catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~
  •    

    << December 2018 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01
    02 03 04 05 06 07 08
    09 10 11 12 13 14 15
    16 17 18 19 20 21 22
    23 24 25 26 27 28 29
    30 31


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing









    Who links to me?



    18 Sept. 2007


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Monday, March 08, 2010
    Salam DAMAI... :)

    Yang Jauh di Pulau

    (Edisi cetak: Piyah + Piyan)

     

    http://www.jemariseni.com/01/

    (jenguk cover)

     

    SUFFIAH duduk berjuntai kaki di katil, sebelahnya tok sedang menempek bedak sejuk pada pipi. Kemudian dia tempek juga ke pipi Suffiah.

    "Malas pakai bedak macam orang lelaki." Suffiah ketawa.

    "Piyah pakailah tok, tapi Piyah memilih bedak." Piyah pakai Body Shop dan Elizabeth Arden sahaja sambungnya dalam hati. "Kulit Piyah ni bukannya boleh sembarangan dipakaikan bedak," dia berkata lagi pada tok.

    "Alah, Mak Su Baniah pakai bedak batu... bedak nyonya ni saja, tapi kulit dia halus cantik saja." Puji tok jatuh pada anak bongsunya itu. Suffiah ketawa. Yalah tok menang, Mak Su Baniah memang lawa, walaupun sudah ada cucu.

    "Tok dengar ya, nama-nama resipi yang Piyah sudah belajar dahulu." Suffiah menyenaraikan satu per satu. Kemudian tok menambah lagi nama masakan lain yang lebih menarik untuk dibukukan.

    "Itik tak naklah, orang Melayu suka ke?" soal Suffiah mengerutkan bibirnya juga.

    "Piyah, tak baik buat hina makanan macam tu." Tegur tok, ada ke nak buat buku masakan hanya fikir orang Melayu sahaja hendak beli. Belajar sampai ke universiti... tapi tak ada otak meniaga langsung!

    Suffiah sudah ketawa. Dia tidak suka itik sebab isinya keras dan panjang. Lepas tu kalau tidak kena basuh, hanyir. Dia pernah cuba tiga kali – keputusannya tidak sedap.

    "Itik golek," cadang tok.

    "Tak nak... Piyah nak Ayam Golek Pengantin Cik Nah." Balas Suffiah. Ya itu sajian utama, dia cadang hendak jadikan sampul kulit buku tu nanti.

    "Itik panggang la!" tok memberi idea yang baharu.

    "Tok tak naklah itik, tak sedap." Kata Suffiah lagi.

    "Okeylah." Tok mengalah. Kemudian mencadangkan gulai hati pari. Hati pari? Ikan pari atau pari-pari? Suffiah ketawa dengan tok. Ikan pari pun ada hati? Ingat Suffiah sorang sahaja yang ada 'hati'?

    Suffiah gembira semangat tok sudah kembali. Mujurlah dia ada idea genius ini. Puas juga dia berbual dengan Mak Melah dan Mak Long Siah petang tadi. Mak Melah yang beri cadangan supaya ajak tok masuk dapur. Sebab tok suka sangat kalau ada orang hendak belajar masak makan. Cuma idea Suffiah lebih bagus... dia akan bukukan 'hasil kerja seni' tok. Itu janjinya... dia akan mencari penerbit!

     

    - S E K I A N -

    (untuk versi e-novel)

     

    * * * * * * * *

    Bersambung:

    1. Salam buat yang ingin tahu cerita Piyah+Piyan, belilah masa Pesta Buku Antarabangsa KL (19-28 Mac).
    2. Entah kenapa dalam sibuk-sibuk dengan segala bagai kerja mengedit, pruf dan persiapan untuk Pesta Buku...

    v      Kak Ajah sahabatku telah hipnosis kaksu... "Buat Piyah+Piyan untuk Pesta Buku"...

    v      Takmau Takmau Takmau ΰ kaksu main-main aja, nak release kerja ofis yang setambun tu aja *angkat bendera putih* Kaksu baru saja buat Jaja & Din, penatnya pun tak usai lagi. Tolonglaaa.

     

    1. Sambutlah (dengan harga RM21.50 – diskaun pesta buku tak tau lagi,  Cik Pah Akauntan sedang mengira tu)... tanda kasih buat yang sudi ke sini memeriahkan hari-hari kaksu. Alahai kaksu ni, 'sambut kasih' dengan duit rupanya.
    2. Seperti biasa malulah kaksu ni, sekadar hendak main-main di sini; tiba-tiba telah jadi buku pula... benarlah weblog ini sebuah 'makmal' yang menguja. Banyak dah e-novel di sini yang diangkat jadi buku.
    3. Jadi... cukup sampai di sinilah... sebuah cerita kecil berakhir di laman kaksu ini.

                 Dengan kasih,

    ~ kaksu ~


    Posted at 10:17 pm by noorsuraya
    Comments (26)  

    Thursday, March 04, 2010
    [15] Ceritera Cinta Marhaen: Piyah + Piyan

    11 


    PAGI YANG CERAH tetapi tidak pula membuat hati Suffiah senang hati. Saat dia mendengar kokokan ayam dinihari tadi, hatinya sudah sedih. Dia akan pulang, dan entah ada waktu untuk dia ziarah tok lagi atau tidak. Resipi pun belum habis dia berguru. Pilulah, tetapi kalau sudah patah hati, apalagi yang ada di sini untuk dia dipertaruhkan.

    Semalam sewaktu dia tidur dengan tok, neneknya itu mendakapnya dengan kejap. Ada air mata menitis di kelopak mata tua itu.

    "Entah, tok ni ada umur lagi dapat jumpa dengan Piyah nanti." Kata toknya, sebelum bercerita kisah lama-lama, waktu babah, Pak Long Bukhari dan Mak Su Baniah masih kecil-kecil. Waktu itu, tok wan sudah lama mati. Toklah yang membesarkan anak-anaknya dengan tulang empat keratnya. Cuma bilamana anak-anak sudah besar, dia tinggal sendiri juga.

    Waktu itu Suffiah cuba memujuk neneknya, yang dia akan datang lagi. Walaupun hatinya berkata yang lain. Kejamnya dia memberi janji palsu. Kata hati tidak sama dengan tutur mulut.

    Tetapi Suffiah sedang sedih tok!

    Beg sudah dia letakkan di hujung katil. Menunggu waktu sahaja untuk memanggil teksi. Matanya memandang pada jam loceng di sisi. Baru sahaja pukul tujuh pagi. Tok kembali ke bilik setelah meninggalkannya waktu Suffiah mengemas beg tadi.  

    "Nanti, tok tak payah hantarlah, nanti Piyah nangis pula." Kata Suffiah ketika tok bertegas untuk ke lapangan terbang juga.

    Tok Cik Nah tidak membalas kata-kata cucunya itu, sebaliknya bertanya, "Bila nak mai lagi?"

    Soalan yang sama dengan soalan semalam. Mungkin tok syak Suffiah sekadar menyedapkan hati tok sahaja.

    "Piyah balik tengok keputusan periksa, kalau sempat Piyah mai lagi!" kata Suffiah,  jawapannya juga seperti semalam. Padahal dalam hati dia sudah nekad, dia tidak akan ke sini sehingga majlis Abang Piyan selesai. Atau mungkin tidak datang-datang lagi. Oh, rindunya nanti pada tok. Hanya kerana Abang Piyan, dia sudah lukakan hati tok. Dia memanglah tidak patut.

    "Janji hari tu nak duduk lama," kata Tok Cik Nah.

    Ralat.

    Belum habis dia ajar cucunya yang seorang ni dengan segala resipi pun, sudah hendak balik. Bukankah sudah dia isi borang ke universiti tu, semalam. Keputusan periksa tu boleh sahaja Burhan yang ambil. Hari tu kan janjinya sudah begitu.

    Hairan, kenapa tiba-tiba sahaja hendak balik ni? Hujan tidak, angin tidak... tiba-tiba sahaja pohon bergoyang.

    Kenapa?

    "Piyah pun tak sangka result nak keluar awal. Jomlah tok pula ikut Piyah ke KL!" kata Suffiah cuba mengalih rasa sedih neneknya. Ajak-ajak ayam tok ke KL, padahal dia tahu neneknya itu tidak suka ke Kuala Lumpur pun.

    "Tak bolehlah Piyah oi, nanti tergolek Mak Long Siah hang... tak dapat ayam golek untuk meja pengantin abang Piyan!"

    Tok boleh dak jangan sebut lagi nama tu... Piyah tengah sedih ni! hatinya berseru pilu.

    "Tiket pukul berapa... Piyah kata tadi?"

    "Dua belas."

    "Dan lagi makan tengah hari, Piyah kata tak nak makan ikan dah, kan? Apa kata tok buat gulai ayam kampung dengan ubi Benggala," kata Tok Cik Nah sambil berlalu. Belum sempat Piyah hendak kata tak payahlah tok, Piyah ni dah kenyang... tok sudah hilang di sebalik pintu.

    Piyah kenyang? Bukan sarapan pun Piyah tak makan sejak tadi?

    Ya, Piyah kenyang makan 'air mata' sejak semalam!

    Lepas tok terlelap, dia menangis sungguh-sungguh.

     

                                                                                                 * * * *

    Catatan:
    Pembaca yang kaksu kasihi... maaf ya, kaksu sibuk mengejar 'deadline' untuk pesta buku - inilah yang dapat kaksu letakkan pada yang masih sudi membaca di sini :)

     


    Posted at 3:15 pm by noorsuraya
    Comments (13)  

    Friday, February 26, 2010
    [14] Ceritera Cinta Marhaen: Piyah + Piyan

                                                                                                       1o-c

    BAU BUAH GAJUS dibakar membuat Suffiah mendekati bangsal tadi semula. Selepas habis pekerja mengemas ruang bangsal tadi, yang tinggal hanya bara-bara kecil sahaja. Di situ, Abang Piyan sedang membakar biji gajus. Wanginya... sedapnya. Sementara Wawa dan Mak Ndak Som sedang memecahkan biji gajus yang sudah terbakar kulitnya – hitam legam – dan mengambil isi gajus di dalamnya yang keperang-perangan.

    Oh, begitu caranya mendapatkan kacang gajus! kata Suffiah dalam hati.

    Tetapi Suffiah tidak jadi menyertai mereka. Dia berjalan ke tepi pantai. Sesudah solat asar, dia seperti tidak tahu hendak buat apa lagi. Tok sedang asyik berbual dengan Makcik Wan Maryam dan Kak Aliya di ruang depan. Busu sedang tertawa mendengar cerita Abang Hadi. Suffiah jadi tidak tahu bertingkah. Biarlah dia berkawan dengan laut. Pukul enam, tok kata mereka akan pulang nanti. Esok keputusan STPM akan keluar. Risau juga ni. Walaupun inya-Allah dia yakin dia sudah menjawab dengan baik. Mata Suffiah beralih pada camar yang berterbangan di atas laut.

    Nun di bangsal Mak Ndak Som sedang menginterviu Piyan.

    "Mak Ndak berkenan dengan Piyah tu, kalau padankan dengan Piyan elok sangat!" kata Som sambil tersenyum. Wawa yang duduk di sebelahnya juga tersenyum. Sejak semalam emak asyik berkata begitu sepanjang perjalanan pulang dari rumah Tok Cik Nah.

    Piyan terpegun dengan kata-kata emak saudaranya.

    "Rasanya, kalau Piyan tunggu dia tiga empat tahun lagi pun boleh, kan?" kata Mak Ndak Som lagi.

    "Wari?"

    "Wari tu kena kahwin dah, dia dah tua... dah lama kerja pun. Mana boleh nak tunggu Piyah habis mengaji dah! Nanti Mak Ndak mati tak dan tengok anak dia," kata Som.

    "Piyan baru nak masuk dua puluh tiga tahun, takkan tak sanggup tunggu budak cantik macam tu." Sambung Som lagi. Lihat sahaja Suffiah semalam, dia sudah berkenan hendak jodohkan dengan Piyan. Kalau anak saudaranya tu suka, awal-awal lagi dia hendak bercakap dengan Mak Cik Nah. Biar bertunang terus.

    "Saya kerja lagu ni, Piyah tu anak orang senang Mak Ndak, macam tak padanlah la pula. Saya ni nak bermimpi pun tak berani, kalaupun ada hati dengan anak Pak Ngah Burhan tu." Jawab Piyan. Hatinya berbunga sangat dengan niat kakak emaknya itu. Mak Ndak Som selalu faham sahaja hati orang muda.

    "Piyan cakap dekat Mak Ndak, Piyan setuju ke dak? Kalau setuju... tahulah Mak Ndak nak buat apa." Kata Som.

    "Ya. Saya suka dia juga!"

    Wawa tersenyum. Mak Ndak Som ketawa kecil. Dari jauh, Busu memandang dengan penuh tanda tanya.

     

     

     

    "AWAT tak makan gajus tu, tak suka ka?" tanya Piyan sewaktu Suffiah akhirnya menyertai Tok Cik Nah di tepi bangsal.

    "Nantilah, Piyah kenyang lagi!" kata Suffiah. Hairan dilihatnya Abang Piyan tiba-tiba tersenyum sahaja. Tetapi hatinya terharu dengan pelawaan Abang Piyan.

    Laksa 20 kilo sekejap sahaja wassalam. Hendak ulang makan pun sudah tidak ada lagi. Kata Kak Aliya, bulan depan dia hendak minta tolong Tok Cik Nah ajar buat kuih karas pula. Tok Cik Nah mengangguk senang. Tok Cik Nah sempat sahaja bercerita fasal rancangannya hendak buat ayam golek. Nanti kalau Tok Cik Nah hendak buat ayam golek pengantin, Kak Aliya juga hendak ke rumah melihatnya.

    "Siap habis dah kah, semuanya persiapan kenduri?" soal Kak Aliya.

    "Dah... emak sekarang bahagian 'memanggil' sahaja." Kata Piyan.

    "Siapa yang hendak kahwin?"

    "Abang Piyan la," jawab Kak Aliya dan Tok Cik Nah serentak. Piyan juga tersenyum girang.

    Piyah jadi keras seketika. Sebelum pura-pura tersenyum. Untuk ucap tahniah, lidahnya memang kelu sungguh. Sedihnya. Jadi itulah apa maksud Abang Piyan yang asyik tersenyum sahaja tadi. Dia bakal jadi pengantin!

    Dalam fikiran, Suffiah hanya terfikir hendak cari flight dari Langkawi ke KL sahaja malam ini. Tapi kasihan pula... tok kan hendak buat kenduri Jumaat nanti. Tetapi hatinya sedang patah sangat, bolehkah tertangguh rasa pedihnya? Gunakan alasan hendak balik tengok result. Esok kan keputusan STPM sudah keluar. Logik tu ada dah kan, Suffiah! pujuk hatinya.

    "Ooo!" jawabnya sepatah. Cuba menyembunyikan seluruh duka.

    Kak Aliya dan Tok Cik Nah bertukar-tukar soalan fasal persiapan Makcik Siah. Piyan jadi tukang menjawab sahaja sejak tadi. Suffiah sesekali pura-pura tersenyum, tetapi sebenarnya dia bagaikan tidak tahu hujung pangkal cerita mereka bertiga lagi.

    Sayu sahaja hatinya berlagu.

    Akhirnya mereka bergerak pulang. Tetapi Suffiah memilih untuk tumpang kereta Alin dan kakaknya. Tidak rela dia menumpang pikap bakal pengantin tu. Dua kali juga Tok Cik Nah bertanya kenapa Suffiah tidak mahu menumpang pikap Piyan.

    "Pikap Abang Piyan busuk ikan, Camry Kak Aizah, selesa dan baharu!" bisik Piyan di belakang Suffiah.

    Suffiah berpaling. Matanya berair. Kata-kata Abang Piyan buat dia luka. Dia bukannya materialistik. Cuma dia tidak faham kenapa Abang Piyan cuba main-main hatinya, tetapi rupanya Abang Piyan sudah pilih orang lain.

    Busu lebih jujur. Busu lebih tulus.

    "Piya, awat?" soal Piyan.

    Suffiah masuk ke dalam kereta metalik perang muda itu, pintu kereta dia tutup perlahan. Cermin itu memisahkan mereka. Dia bagaikan terpenjara sendiri di situ.

    Sampainya hati Abang Piyan mempermainkan hati perempuannya.


    Posted at 5:38 pm by noorsuraya
    Comments (13)  

    Sunday, February 21, 2010
    [13] Ceritera Cinta Marhaen: Piyah + Piyan

    10-b

    http://upu.mohe.gov.my/index1.php

     

    SUFFIAH memasukan pin nombor dalam e-borang kemasukan ke IPTA. Matanya tertumpu pada senarai kursus yang perlu dia catatkan:

    1.       Sarjana Muda Seni Bina – Universiti Sains Malaysia

    2.       Sarjana Muda Seni Halus – Universiti Sains Malaysia

    3.       Sarjana Muda Undang-undang – Universiti Malaya

    4.       Sarjana Muda Geografi – Universiti Malaya

    5.       Sarjana Muda Seni dan Reka Bentuk  (Fotografi dan Imej Kreatif) – Universiti Teknologi Mara (UiTM) 

     

    "Kenapa tak isi sehingga nombor lapan tu," tanya Abang Piyan. Matanya memandang skrin. Ainnul Suffiah meninggalkan tiga tempat kosong belum berisi. Dia hanya menambah pilihan kelima – Fotografi dan Imej Kreatif. Dia hendak jadi apa dengan kursus tu.

    "Banyak tu saja yang Piyah minat," kata Suffiah selamba.

    "Ooo. Tok Cik Nah kata, Piya nak pi studi kat UK jadi ka?"

    "Babah nak Piyah studi kat sana, tapi Piyah suka belajar di Malaysia. Dekat dengan tok." Dekat dengan Abang Piyan, tambahnya dalam hati.

    "Kenapa buat fotografi? Macam tidak tally aja dengan minat satu hingga empat tu?"

    "Langkawi ni banyak tempat cantik, Piyah nak pindahkan atas lensa. Kursus tu tiga tahun sahaja. Jadi sekejap saja Piyah akan balik lagi ke sini."

    Isy awat la tak faham-faham.

    "Ooo."

    "Dah sudah ka? Jom pi duduk dekat bangsal tu. Piya tak pernah jumpa Kak Aliya lagi kan?" kata Piyan.

    Suffiah sudah pun save dan send permohonannya. Wari tinggalkan sahaja komputer ribanya pada Suffiah, dan waktu cucu Tok Cik Nah tu sibuk mengisi borang, Piyan memerhati dari belakang.

    "Sekejap hendak pulangkan laptop  Abang Wari." Balas Suffiah, sambil matanya mencari ke sepupu Abang Piyan tu.

    "Dia dah balik rumah... tadi dia suruh Abang Piyan pulangkan pada dia." Kata Piyan.

    Mereka segera ke bangsal tempat Tok Cik Nah dan Mak Ndak Som berhimpun. Di sebelah mereka, Kak Aliya yang cantik sedang tersenyum manis.

    "Inilah cucu Tok Cik Nah?" tanya Kak Aliya.

    Suffiah tersenyum sambil menghulurkan salam.

    "Anak Pak Ngah Burhan!" celah Mak Ndak Som.

    "Pak Ngah Burhan anak dia sorang perempuan aja kan?" soal Kak Aliya.

    "Ha la, tu yang Piyah banyak lemak, babah dia suruh mai duduk Langkawi ni."

    Suffiah tersenyum sumbing. Kata Piyah malas tu tak apa, tapi tolonglah tok... jangan depan Abang Piyan dan Mak Ndak Som. Tok sudah kurangkan saham Piyah jadi menantu Makcik Siah ni! Sian la dekat Piyah!

    "Mana banyak lemak, ni kurus aja..." pintas Kak Aliya.

    "Tok Cik Nah saja... takut orang berkenan dekat cucu dia yang cantik ni." Tambah Puan Maryam, yang baru saja masuk ke dalam bangsal.

    "Takut Piyan berkenanlah tu..." usik Mak Ndak Som.

    Piyan yang sedang menambah kayu ke bara untuk masak air pura-pura tidak mendengar. Eh, kenapa pula Mak Ndak Som kata begitu. Bukankah Busu kata Piyah sudah Mak Ndak Som cup untuk Wari?

    Muka Tok Cik Nah, berubah sedikit. Memang itulah matlamatnya. Dia tidak mahu ada siapa yang usyar cucunya.

    Sekejap... sahaja ramai tetamu sudah masuk ke dalam bangsal. Matahari sudah tidak sepanas lagi. Tok Cik Nah sudah tampil ke depan, siap pakai apron lagi.

    "Piyah, mai tolong tok."

    Piyah bergerak ke depan. Malu sebenarnya dikelilingi audiens yang ramai. Ala-ala rancangan masakan pula.

    "Ini ramuan yang diperlukan... tepung beras. Kalau dulu-dulu kita kisar tepung, sekarang kita guna yang senang... tepung beras cap Gajah Merah ni."

    Amboi, tok pakai bahasa bersurat habis.

    Tok Cik Nah mula masukan dua bungkus tepung beras dalam besen plastik warna merah. Di masukkannya segenggam tepung gandum. Tepung gandum ni untuk bagi laksa tak mudah putus atau pecah-pecah, macam gam la, terang tok sambil tersenyum. Mentang-mentanglah Busu sedang buat rakaman.

    "Piyah ambil air panas." Piyah menyerahkan satu jag, air panas.

    "Buat kawah di tengah-tengah tepung ni. Lepas tu curah sahaja air panas ini. Biar suam sikit lepas tu uli. Tepung ni dah masak separuh."

    "Lepas tekan sahaja dalam acuan ni, bubuh dalam air panas tengah menggelegak ni." Kata Tok Cik Nah. Dibiarkannya Suffiah menekan acuan laksa, sementara Piyan mengangkat laksa yang dah siap dan tos dalam jaras dekat situ. Dia sempat tersenyum pada Piyah yang sedang menekan acuan laksa.

    Tok Cik Nah sempat mempelawa tetamu mencuba membuat laksa. Kuah sudah menggelegak. Resepsinya sudah diedarkan sejak awal. Sementara anak-anak gadis yang lain sedang menghiris ulam.

    Bau laksa membuat Busu sudah tidak sabar untuk merasainya. Apatah lagi laksa beras itu si cantik manis Piyah terlibat juga dalam proses membuatnya. Biarpun tangan kerepot Tok Cik Nah menguli... tetapi tentu sedapnya laksa ni bergantung pada Piyah sepenuhnya.

     

    [Bersambung ke... 10-c]


    Posted at 6:50 pm by noorsuraya
    Comments (11)  

    Monday, February 08, 2010
    [12] Ceritera Cinta Marhaen: Piyah + Piyan

    10-a

     

    DULU WAKTU KECIL-KECIL dia sering dibawa abangnya untuk lepak-lepak dengan Wari di kawasan resort tu. Mereka sering membantu apa yang patut. Pak Ndak Yassin tu orang kepercayaan Tuan Ali Hakeem sejak dahulu.

    Sejak Abang Fitri Hadi ambil alih urusan resort daripada Tuan Ali Hakeem, resort tu maju sungguh. Jangan haraplah hendak dapat tempat menginap, kalau booking lambat-lambat. Resort ini pun sudah semakin luas, dari hujung tanjung itu... sampailah ke hujung lekuk itu  semuanya telah bertukar menjadi kawasan penginapan. Tanah Andriyana Resort, chaletnya sudah bertambah dua kali ganda dari dulu pun. Aktiviti hujung minggunya pun semakin banyak. Macam hari inilah, petang nanti... ada pertunjukan membuat laksa beras. Chef Tok Chik Nah akan berganding dengan Mak Ndak Som untuk program tu. Kak Aliya tu banyak betul idea dia tu.

    Dan kini Piyan dalam perjalanan membawa Chef Nah dengan cucunya yang cantik, Ainnul Suffiah ke sana. Sejak masuk dalam kereta tadi, hanya Tok Chik Nah yang berbicara, dan Suffiah diam sahaja. Gadis manis berbaju kurung warna merah jambu dengan tudung warna ungu muda itu bagaikan pelangi: berwarna-warni. Kasutnya warna kuning dengan kerongsang kristal warna hijau, berkilau. Dia seperti pelangi kan, indah... tetapi tidak tercapai dek tangan. Bunyinya seperti klise sahaja... tapi itu sahaja yang dia mampu cakap saat ini.

    Sejak Busu beritahu fasal hasrat Mak Ndak dan niat Wari, Piyan mula menutupi hatinya daripada mulai 'jatuh hati' pada Piyah. Kalau hari tu, dalam berani-berani takut hatinya bertunas juga untuk Suffiah, kini dia sudah tuba rasa itu. Kalau dengan Busu atau dengan abangnya, Piyan sanggup lagi merebut Suffiah tetapi tidak dengan Wari. Dia sudah seperti kembar siam dah dengan sepupunya itu. Hati mereka bagaikan melekat dua, dan tidak ada sesiapapun yang berani menyakiti hati seorang lagi... kerana kepedihannya terasa satu.

    Dialah yang terlambat. Hasratnya petang semalam, waktu hantar basikal... dia ingin  'berkias sesuatu' dahulu dan lihat angin monsun bertiup dari arah mana – melihat bagaimana reaksi cucu Tok Chik Nah dahulu. Kemudian barulah dia berani berbicara fasal bulan, bintang dan matahari. Sekarang kata-katanya sudah terpadam semuanya.

    Adakah kerana itu Suffiah diam sahaja. Dia juga ada hati pada Wari dan kini dia  sedang belajar menjadi bakal tunang orang yang setia?

    Suffiah sudah dirisik orang! Piyan mengeluh.

    Padan sahaja Suffiah dengan Wari. Seorang kacak dan seorang cantik. Wari lulusan Sains Komputer daripada Universiti Sains Malaysia tu sudah bekerja tetap di Tanah Andriyana. Bukan macam dia yang hanya jual ikan! Mana orang KL hendak pandang orang yang badannya hanyir ikan senantiasa.

    Piyan menjeling ke belakang. Melalui cermin di sisinya. Matanya leka memandang. Anak Pak Ngah Burhan memang cantik. Tetapi yang membuat Piyan terpikat kepada gadis itu, hanya kerana sikapnya. Bukan kerana wajahnya semata. Wajahnya itu faktor yang keempat, barangkali. Yalah siapa tidak teruja pada kecantikan.  

    Dia jadi kagum dengan Suffiah rela menemani neneknya di sini semata-mata untuk belajar masak. Widyawati pun tak suka turun ke dapur. Padahal adiknya itu orang Langkawi sahaja. Suffiah tu ringan tulang tolong neneknya siang malam. Jemarinya kecut-kecut menghiris buah gelugur, sedikit pun dia tidak merungut. Kulitnya sudah gelap sedikit dek kena panas berjemur di luar kerana buat kerja-kerja kampung tidak pula dia alah. Sentiasa ceria sahaja dia tu. Kalau mengaji Quran suara Ainnul Suffiah sedap sangat. Burung-burung pun bagaikan terpesona mendengar lantunan suaranya melafazkan ayat-ayat Allah; inikan pula Piyan.

    Ainnul Suffian tu penyayang dengan budak-budak. Apalagi ya... ya... Suffiah suka berbaju kurung, buat dia jadi gadis Melayu yang tiada tolok bandingnya di daerah ini. Susah dah hendak cari budak-budak perempuan yang sedia berbaju kurung setiap hari kan. Baju kurung dia pun warna cantik-cantik. Suffiah macam Kak Aliya, yang manis berbaju kurung.

    Cantik dan indah!

    Sebab itu kalau terpandang Suffiah, selalu sukar untuk Piyan lepaskan matanya cepat-cepat. Dia suka melihat wajah Suffiah, baju kurung Suffiah, jemarinya yang runcing tanpa cincin itu.

    Astaghfirullah. Dia sudah melampau, memandang buah hati Wari tu.

    "Tempat rebus laksa dah siap ke?" tanya Tok Chik Nah tiba-tiba.

    "Dah... Wari kata dah." Matanya memerhati ke belakang, kalau-kalaulah Suffiah suka mendengar nama Wari. Tak ada respons. Mata Suffiah seperti tiada perasaan.

    "Piyah, apa yang Piyah nak suruh tok cakap dekat Abang Piyan tadi?"

    Apa? Debar tetap ada, walaupun dia lelaki.

    "Oh, nanti nak minta Abang Piyan teman Piyah jumpa Abang Wari sekejap." Kata Suffiah dari arah belakang.

    "Kenapa?" Musykil.

    "Piyah nak pinjam Internet nak isi borang UPU aja." Kata Piyah.

    "Okey." Ingatkan fasal apa tadi.

    Suffiah kembali memandang laut yang kehijau-hijauan. Sekejap lagi mereka akan memasuki daerah Tanah Andriyana. Inilah kali pertama Piyah ke sana.

    "Piyan, nanti tanya emak... untuk makan pengantin... ayam golek tu hendak pukul berapa? Dan berapa ekor, na." Kata Tok Chik Nah.

    "Esok baru emak balik." Jawab Piyan. Dia membelok pikapnya ke sebelah kiri jalan. Atau Suffiah malu, pakai cantik-cantik lagi wangi... kena naik pikap ikan? Logiknya ada juga! fikir Piyan.

     "Siapa yang hendak kahwin ni? Soalan ini sejak semalam tiada jawapannya. Hati Suffiah diburu resah tak berpenghujung.

     

    [Bersambung ke... 10-b]


    Posted at 11:18 am by noorsuraya
    Comments (15)  

    Tuesday, February 02, 2010
    [11] Ceritera Cinta Marhaen: Piyah + Piyan

    9 c

     

    "SAPA mengaji elok-elok dan ubah juz dia... nanti Kak Piyah belanja aiskrim." Suffiah menaburkan 'rasuah' pada anak kecil yang comel-comel itu. Segaknya mereka berbaju teluk belanga dan kurung berwarna-warni. Kalau disuruh beratur memanjang boleh buat kumpulan nasyid dah ni.

    Kanak-kanak itu sudah menjerit gembira. Panas-panas begini makan aiskrim seronoklah.

    "Cornetto ya Kak Piyah!" jerit Deeja dan Amma serentak.

    Suffiah mengangguk sambil tersenyum. Telunjuk diangkat ke bibir.

    "Syhhh, slow sikit depan Muqaddam kena sopan santun. Ini ayat Allah ni," pesan Suffiah  sambil tersenyum. Telunjuk yang tadi diletakkan di bibir diletakkan semula di riba. Panas petang tumpah atas wajahnya yang putih kuning dan terserlah manisnya dia. Dari jauh Busu sudah tersengih-sengih atas buaian yang diikat pada pohon beringin.

    Dengan suara yang tidak sedapnya itu dia melagukan lagu daripada filem Bawang Merah Bawang Putih. Saat dia sedang nyanyikan lagu bagi watak Seniwati Latifah Omar, dia sebenarnya sedang berlagak kononnya dialah Nordin Ahmad.

     

    pohon beringin tegaknya tinggi

    kalau rendah menyapu bumi

    menghibur aku, menolong aku

    bertiuplah angin bayu...

     

    "Busu, apa ni... budak-budak duk mengaji di dalam dia duk menyanyi kat luar pulak dah."  Kata Wari yang sedang membantu Tok Chik Nah memunggah asam gelugur dari baldi untuk dijemur sekali lagi di atas pangkin yang mereka makan tadi. Wari ni sebenarnya sedang bersiap-siap hendak balik dah. Dia sedang menunggu ayah dan ibunya serta Wawa menumpang solat. Nenek Suffiah masih dalam rumah. Ada hajat yang emak ingin minta Tok Chik Nah tolong.

    Wari sudah serba salah. Hatinya sudah berbelah bagi. Sejak nampak Ainnul Suffiah hatinya sudah berkata yang lain. Sambil-sambil tangannya bekerja. Telinga Wari sempat mendengar suara cucu Tok Chik Nah yang sedang membetulkan bacaan kanak-kanak di situ. Tenang sahaja suara itu, sedap pula.

     

    laju-laju... buaiku laju.

     

    Busu menyanyi lagi. Busu ini sengaja khianat, dia bimbang Wari akan bertambah terpesona dengan Suffiah kalau terus-terus mendengar suara lunak dari anjung rumah tu. Jadi dia terus menyanyi...

     

    pohon beringin dahannya rendang

    akar berjalur cecah ke bumi

    hati ingin hidup gemilang

     

    "Busu, nanti putus tali tu, Piyah dah tak boleh naik dah," tegur Tok Chik Nah yang baru keluar daripada pintu dapur dengan nyiru di tangan. Yalah, Busu tu sudah satu tan, buatnya tali tu putus siapa nak gantung semula. Petang-petang Piyah suka duduk di situ, sambil berbual dengan Alin.

    Di belakang Tok Chik Nah ada ibu Wari dan Wawa. Busu ni la, penat sungguh kalau dia singgah di sini. Apabila dah boleh mai sini susah hendak disuruh balik. Kalau rajin macam Wari atau Piyan tak apa. Ini pemalasnya.... Ya Rabbi! bisik Tok Chik Nah.

     

    laju-laju... buaiku laju...

     

    Dia terus bangun. Yalah nanti kasihan Suffiah sudah tak boleh membuai di sini. Aku ingin kahwin dengan Ainnul Suffiah.  Lirik yang akhir itu, dia sekadar sambung dalam hati sahaja. Mahunya Tok Chik Nah katuk kepalanya dengan pencakar rotan yang bersandar dekat pokok nyiur tu aja. Atau nenek Suffiah tu pukul dia dengan nyiru di tangannya tu terus.

    Busu menjauhkan diri daripada Tok Chik Nah sedikit. Dan menggamit Wari ke arahnya.

    "Wari, Piyah tu jangan hang duk usyar dah... Piyan dah booked." Ideanya datang  tiba-tiba. Wari dengan Piyan tu sepupu yang rapat sangat. Apa-apa yang disukai Piyan, Wari akan mengalah. Begitu juga sebaliknya.

    "Bukan dia dengan Bella ka? Hang kata tiap-tiap hari jumpa?"

    "Bella tu pelanggan ikan dia, takkan la dia nak suka dekat tauke Restoran Bella Tomyam tu pulak. Hari-hari dating tu bukannya fasal apa, dia kena pi hantar ikan kat situ saja!" kata Busu.

    Mata Wari kembali ke arah asam gelugur. Separuh percaya, separuh tidak. Sebabnya tadi beria-ia Busu bercerita macam bersungguh sahaja Piyan makan dengan Bella setiap hari.

    Leganya Busu. Hampanya Wari.

    Tok Chik Nah kembali lagi ke arah mereka. Busu sudah berhenti menyanyi. Kepingan asam gelugur yang Suffiah hiris dengan Tok Chik Nah kelmarin dia pepak sikit-sikit. Sejak tahu asam tu Suffiah yang hiris, dia pun jadi lalu aja makan – buat snek.

    "Sakit perut nanti Busu," larang Tok Chik Nah. Ha la nak masak pun orang bubuh sekeping dua sahaja, yang Busu pi buat keropok siapa suruh?

    Sekejap sahaja Wari sudah kembali ke kereta, ayah menunggunya di sana. Dan dia pula menunggu ibunya yang masih bersalam-salam dengan Tok Chik Nah. Kalau sudah tiada pilihan begini, rancangan ibunya hendak minta tolong Tok Chik Nah merisik cucu Penghulu Hasyim tu jadilah. Dia tidak berkenan sangat dengan Thalatha, kalau dengan adik dia Jumaaton bolehlah juga. Tapi sejak nampak anak Pak Ngah Burhan yang sudah dewasa ini, hatinya terpaut sungguh-sungguh. Emak pun macam sudah berkenan tadi.

    Tapi... kalau dah Piyan sudah suka, baiklah dia tidak mencuba. Lagipun kalau tidak kerana Piyan pun... kalau sudah Suffiah tu hendak sambung belajar, mahunya empat, lima tahun lagi mereka bertunang. Lama tu... entah-entah kalau sudah di luar negara Suffiah ni berkenan dekat orang lain macam mana?

     

    * * *

     

    SUFFIAH membilang dalam hati anak murid tok hari ini, sembilan orang sahaja. Nanti dia nak paksa Busu beli aiskrim kat pekan. Busu ni, sudah makan kenyang pun tak reti-reti balik rumah, Suffiah melihat jam di dinding. Sudah hampir pukul empat. Tinggal dua orang lagi, Megat dengan Aqil sahaja.

    Kalau aiskrim Cornetto RM2.50 satu, sembilan orang baru... RM22.50 aja, Busu mesti nak upah dia juga! Ah, beli yang murah ajalah kat dia... beli aiskrim Malaysia warna merah. Suffiah ketawa dalam hati. Suffiah suka sangat aiskrim Cornetto... tidak sampai hati pula kalau hendak memesan yang sedap untuknya, budak-budak ni dia beli yang murah-murah pula. Amma dan Deeja sudah menjerit hendak aiskrim kon tu dah! Kasihan.

    Tetapi duitnya tinggal RM30 ini sahaja.

    Harap-harap babah hantar elaun sedikit la, dia sudah kering sangat. Tak kan lah, nak minta daripada tok pula. Kasihanlah dekat tok.

    Pak Ndak Yassin sekeluarga sudah pulang. Dia datang tu sengaja hendak ziarah tok.  Menurutnya tok tadi, dia hendak minta tok tolong buat ayam golek untuk makan beradab. Tapi Suffiah tak tahu siapa yang nak kahwin. Dengar macam Makcik Siah yang minta tolong. Emak Abang Piyan? Siapa yang hendak kahwin. Hairanlah. Janganlah Abang Piyan pula, mahunya Piyah lari balik KL malam ni juga!

    "Busu," panggil Suffiah. Dia berdiri di muka pintu, sambil menyeluk saku baju kurungnya.

    "Apa Piyah?" Muka Busu sudah berseri-seri macam dia dilamar Suffiah lagaknya.

    "Tolong beli Cornetto, perasa campur-campur sebelas na.  Lebih tu untuk upah Busu tolong beli. Cepat na, budak-budak ni dah nak habis mengaji dah. Piyah nak buat kenduri arwah untuk tok wan ni," kata Suffiah.

    "Fasal Piyah, beres. Busu dulu kalau dapat ustazah lawa mengajar mengaji macam Piyah ni mesti pandai punya, ni..." kata Busu ke arah tok yang sedang mengalih-alihkan asam gelugur di pangkin depan. "Ustazah tua... dan tak lawa!"

    "Piyah nak habark dekat Tok, Busu kutuk dia!" Suffiah cuba menakut-nakutkan Busu.

    Busu cepat-cepat berlalu. Dia meminjam basikal Suffiah.

    Suffiah duduk semula, mengajar Megat pula. Budak-budak lain tekun sahaja melancar untuk kelas esok pula. Hatinya tenang sangat, hari tiada siapa yang buat hal. Shabudin tak datang, Megat mati kutu la sorang-sorang.

    Suffiah sudah hampir tersengguk sehinggalah dia dengar suara Rafi menjerit, "Sadaqallahulazim."

    Ustazah pun terlena. Astaghfirullah al-Azim. 

    Seorang demi seorang menghadap dan mencium tangan Suffiah. Ucapkan terima kasih kerana mengajar mereka mengaji hari ini. Seronok juga jadi guru, tetapi babah mahu dia buat arkitek pula. Tapi jadi guru pun malas. Terasa macam nak jual ikan dengan Abang Piyan pun tak pa dah. Gatal!

    * * *


    SUFFIAH membetulkan langsir jendela yang ditiup angin, menerpa mukanya. Adik-adik mengaji sendang bermain di luar. Menunggu aiskrim yang belum-belum juga sampai. Matanya beralih sesaat memandang ke arah jalan, kalau-kalau Busu sudah kembali, kedainya tidak jauh mana. Tetapi mana tahu Busu singgah di mana-mana pula.

    Tiba-tiba matanya tumpah pada lelaki yang sedang menjinjing beg plastik ke arah rumah tok. Hatinya bergetar. Dia jadi tidak tahu bertingkah. Dia mulai rasa malu dengan perasaannya. Kenapa ada rasa begini, dia muda lagi... belum pun 19 tahun. Cinta tidak mengenal usia, Suffiah. Pujuk hatinya, mengurangkan rasa bersalah.

    Tapi babah bersetujukah dengan pilihannya hanya seorang penjual ikan? Tok Mama tak pengsan ke, melihat bakal cucu menantunya ini. Cucu perempuannya cuma Suffiah seorang. Amboi Suffiah, baru tengok orang sudah memandang masa depan dah!

    Jauhnya merancang anak  Encik Burhan ni!

    "Assalamualaikum. Tok Chik Nah." Pandangannya tumpah sedikit ke arah Suffiah yang manis berbaju kurung kuning air berbunga kecil warna perang itu. Gadis manis itu sudah di ambang pintu rumah.

    "Lambatnya... nasi dah habis semuanya," usik tok.

    Piyan senyum sahaja. Dia sudah kenyang makan di restoran Bella.

    Lambat-lambat Ainnul Suffiah berjalan ke arah neneknya dengan Abang Piyan.

    Piyan menghulurkan beg plastik aiskrim ke tangan tok.

    "Apa?"

    "Busu kata Piyah pesan, nak buat kenduri."

    "Aiskrim?"

    "Patutlah budak-budak ni habis mengaji pun tak balik lagi, Kak Piyah beri upah rupanya!"

    "Mana Busu?"

    "Dia sakit perut, dia telefon saya suruh ambil di kedai, dan suruh hantar kat sini."

    "Jangan hendak tuduh tok masak tak betul pulak. Dia yang makan banyak. Lepas tu duk pepak asam gelugur ni." Tok Merungut.

    Tok mula memberi kon aiskrim tu satu sorang. Baca bismillah, pesan Tok Chik Nah. Selebihnya lagi diserahkan semula pada Piyah dan Piyan.

    "Tok?"

    "Tok tak suka makan sejuk-sejuk... nanti mandom!"

    "Tak kan kut?"

    "Saja. Hampa orang muda makanlah."

    "Tok makanlah... Piyah buat kenduri untuk tok wan hari ni. Piyah dah kenyang." Kata Suffiah, sambil berlalu ke tepi pangkin. Menyesal tak suruh beli 12 aiskrim. Piyan membantu tok mengalihkan asam gelugur. Tok masuk ke dalam sekejap, mencari beg plastik. Piyan pesan asam gelugur dua kilogram. Aiskrim perasa coklat itu Tok Chik Nah hendak simpan dalam peti ais dahulu. Nanti-nanti baru dia makan.

    "Piya nak kongsi?" Abang Piyan memberanikan diri bertanya. Tak kan nak makan tak pelawa tuan rumah.

    Suffiah menggeleng. Padahal dia teringin sangat. Dia duk tunggu Busu balik, berapa kali dia menelan liur.

    Cornetto vanila campur karamel dengan kacang pecah itu memang kegemarannya.

    Abang Piyan menghulurkan not merah tiga keping kepadanya semula.

    Apa? Suffiah bertanya dengan matanya.

    "Abang Piyan yang belanja. Kenduri untuk tok wan ni, pahalanya Abang Piyan hadiahkan untuk Piya!"

    Suffiah jadi keras macam pohon beringin. Terharu sangat!

    "Makanlah aiskrim ni, nanti chayark. Lebih baru bagi dekat Abang Piyan perabis." Dia tahu tentu Suffiah geli hendak berkongsi aiskrim dengannya. Suffiah tu macam adiknya sahaja. Tak apa-apanya hendak berkongsi makan.

    Suffiah menggeleng.

    "Piya taruh dak cencaru dekat Abang Piyan?"

    Suffiah menggeleng. Busu Busuk Hati makan semuanya.

    "Piya tak teringat dekat Abang Piyan?"

    Suffiah mengangguk untuk maksud 'teringat', tetapi Piyan faham sebagai 'tak teringat'!

    Tak apalah orang makan tak teringat dekat kita! Nak buat macam mana! Betullah kata Busu tadi, emak Wari dah booked Piyah. Emak dia dah datang merisik dengan Tok Chik Nah tadi. Kata-kata Busu tu banyak benarnya. Biasalah dia selalu akan beralah pada Wari! Dia akan tumpang gembira untuk Wari. Cuma kasihanlah sebab Piyah hendak sambung belajar lagi.

    Tok Chik Nah sudah menghampiri mereka semula dengan beg plastik.

    "Tok Chik Nah, esok saya mai ambik pagi na! Tak pa kita naik pikap saja? Gheta abang nak guna!" kata Piyan.

    Tok mengangguk.

    Ainnul Suffiah tiba-tiba jadi sedih tanpa sebab....

     

    [Bersambung...]
             
             Catatan:

    Baca cermat-cermat ya, sehari satu latar, stok entri ini untuk tiga hari ya :)


    Posted at 10:47 pm by noorsuraya
    Comments (18)  

    Saturday, January 30, 2010
    [10] Ceritera Cinta Marhaen: Piyah + Piyan

    9 (b)

     

    SUDAH BEGITU banyak kisah cinta indah yang dia pernah dengar, janganlah kisah cintanya berakhir dengan kesedihan. Inikan cinta pertama, dan cinta pandang pertama. Kata orang the first cut is deepest; macam tajuk lagu Cat Steven kesukaan babah, yang kini turut menjadi kesukaannya juga. Kenapa babah suka lagu yang diterbitkan tahun 1967 itu, padahal ibu kan cinta pertamanya?

    Dia menyukai Abang Piyan.

    Tetapi....

    Suffiah geram dengan Busu yang asyik bermain mata sepanjang tengah hari ini. Tengok sahaja ke arah kerabu paku rawan yang dibawa oleh Mak Ndak Som, hatinya turut jadi rawan jua. Suffiah rasa macam Busu hendak pakai taktik kotor untuk pikat dia. Contohnya, dia sekat Abang Piyan datang hari ini. Jadi dia jangan tunjuk tak suka apalagi benci pada Busu sungguh-sungguh, buat dia calit minyak senyonyong... fuh mahunya Suffiah jadi kahwin dengan dia belum keputusan STPM keluar lagi. Nauzubillah.

    Ngeri.

    Fikiran Suffiah sudah mengembara sehingga ke negeri jin dan raksasa. Dan salah  satu daripada raksasa tu ialah Si Busu Busuk Hati. Dia memanglah... semua gelaran menggambarkan wataknya yang pelbagai, Busu Gendut sebab dia gemuk. Busu Bongkok Sabut, sebab dia memang bongkok sikit pun, Busu Bukan Keanu Reeves... sebab memanglah dia bukan pelakon Hollywood kesukaan Abang Adli itu.

    Tetapi...

    Riuh rendah dia bercerita pada Alin minggu lalu, "Masa Busu pergi Hollywood dulu, Keanu Reeves tu duduk sebelah dengan hotel yang Busu sewa... peminat Keanu Reeves tertukar, ingat Busu tu dia. Maklumlah sebelum jual ikan ni, Busu putih dan kacak sangat." Ceritanya merujuk pada masa dia terpilih ke program pertukaran pelajar sewaktu dia di tingkatan empat dulu, terpilih ke Florida.

    Alin mencebik waktu itu, dan mengangkat keningnya pada Suffiah, dan Suffiah sambung mencemuh dalam hati. Suka cakap besarlah Busu ni. Aduh mimpi dalam mimpilah Busu ni, peminat tertukar konon... musykil sungguh, sempat lagi dalam setahun tu... dia yang duduk di Florida merantau sampai ke Hollywood siap singgah tidur di Beverly Hill, konon roomate abang angkat dia tu, kampungnya dekat Bel Air. Banyaknya dia 'bom' orang dengan cerita-ceritanya itu. Kasihan sahaja makcik-makcik yang beli ikan yang keluar daripada pulau ini pun tidak pernah tu, percaya bulat-bulat dengan kelentongnya.

    Sebutlah aja fasal negeri mana, daerah mana, siapa nama... kalau fasal US Busu kenal semuanya. Tak satu kisah pun yang dia tidak terlibat menjadi hero dalam cerita-cerita dia tu. Dia ingat Suffiah ni asal dari Pantai Tuba yang tak pernah keluar-keluar dari pulau terpencil tu, sejak lahir kut. Padahal sepertiga daripada dunia telah Suffiah lawati. Kalau tidak dengan babah pun, dengan Tok Mama yang suka bercuti tu dia ikut. Daripada 50 negeri Amerika Bersatu itu; sepuluh sudah pun dia pernah menginap. Jangan hendak kelentong dia fasal California, Washington, Texas... kalaupun Busu pernah tinggal waktu belajar di Alabama pun. Dan pada pendapat Suffiah pula, Florida tempat tinggal Busu dulu tu dengan Cuba dekatlah berbanding hendak ke California.

    Pakar kelentong! 

    "Sikit saja Suffiah makan," kata Mak Ndak Som.

    "Kenyang dah, tadi sambil masak Piyah sambil makan juga." Suffiah macam sudah lihat dah muka berseri Mak Ndak Som yang ingin buat dia menantu dengan tujuan ingin merapatkan hubungan Mak Ndak Som suami isteri dengan babah dan ibu. Dia tidak mahu Mak Ndak Som jatuh hati dan berkenan kepadanya. Lebih baik diburuk-burukkan diri sendiri sebelum orang lain berkenan. Sebab Piyah sudah ada Piyan, dia tidak mahu mana-mana calon lain.... Piyah tak mahu orang lain berkenan dekat Piyah kecuali Piyan. Tetapi Bella tu siapa?

    Bella?

    Ah, dia tidak mahu mudah melatah selagi dia tidak tahu hujung pangkal. Selagi semuanya tidak jelas, dia masih ingin simpan kasihnya pada Piyan.

    Mak Ndak Som memandang ke arahnya lagi. Suffiah sudah mulai tidak selesa. Dia mula mengumpul pinggan-pinggan yang dah kosong untuk dibawa ke dalam.

    Amboi, Piyah orang baru pandang... sudah pandai-pandai tuduh Mak Ndak Som berkenan nak buat menantu.

    Yalah, sekilas ikan cencaru, Piyah tahu dah gerai ikan mana yang Piyah beli. Hahaha... sukalah main-main tukar-tukar peribahasa macam ni!

    Cencaru....

    Tengok tu Busu, dia ambil lagi seekor cencaru, sudahlah Piyah cadang hendak simpan dekat Abang Piyan, dia sengaja khianat. Dah kenyang pun dia sumbat lagi. Grrr.... Makan duk polok sampai kembung pipi. Kemudian matanya mengerdip sahaja, bagi Piyah marah. Sudah-sudahlah tu makan ikan tu.

    "Patutlah slim aja Suffiah, tak gebu macam Wawa." Wawa berhenti memandang ibunya. Sedihlah apabila emak kata dia gebu, kerana gebu adalah kata lain bagi gemuk atau gedempol pada Che' Som. 

    "Ha la, Som... Piyah ni pandai makan tidur sahaja, tengok pipi tu dah kembung macam jambu bol dah." Tok menambah, bagaikan faham apa yang tersimpan dalam hati Suffiah. Dia juga mengerti arah fikir Som dan dia bukannya tidak suka pada Wari, tetapi Suffiah ni masih nak sekolah. Lagipun pula, Suffiah ni bukannya cucu dia seorang, Puan Asmah ada hak yang sama juga. Dia tidak mahu memandai-mandai. Cukuplah kata-kata hina yang Puan Asmah lafaz waktu dia meminang Wahidah untuk Burhan dahulu.

    "Pipi kembung tu la cantik, Busu suka, macam sepadan saja dengan Busu," kata Busu Budak Busuk.

    Suffiah tarik muka. Sebelum dia bangun.

    "Busu ingat dak Tok Chik Nah kata apa kelmarin, Pak Ngah Burhan tak suka anak dia kecik-kecik duk ada goprent, dia nak hantar Piyah belajar ke England." Cepat-cepat dia mencantas niat Busu, Wari dan Som! Waktu itu Piyah sudah berjalan membawa pinggan mangkuk kotor untuk dibasuh. Tetapi telinganya sempat menangkap. Budak-budak mengaji sudah masuk sorang demi seorang di ruang depan tu.

    Sedang beramai-ramai baca, "Allahumaftah alaina hikmatakawan syur alaina...."

    Padan muka Busu Bukan Keanu Reeves.

     

    [Bersambung... 9 c]


    Posted at 11:04 am by noorsuraya
    Comments (7)  

    Thursday, January 28, 2010
    [9] Ceritera Cinta Marhaen: Piyan + Piyah

                                                                                                       Piyah + Piyan
                                                                                                             (viii - a)


    MANA
    Abang Piyan? Kenapa Busu datang sendirian, siap tolong sorong basikal mini Suffiah lagi. Sejak dengar Busu kata, "Nanti Busu habark, tapi rasanya Piyan janji nak makan dengan makwe dia Bella," ...dia sudah mulai curiga.

    Jangan-jangan Busu buat onar. Busu bukan boleh harap sangat. Entah-entah dia tak cakap pun tok ajak makan. Padahal tadi Abang Piyan berbisik pun dekat Piyah, nanti kalau makan ikan cencaru ni jangan lupa dekat dia. Maknanya Abang Piyan teringin nak makanlah tu. Busu ni tak boleh jadi ni!

    Tadi Abang Piyan janji nak hantar basikal Piyah, alih-alih suruh Busu Gendut ni hantar. Suffiah sudah merajuk. Habis dia mengutuk fizikal Busu pula. Astaghfirullah.  Buatnya nanti Tuhan menguji dia kena kahwin dengan Busu, mampus. Tak-tak, Busu handsome muka pun ala-ala Keanu Reeves kecuali hitam aja, pujuk hatinya... macamlah malaikat tidak mencatat dosa daripada kata-katanya tadi.

    "Busu dan Abang Piyan dah sampai?" soal tok yang sudah solat zuhur di anjung rumah. Pinggan-pinggan berisi makanan untuk diletakkan atas meja sudah tersaji dalam dulang. Dua dulang semuanya. Satu untuk orang perempuan, satu lagi untuk orang lelaki. Tapi selera Suffiah yang tadi berkobar, hilang disapu panas tengah hari.

    "Busu sorang saja!" balas Suffiah sambil berlalu daripada jendela dapur. Semua pinggan mangkuk dalam singki sudah dia basuh semuanya. Pak Ndak Yassin dan Mak Ndak Som dan anak-anaknya sedang tunggu di luar, bawah pokok buluh. Suffiah segan hendak ke sana, dia segan pada Abang Wari sebenarnya. Dulu-dulu masa kecil dia pernah kenal anak Pak Ndak Yassin tu rupanya. Itu pun sekali sahaja, dan dalam sekali itu pula tercatat cerita yang amat memalukan.

    Abang Wari dan Wawa, ajak dia ikut tangkap ikan di bendang dekat-dekat Kampung Padang Mat Sirat. Sekarang ni, dia sudah tidak tahu arah mana kampung itu lagi. Skirtnya kembangnya (pareo) pernah tertarik masuk dalam roda basikal. Dan alih-alih waktu basikal itu tersekat tersumbat pareo dan dia pula jatuh terlentang di jalan... Malulah nak teringat balik, yang tertinggal hanya seluar pendek dengan blaus pendek sahaja.

    Mujurlah masa tu, memang dia jenis yang suka pakai seluar pendidikan jasmani dalam skirt tu. Kalau tidak tak tahulah macam mana nak diunjukkan mukanya. Mana lagi tangan berdarah dan lutut melecet kena sagat tar jalan. Waktu itu dia dalam darjah lima. Darjah lima pun dia sudah tahu malu tau.

    Sejak itulah dia suka memakai baju kurung. Kalau apa-apa terjadi – kainnya terlondeh ke, kainnya koyak ke – baju kurungnya akan melepasi kepala lutut. Dan kebiasaan  yang baik itu akhirnya menjadi rutin. Biarlah dia diejek pakai macam bawa kelambu pun. Dia selesa sangat berbaju kurung.  

     Lalu sejak tadi Suffiah mengekor aja ke mana-mana tok kerana malu. Dua kali Abang Wari memandang dan senyum kepadanya, dua kali juga muka Suffiah memerah mengingatkan pareo  batik warna biru tertarik dek roda basikal itu.

    "Bawalah makanan tu ke luar Piyah, lambat-lambat nanti perut Pak Ndak Yassin hang sebu pulak." Kata tok sambil menyanggul rambutnya. Diselitkannya bunga inai sebelum dikenakan tudung.

    "Assalamualaikum," suara Busu bergema dari luar.

    "Wa'alaikumsalam. Elok sangat Busu mai, nak tolong bawa dulang ni bawah pangkin tu." kata Piyah sambil menghulur talam besar warna putih dengan bunga raya besar warna kuning dan merah di tengahnya.

    "Amboih, Piyah abang balik kerja penat-penat bukan nak ajak masuk minum ayark aih... teghuih dia sughuh abang buat kerja." Busu berkata manja-manja gatal. Umpama suami berkata kepada isterinya yang sedang marah entah kenapa. Kening tebalnya diangkat tinggi. Hati Suffiah sudah jadi meluat. Tak sukalah kat Busu ni, macam mana hendak berbuat baik.

    "Busu!"

    "Ya Tok Chik Nah!" Busu tersedak sedikit apabila sedar yang Tok Chik Nah duduk belakang pintu sahaja.

    "Pak Ngah Burhan tak suka anak dia Busu usik-usik macam ni," kata Tok Chik Nah, kalau dia kata yang dia tak suka... manakan hairan Si Busu kepadanya.

    "Ya, ni talam nak letak tak mana." Busu cepat-cepat berlalu ke dalam. Dia senyum sahaja.

    Suffiah ke belakang mengambil talam sebuah lagi. Air minum dan tempat basuh tangan semuanya, sudah pun Wawa dan ibunya bawa ke depan tadi.

    "Ada lagi?" Suara Abang Wari muncul di depan pintu. Suffiah segera memberi talam dan masuk semula ke dalam rumah. Dia tidak mahu pandang pun Abang Wari.

    Akhirnya Suffiah melenggang dengan termos sederhana besar berisi nasi yang ditanak dengan dapur kayu. Senduk dan pinggan sudah Busu dan Abang Wari bawa tadi. Jam sudah membawa ke pukul dua petang. Lewat benar dah untuk makan tengah hari ini. Sekejap lagi tok sudah berpesan suruh dia ajar budak-budak mengaji. Harap-harap tidak ramai yang datang. Letihlah, rasa hendak baring sahaja lepas makan nanti. Harap-harap Pak Ndak Yassin sekeluarga tidak duduk lama.

    Busu mengenyitkan matanya. Cepat-cepat dia cari tempat yang bertentangan dengan tempat Suffiah bersimpuh. Hati cucu Tok Chik Nah sudah terbakar seluruhnya. Kalau ikut hatinya, mahu sahaja ketuk kepala Busu dengan senduk kayu ni. Suffiah injak sedikit. Tetapi matanya bersapa dengan wajah Abang Wari pula. Seleranya betul-betul mati. Daripada berdepan dengan Abang Wari, baik dia duduk bertentang mata dengan Busu!

    Suffiah segera menyendukkan nasi pada semua orang. Untuk Busu diletakkan sedikit, dan dicampurkan sedikit kerak lembut yang kebetulan tertarik waktu dia mengaut daripada periuk tadi.

    Busu tersenyum senang apabila Suffiah menghulurkan pinggan kepadanya. Cantik sungguh anak Pak Ngah Burhan ni. Dulu-dulu kecil-kecil pun sudah cantik, semakin besar semakinlah cantik. Ikut sebelah ibunya, kalau ikut sebelah Tok Chik Nah tentulah tidak secantik mana. Kena saja baju kurung kuning air berbunga-bunga kecil perang muda ini dengan badannya yang langsing.

    Hati Busu sudah tertarik... tetapi dia macam sedar sahaja, Piyah tu suka pada Piyan. Mujurlah Piyan tidak tahu, kalau tidak bahaya ni. Dia akan cuba rapatkan Piyan dengan Bella sehinggakan Piyan tidak nampak hati Piyah!

    Mission impossible bermula....

     

    [Bersambung….]

     

    ____________________

     

    Catatan:

    1.       Sudah habis edit Pada Angin Aku Berpesan, oleh Adeliah… dengan senyum meleret. Esok sudah boleh mulakan misi seterusnya, Versus karya Hlovate. Harap ada masa untuk curi-curi tengok Busu, Piyan dan Piyah di sini.

    2.      Sudah baca buku Nasron Sira Rahim, Nama Atas Kertas tak lagi? Juga buku kedua Iman Xara terbitan Jemari Seni, Rumput Masih Hijau? Bacalah... kalau JS yang keluar, kita pilih dan 'petik' macam kita memetik ulam yang segar untuk dimakan tau. Kita tidak buat lambakan... tetapi kita pilih yang terpilih, insya-Allah.

    3.      Tidak sabar tunggu buku Pingu Toha terbaharu siap... 143, sejak JS terbit dua buah buku sebulan kita sibuk sangat.

    4.      DAN siapa yang belum baca buku kaksu dengan JS, Surat Ungu untuk Nuha, Jaja & Din serta Panggil Aku Dahlia... kaksu tak 'ampun' tau ahaks....

     

    Sayang untuk semua,

    ~ kaksu ~


    Posted at 4:38 pm by noorsuraya
    Comments (12)  

    Saturday, January 23, 2010
    [8] Ceritera Cinta Marhaen

     

    Piyah + Piyan

    (vii)

     

    BUSU SIMPAN telefon bimbit Piyan dalam bekas duitnya semula. Piyan sedang berulang alik mengisi ikan pesanan Resort Tanah Andriyana dalam lori kecil ayahnya. Waktu-waktu tengah hari begini ikan naik dari jeti, dan dia akan sibuk sekali. Apatah lagi, bilamana esok Kak Aliya memesan 20 kilo ikan untuk majlis di resortnya.

    "Temenung berapa sekilo hari ni?" soal Busu. Pesanan daripada Suffiah dia masih simpan dalam kerongkong. Suka juga dia, kalau Piyan tidak dapat memenuhi undangan Tok Chik Nah. Kasihan pula, kalau Bella tertunggu-tunggu di restoran. Piyan mestilah memilih untuk makan di rumah Tok Chik Nah. Nenek Piyah tu memang pandai masak, kalau makan di rumah dia, tidak cukup kalau dua kali kalau menambah.

    "Mahal dua puluh sen dari kelmarin, tadi mujur sardin murah. Rezeki Kak Aliya, hang nak pergi ke majlis petang esok?" Mujur ada ikan sardin. Selepas mencuba beberapa jenis ikan, Mak Ndak Som sudah tahu, ikan sardin sedap dibuat kuah laksa Kedah berbanding parang, selangat mahupun temenung.

    Busu diam sejenak. Esok Kak Aliya hendak buat laksa untuk makan-makan di taman kecil belakang resortnya. Sebenarnya, Kak Aliya hendak memperkenalkan cara membuat laksa untuk pengunjung Tanah Andriyana Resort. Kebetulan bulan sudah, jatuh dalam bulan Muharam... jadi resort Kak Aliya buat bubur Asyura. Sibuk sahaja tolong kacau. Tok Chik Nah tu macam 'chef' residen di resort Kak Aliya. Dua jenis Asyura mereka buat, jenis Kedah dan Kelantan. Yalah, Makcik Wan Maryam tu orang Kelantan, tentu sahaja dia hendak perkenalkan Asyura pedas di situ juga.

    Resort Kak Aliya ni menarik sangat. Kalau resort orang lain menggunakan segala tarian, muzik dan permainan sebagai cara tarikan pelanggan, tetapi sudut budaya resort Kak Aliya menumpukan aspek canting batik, tunjuk cara lukisan dan kad ucapan, dan seni masakan Melayu pula.

    "Mestilah, dah lama aku tak tengok Tok Chik Nah beraksi dalam tunjuk cara membuat  laksa basah." Dalam kampung mereka ini, cuma tok Piyah tu aja yang tinggal lagi pandai masak serba-serbi.      

    Kak Aliya dan Abang Hadi, fokus mereka hanya pada resort serta galeri lukisan sahaja. Padahal kalau mereka buka cawangan Tanah Andriyana dengan konsep memperkenalkan budaya Melayu begitu kat mana-mana pun boleh jalan. Busu tak faham jalan fikir Abang Hadi yang pernah buat MBA dan pernah ada ijazah sarjana Ekonomi tu. Sederhana sahaja keinginan mereka suami isteri. Kata Abang Hadi, dia sudah bahagia dengan cara hidupnya. Kata Kak Aliya, dia tidak mahu meninggalkan tanah moyang Andriyana.

    Cara fikir merekalah yang buat Busu menumpukan perhatian dalam perniagaan ikan ni. Industri perhotelan dan restoran di sekitar Langkawi ini memerlukan stok ikan yang banyak, jadi perniagaan ini yang dia pilih, selepas gagal jadi jurutera. Kalau ikut malu, sudah lama dia berhijrah ke Kuala Lumpur. 

    "Lepas hantar ikan ni, ingat nak singgah rumah Tok Chik Nah sat kutip biji jangus... esok petang nak bakar biji-biji tu. Ramai-ramai tolong pecahkan kulitnya, nanti ramai-ramai boleh makan sama-sama sambil menunggu laksa masak." Kata Piyan.

    Busu tersentak. 
             Opps, buat dia tengah makan, Piyan datang... lepas tu, Tok Chik Nah kata... Busu kata tadi Piyan tak dapat datang macam mana?

    "Boleh aja aku kutip." Balas Busu mendatar sahaja.

    "Aku nak kena hantar basikal Piya ni."

    "Letak saja dalam lori tu, nanti aku bagi. Rumah aku kan sebelah tu saja."

    "Ek, macam tak bagi aku pergi tu awat?"

    "Dah la, hang kan sibuk, benda-benda kecik biarlah aku tolong."

    "Busu kebaikanmu buat aku curiga." Kata Piyan ala-ala Nordin Ahmad dalam filem-filem keluaran Cathay Keris.

    Busu ketawa. Piyan terus menyemak telefon bimbitnya. Ada satu panggilan dari rumah Tok Chik Nah. Sedari dulu, ketawa yang begitu ada maknanya.

    "Kenapa Tok Chik Nah telefon?"

    "Dia ajak kita makan di rumah dia. Si comel tu telefon." Kata Busu alah dengan pandangan Piyan. Tidak pernah dia dapat merahsiakan apa-apa daripada Piyan, sekejap aja terburai semua perkara.

    "Oh, hang tak nak aku pergi ka?"

    Busu ketawa.

    "Idak le." Sahut Busu dalam dialek Parit pula. Opahnya asal dari Perak pun.

    "Tak pa lah, hang pergilah. Kirim salamlah dekat Tok Chik Nah." Kata Piyan sambil ketawa.

    "Tapi... hang nak makan kat mana tengah hari ini?" soal Busu sambil tersengih.

    Gerai ikan sudah mereka serahkan pada pekerja untuk berkemas dan menutupnya. Gerai tu sekadar tempat mereka habiskan waktu, kalau tidak ada order-order besar yang lain. Maklumlah bos, kalau apa yang kuli boleh buat, baik serahkan sahaja. 
               Begitu Busu berkata, setiap kali Piyan lambat menutup gerainya. Busu bolehlah, dia memang bos betul. Tapi Piyan pembantunya itu, adiknya yang sedang tunggu SPM. Kasihanlah, Azmil Mustaffa tu sedang belajar bawa kereta... ganggu sahaja nak suruh itu ini kepadanya.

    "Kat mana?" ulang Busu.
             "Bella."
             "Okey, jangan tuduh aku tak ajak!"

    "Basikal ni?" soal Busu, matanya memandang ke arah basikal mini Suffiah dalam lori tu. Hari ini, Busu menemani Piyan ambil ikan.

    Piyan sudah menghidupkan enjin lori kecil itu. Busu duduk di sebelah sebagai kelindan. Jeti kecil ikan di tinggalkan. 
               Langit biru, awan bersisik indah. Perjalanan ke Tanjung Rhu diiringi angin laut yang panas.

    Ya, basikal? Piyan juga menyoal.

    Rafeah Buang sedang melagukan Hatiku Kau Curi, dan Busu tumpang jadi korus tidak kena undang pada seni kata: hatiku kau curi dengan sepenuhnya... itu.

     

    Hatiku kau curi

    Dengan sepenuhnya

    Entah bagaimana

    Kita bertentang mata


    Air yang ku minum

    Bagaikan tak lalu

    Datang bersimpuh wajahmu

    Di dalam mimpi ku

     

    Abby Fana mengekek gembira diusik SMS pendengar di radio Sinar.FM. Piyan terasa sahaja hendak melarang Busu mempamerkan suara soprano yang tidak jadinya itu. Bingit la. Suara enjin buruk lori ayah ni lagi sedap tau. Tapi, kalau ditegur dia merajuk... dan mula nyanyi lagu asli Tanjung Puteri cara rock Loving Bone, lagilah tension. Kalau rock kapak betul tak apa, ni... rock... batu, mana sedap!

    Mujurlah, ada sepasang camar yang terbang seiring laju lori, terpesona dengan suara Busu. Paling-paling ada juga audiens untuk 'konsert' live dia ni.  

    Catatan:
    1. Selamat malam daripada Piyah: cintaku jauh di pulau!
    2. Okey kena masuk opis semula, nanti bos tahu kaksu curi tulang duk berkampung di Langkawi pula... ahaks


    Posted at 9:45 pm by noorsuraya
    Comments (10)  

    Thursday, January 21, 2010
    [7] Ceritera Cinta Marhaen: Piyah + Piyan

    ~ sambungan semalam: vi (a)

     

    "NOMBOR DIA?" Tok Chik Nah tersentak seketika sebelum menjawab.

    "Tu tok tulis dekat kalendar kuda tu. Sophan Sophian." Katanya merujuk kepada Kalendar Tahun 1998. Tapi tidak dibuang sebab ada semua nombor penting. Macam grafiti dekat Tembok Berlin suatu waktu dulu pula kalendar ni. Ha la, rumah ni sudah babah buat cantik-cantik, tiba-tiba dicacatkan dengan contengan nombor telefon semua orang di sini!

    Amboi tok, semua kat sini dia bubuh nick name ringkas sahaja – Leman Gas, Udin Sarang Burung, Mak Piah Belacan Tumbuk, Cik Som Somtam, Pin Lembu (ait, Pin Lembu?... ooo Pin jual lembu kut), Joyah Kemetot, Wong Renjong, Sufiyan Abang, Siti Halwa Maskat – tup-tup nama Abang Piyan dia tulis nama penuh. Tak boleh ka tulis Piyan Ikan ka?

    Atau Piyan Segak ka?

    Gatal!

    Sophan Sophian?

    Macam pernah dengar aja nama ni.

    "Nama dia tu, nama pelakon... adik Abang Piyan tu nama Widyawati. Mak Abang Piyan hang dulu gila tengok gambar Indonesia. Mula tu dia suka gambar Hindustan lama, kakak Piyan yang sulung nama Asha Parekh. Hat nombor dua, Sharmila Tagore." Tok bagaikan mendengar soalan hati Suffiah lagi.

    Tok Chik Nah ketawa teringat akan adik kepada Som tu. Mujurlah anak-anak dia segak-segak... kalau tak malu saja budak-budak tu kat sekolah. Ha la, dua kali Sharmila Tagore menangis kat bahu Tok Chik Nah sebab kena ejek nama dia pelik. Ada ke budak-budak lelaki kelas dia panggil dia Mila Tauge, sebab tak reti nak sebut Ta-Go-Re itu, yang sepatutnya... bunyi 're' di belakang tak dilepaskan pun. Siah ni memanglah, kalau nak bubuh nama anak tu... ikutlah lidah Melayu!

    Mujurlah anak dia tak ada nama Rano Karno ke, Benjamin S, Rishi Kapoor, Sunil Dutt, Dhamendra ka... tapi Sophan Sophian tu... yang aniaya.

    "La ni Makcik Siah suka cerita apa, tok?" Tok Chik Nak tersentak!

    "Cerita Korea pulak dah!"

    "Ya ka???"

    Buat nanti anak dia ada nama Lee Dong Wook, Jang Geun Seuk, Choi Ji Woo pula nanti! Piyah tertawa dalam hatinya.

    "Jangan bimbang, Makcik Siah hang dah tutup kedai... dah tak boleh beranak dah. Dah tua pun." Kata tok sambil ketawa. Lapan orang anak dia. Ramai tu!

    Sudah dua minggu Suffiah di sini, tapi dia belum jumpa dengan Makcik Siah dia. Sudah berbelas tahun tak jumpa. Entah  ingat ke tak dia dengan emak Piyan tu. Siah sibuk dengan urusan hendak buat kenduri anak dia tu. Sibuk menjahit, sampai seluruh rumah dia tukar  warna hijau mangga telur. Nanti waktu ke rumah sebelah perempuan dengarnya, mereka nak pakal serba kuning pula. Ni sudah seminggu dia ke tanah besar, sibuk memanggil adik-beradik sebelah suami dia pula. Sejak anak dia besar-besar ni, hidup Siah dan Hassan dah senang dah! Syukurlah!  

    Tok ni macam orang mudalah. Faham saja dia dengan arah soalan Ainnul Suffiah. Pandai saja dia baca fikiran orang! Bahaya ni. Tok ada kelebihan read minds orang macam cerita X-Men ni. Kalau dia tau Piyah suka kat Piyan macam mana?

    Biarlah dia tahu, baru senang sikit. Zaman sembunyi hati dah tak sesuai dah Piyah oi! Zaman sembunyi air mata bawah pantai sudah berlalu. Hatinya menasihatinya dalam loghat KL.

    "Cepatlah telefon dia, nanti dia pi makan kat gerai mana-mana pulak. Makcik Siah hang tak ada rumah ni. Ajak Busu sekali."

    "Busu tak mau la, dia suka kacau Piyah!"

    "Piyah, banyak kita masak ni... kasihan Busu," kata tok. Sambil angkat gulai dari dapur. Lama-lama atas dapur boleh hancur pula ikan puyu ni. Ikan sungai isinya lembut. Tak ingat pula tanya Wari tadi, kat mana dia tauk ikan-ikan ni? Bendang siapa?

    Dan terus dia gantikan dengan periuk berisi beras pula.

    "Nanti tok kena pesan kat dia jangan duk usik Piyah. Dia suka ajak Piyah kahwin dengan dia... depan-depan orang ramai. Piyah tak suka!" adu Piyah.

    "Ha la, nanti tok marah dia!"

    Tapi kalau dengan Sophan Sophian tu, Piyah tak pa la tok... Piyah suka!

    "Tapi... kesian kat Busu tu... dahlah tak pass mengaji kat Amerika. Kalau hang duk buat cengi dengan dia, tentu dia kecik hati!" kata tok memujuk. Busu tu pun satu, dia asyik duk guna modal dia mengaji Amerika tu la, nak penaik diri dia depan orang... zaman di mana sijil boleh beli ni, dia ingat orang hairan ka kalau orang kata depa mengaji Amerika.

    Kesian Busu, penatlah abah emak dia buat kenduri masa dia nak pi belajar engineering dulu. Alih-alih duk jual ikan kat market, pasar malam la pulak. Nasib orang la. Asal kerja yang halal, kerja apa pun tak pa. Asal pandai hormat orang tua, tak pass periksa pun tak pa.

    "Piyah tak suka la tok!" ulang Suffiah lagi.

    "Ha la, nanti tok habark kat dia!"

    Tapiii...

    Pelakon Sophan Sophian yang sebenar tu elok lagi ka berbanding dengan Abang Piyan saya tu? soal Suffiah sambil tersenyum. Petang nanti kena pi surf di Internet rumah Alin tengok muka pelakon tu.

    Babah tak kasi dia bawa komputer riba dan broadband... babah takut dia asyik melayari Internet, tak tengok tok.

     

    -  Ainnul Suffiah -

     

    [Bersambung vii....]


    Posted at 1:08 am by noorsuraya
    Comments (17)  

    Previous Page Next Page