

 

Janganlah orang kampung ni tahu yang aku tidak jadi berkahwin lagi, kasihan kak chaq kena menanggung malu itu. Walaupun Farhana tahu, inilah suratan takdir ke atasnya, tetapi dia tidak rela memalukan kakaknya pula. Setelah berkata 'ya' kepada Imran, dia ingatkan dia sudah tidak perlu menangis lagi, rupanya... air mata itu tetap menderu.

 

Kak chaq masih duduk di bawah berbasa-basi dengan bakal adik ipar tak jadinya itu. Mahu sahaja Farhana panggil kak chaq pada saat ini; dan katakan kepadanya... jangan dilayannya orang yang mulutnya bercabang dua tu. Munafik!

 

"Kami kena cepat kak chaq, sebab Si Ilham nak ajak budak-budak ni balik ke Kuala Kangsar, rumah opah dan atuk mereka." Kata Imran.

"Saya ni nak balik sampai ke Parit Buntar aja, ibu ada kat sana. Kalau di KL susah nak solat tarawih, masjid dekat rumah kami di KL tu... kena panjat tangga... kalau di kampung masjid sebelah rumah aja, kak chaq...." Sambungnya lagi.

"Oh, macam tu... tunggu lah sekejap, kak chaq suruh Nun sendukkan gulai ikan puyu untuk dibawa balik pada ibu Imran. Rempah gulai ni... kak chaq giling sendiri bukannya rempah serbuk, Imran." Sambung kak chaq lagi.

 

Amboi... terlebih ramah pula Si Imran ni ya, sudahlah kamu sakit hati aku... sekarang ni masih nak berpura-pura lagi. Cakap sajalah, saya tak berani nak buka puasa di rumah kak chaq sebab saya baru saja tak jadi kahwin dengan adik kak chaq, Farhana. Cakap, kenapa tak cakap. Biar semua orang tahu. Pengecut!   

 

_________
Catatan:

1. Sila dapatkan novel edisi penuh, Rindunya Kian Membara jika suka :) ahaks
2. Ada beberapa bahagian yang kaksu suka dalam cerita ini, antaranya inilah bahagiannya, kerana bahagian ini mengikatkan kaksu kepada suatu perkara...

   11 comments

saya
October 9, 2007   11:00 PM PDT
 
تقبل الله منا ومنك
"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"
"Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu"

Eid Mubarak dan Maaf zahir batin kepada kak su dan semua
kaksu
October 9, 2007   04:22 PM PDT
 
notei,
cikgu fizik kaksu pun, ajar kita orang jahit baju kurung... dia orang Johor... tapi la ni dah lupa

siti,
selamat hari raya juga... daripada kaksu juga...

nacha,
kaksu pun geram awat ending dia macam tu... gara-gara kesian kat budak-budak tiga beradik tu la

mar,
nanti kaksu buat pop kuiz ahaks

iejay,
baik buat rendang tu... manalah tahu raya-raya ni ada yang singgah... nanti mummy iejay kata "rendang hangit ni iejay buat"... dah kurang saham tu

kak melia,
saja bubh n3 ni sebab ada fasal raya... ikut musim la ni

anim,
hihihi... ada, ada, ada, partnya... cinta ku jauh di pulau ahaks tapi kata ayu, bangi mana ada pulau :(

pink,
daftar nama kaksu juga, nak masuk kelas jahitan notei tu... pink... o, ngata kita, filem tak laku tayang kat tv raya tahun depan ya... tak pa, tak pa... sapa nakal tak dapat bunga apiiii :D

kaknoor,
nanti kaksu lekatkan versi najaah tu ya...

kaknOOr
October 9, 2007   03:43 PM PDT
 
kaknOOr paling suka part anak Ilham tak ingat nama tulis surat pada TUHAN dan surat tu pula dibaca oleh Imran.
Buku catatan diantara Dr Farhana & Ilham.....idea yg bagus.
RKM memang best dah berulang baca masih tak jemu......
pinkJambu
October 9, 2007   02:25 PM PDT
 
kaknOtie, kaknOtie..

ajar la pinK wat baju kurung pesak *jinjing beg plastik kaler pink, yg penuh sarat ngan benang*

kaksue dok ulang tayang citer nih lebih kurang cam ulangan citer raya taun2 lepas la, taun lepas tayang kat panggung wayang, taun ni tayang la kat tv plak. heheh jgn mareee..nanti pahala dpt kat pinK..hikhikhikkkkk
anim
October 9, 2007   02:00 PM PDT
 
kak su.... RKM ni dah berulang2 anim bca.. ni kak su letak plak excerpt RKM kat sini..mau balik ni ulang lagi...

kak su anim suka sbb perlis n temerloh (cam sama jer) hehehehe....

kak su bhgn mana yg mengingatkan kak su tu? citerlah
kakmelia
October 9, 2007   10:04 AM PDT
 
Patutla rasa macam familiar jer entry ni... Tapi akak masih rasa terkilan... pasal Imran lepaskan Achik Anah begitu sahaja...
iejay
October 9, 2007   09:15 AM PDT
 
kak su...selamat hari raya...maaf zahir batin...

ishh..org nak raya ni saja tau nak suruh pegang balik buku RKM ni... teruja pula nak baca balik...ada yg rendang hangit sebab asyik mengulang cerita achik anah...tapi nanti sedih pula bila imran terpaksa mengecewakan diri sendiri...
mar
October 9, 2007   08:38 AM PDT
 
kaksu, ni yg wat sy teruja nk pegang balik buku RKM nihhh...
nacha
October 9, 2007   08:34 AM PDT
 
emmm... mengimbau kembali citer2 menarik dlm RKM. mmg part yg ni sedih sgt utk Farhana. ni lagi 1 'pelamin anganku musnah'. uwaaaa...
siti zubaidah
October 9, 2007   08:22 AM PDT
 
kak su....rindunya saya ngan buku ni....malam nanti nak baca la.....SELAMAT HARI RAYA UNTUK KAK SU....
notie
October 9, 2007   07:35 AM PDT
 
kak su nostalgik betul lah. Mak saya selalu kutuk sembatan saya cam tali gajah. Dari jauh lagi dah nampak benangnya. hehe. Org johor mesti pandai menyembat tapi dah lama x praktikkan lg. Potong baju pun yg lurus je time buat pesak asyik le kene ajor selalu...x pandai le tangan keras kejung. Tapi bila pakai baju sembatan sendri rasa puas walaupun x cantik.

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments