catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~
  •    

    << November 2007 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03
    04 05 06 07 08 09 10
    11 12 13 14 15 16 17
    18 19 20 21 22 23 24
    25 26 27 28 29 30


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing









    Who links to me?



    18 Sept. 2007


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Tuesday, November 20, 2007
    VIII ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 8

    Dia, 'dia' & Cinta



    WAH, BAU SUP untuk steamboat menggoda sungguh. Hmm, sedapnya. Tatkala melihat udang, sotong, isi ikan dan macam-macam lagi makanan laut berbaris di dalam pinggan besar di atas meja, perut Jaja sudah melaung minta di isi. Sedapnya, sedapnya.... Tetapi sebaik sahaja matanya terpandang Abang Long di meja itu, selera makan Jaja menjunam empat puluh lima darjah.

    Bukannya dia tidak menyukai Abang Long. Bukan! Mereka kenal sejak kecil juga. Anak saudara Uncle Aqmar tu, pernah datang berhari raya ke rumahnya beberapa kali. Kenallah, walaupun tidak rapat mana: sekarang ni lagilah... kerana sejak dia ke US, berapa tahun yang lalu... inilah kali pertama mereka berjumpa lagi. Abang Long memang persis Uncle Aqmar sewaktu muda. Kacak. Selain genius, dia juga anak yang patuh pada keluarga. Buktinya, walaupun sudah bertahun-tahun di US, dan bertemu dengan begitu ramai perempuan berambut perang dan bermata hijau-biru... apabila datang bab mencari jodoh, dia memang anak ibu: dia pulang ke Malaysia mengikut pilihan ayah dan ibunya.

    Jaja bukan tidak sedar usaha abah dan Uncle Aqmar menjodohkan mereka berdua. Walaupun Jaja juga kadang-kadang bermata biru-hijau, berambut perang-burgundy DAN secara logik akal, sepatutnya Jaja tidak akan pernah melepasi prasyarat menjadi menantu pilihan, tetapi dia tetap disenaraikan sebagai calon 'orang rumah' Abang Along sejak awal. Kalau selama ini daripada hanya sekadar menyebut-nyebut tentang hal penjodohan sahaja, kini... abah dan Uncle Aqmar telah melangkah lebih serius dengan membawa tuan punya badan ke meja makan pula. Itulah yang membuat Jaja rasa tidak selesa. Jaja kan pernah berkata tidak, kenapa jawapan itu tidak diterima sebagai satu penolakan. Kan sudah jelas binti sah... Jaja tak nak!  


     

    Kenapa ya dari dulu Abang Long tidak dijodohkan dengan Nini sahaja, kata Jaja tadi sewaktu menyisir rambutnya yang panjang si muka cermin. Ketika itu mereka sedang bersiap-siap untuk ke rumah Uncle Aqmar, Lala di birai katil tersenyum nakal. Nini dengan Abang Long memang sepadan: Nini tu bersopan-santun, solat tak pernah tinggal. Puasa sunat Isnin-Khamis tu menjadi amalan dia sejak remaja. Bukannya macam Jaja yang tak senonoh, bisik hatinya.  

    "Kak, Nini sudah ada Pauzi sejak dulu." Kata Nini sewaktu menyematkan peniti ke tudung coklatnya tadi. Pauzi dieja dengan 'P' bukannya 'F'... jangan lupa tu, usik Jaja dalam hatinya... sedari tadi, dia ingin bersekongkol dengan Lala ketawakan Nini. Tetapi tidak sampai hati pula. Dia tidak ingin merosakkan mood Nini yang sedang bersukacita.

     Dan malam ini, Cikgu Pauzi Si Nini mendapat undangan makan steamboat di rumah Uncle Aqmar juga. Abah sendiri menelefon mengundang bakal menantunya tadi. Siap emak bapa Pauzi pun dijemput sama. Mujurlah rupa-rupanya Pauzi orang dekat-dekat sini sahaja. Namun untuk malam ini emak bapa Cikgu Pauzi tidak dapat hadir.

    Nini menjadi semakin lega, tatkala tahu  mereka bukannya orang lain, rupa-rupanya kenalan abah juga. Nini sudah tersengih sejak tengah hari membawa ke Maghrib... mengingatkan cintanya tiada halangan, malah mendapat restu pula.

    Tengoklah, moderen sungguh abah dan umi. Sangat terbuka. Kalau boleh abah nak buat cepat-cepat sahaja kenduri Nini, kata abah tadi pada umi. Abah tidak suka Nini dan Pauzi berkawan lama-lama. Abah dan umi tidak tahu agaknya, mereka sudah berkawan sungguh lama... sebelas tahun! Tetapi kata umi pula, "selagi Jaja tak lepas, tak boleh la." Umi!! Mana boleh umi berfikiran kolot begitu tiba-tiba. Kalau Jaja tak berkahwin, aniaya sahaja Nini dan Pauzi. Janganlah dia menjadi penghalang kepada hasrat hati adiknya itu. Sian Nini....

    Tiba-tiba cerita Taming in the Shrew karya Shakespeare melintas di fikirannya. Mungkinkah kerana itu, Abang Long mendapat undangan juga pada malam ini? Janganlah aku dianggap Kate dan Nini pula menjadi sweet Bianca! Dan mereka sudah terdesak dan perlu mengahwinkan aku dengan siapa sahaja yang terlintas di fikiran, asalkan Nini boleh berkahwin. Jaja terkedu... rasa kecil hati melanda tiba-tiba. Janganlah aku menjadi Kate, kata Jaja sekali lagi dalam hati. Watak Kate dari manuskrip tahun 1593 dalam cerita Shakespeare itu menggerunkan.

    Padahal walaupun Jaja tidak menyukai cerita Shakespeare berbanding cerita hikayat-hikayat Melayu dan panji, tetapi cerita daripada penulis Inggeris yang satu ini dia sangat suka. Apatah lagi apabila menonton  lakonan Richard Burton dan Elizabeth Taylor yang sungguh memukau.

     

    Sejak siang tadi Lala dan Wassim sudah bersemangat nak lihat Abang Ngah! Sejak dulu, Nini selalu sahaja catat sana sini nama 'Pauziah' tu, namun tak ada siapa yang sangka... itu nama Pauzi yang sudah diperempuankan supaya si busy body Wassim dan si penyibuk Lala tidak tahu. Setiap kali nak balik ke asrama, ada saja bekalan untuk ditapau pada 'Cik Pauziah' bestfriend dia tu. 'Cik Pauziah' konon! Semua orang kena tipu hidup-hidup dengan Nini... terutamanya, Si Lala penyiasat persendirian yang tak bertauliah tu.

    Lala tu, alahai... bahaya sungguh! Kalau dia tahu, habislah umi dan abah pun akan tahu. Nini memang berkongsi bilik dengan Lala. Namun tidak lama juga, sebab Nini belajar di sekolah asrama penuh. Sewaktu Nini tidak ada, habislah barang-barang Nini digeledah Lala. Tetapi rahsia Nini tidak pernah pecah, sebab Nini akan labelkan semua perkara yang berkaitan dengan Pauzi sebagai 'Pauziah'. Pandainya Nini menyimpan rahsia.

    Tatkala melihat Pauzi duduk bersopan sebelah abah yang semeja dengan Uncle Aqmar tu, Jaja tersenyum. Oh, inilah 'Pauziah'!! Malah pernah juga sesekali Jaja tolong mengepos kad untuk 'Encik Pauziah' a.k.a Cikgu Pauzi ini. Tak sangka, tak sangkanya! Pandainya Nini bersandiwara. Kononnya Jaja dan Nini sister cum bestfriend, tetapi dengan Jaja pun Nini sembunyikan... tak patut!

    Mereka – Nini & Cikgu Pauzi - sama-sama belajar dari tingkatan satu hingga lima di MRSM Kuala Berang. Kebetulan pula sekarang ini mereka akan sama-sama mengajar di Kuala Nerang. Sweetnya. Jaja jadi terharu melihat setianya cinta Nini dan Pauzi. Terasa dia pula yang lebih-lebih bersemangat untuk terus setia pada Ustaz Din juga. Bodohnya, Jaja... sebab Din tidak pernah tahu, ada seorang budak perempuan yang sedang jatuh hati kepadanya separuh mati! ejek hatinya. Jaja terkedu sesaat. Tatkala teringat perihal Puteri Zahirah, Jaja terkedu bersaat-saat. Hati Jaja bagaikan sudah terbelah dua.

     

    Selepas membaca doa, masing-masing telah memulakan aktiviti celup-mencelup makanan laut dan sayur-sayuran dalam sup. Meja panjang di luar rumah itu ada empat set periuk steamboat yang sedang menggelegak. Abang Long duduk sebelah Annas Aziz. Melayan dengan sabar anak Uncle Aqmar. Anak Uncle Aqmar yang sindrom down itu, memang banyak kerenah. Tidak ramai yang akan sabar dengan perangainya itu. Tetapi Uncle Aqmar dan Makcik Dara, sayang sangat kepadanya. Abah dan umi pun begitu. Mereka semua sabar sahaja. Tetapi Jaja tidak sesabar itu, kadang-kadang dicubit juga Annas Aziz tanpa pengetahuan siapa-siapa. Bagaimanapun tatkala teringat yang betapa Uncle Aqmar sayang kepada Jaja, rasa bersalah mengikutnya ke mana-mana.

    "Jaja, nak udang ni?" tanya Abang Long, dengan tangan memegang chopstik dan jaring untuk mencelup di tangan. Matanya memandang Jaja di depannya sejenak. Dia masih menggunakan bahasa Melayu dengan fasih seperti dulu. Jaja menggeleng, padahal dia suka sangat udang. Lalu pada saat ini, dia harus pura-pura tak makan udang. Dia kononnya tak suka pada udang pula!

    "Sotong?" Jaja menggeleng lagi.

    "Alergi?" tanya dia lagi, hairan.

    Jaja menggeleng juga.

    "Apa alergi pula, kak suka makan sotong dan udanglah." Sampuk si penyibuk... Lala Doktor Syam. Budak Lala ni, orang kurung dalam peti baru dia berhenti bercakap kut.

    "Dah kenyang." Balas Jaja.

    "Kenyang apa pula, kak... dari tengah hari kak tak makan pun." Pintas Lala. Betullah Lala ni, kalaupun kemaruk nak ada abang ipar pun, tak payah lah nak jodoh-jodoh kami tidak tentu arah begini.

     

     

    Sejak tadi Jaja mengelak untuk bercakap dengan Abang Long. Selama ini Jaja tidak pernah rasa tidak selesa di meja makan dengan sesiapa pun. Tetapi malam ini, berbeza sangat. Dari jauh dia dapat melihat mata abah dan umi asyik sesekali mengerling ke arahnya.

    Sejak dia jatuh cinta pada Din, kalau boleh dia tidak mahu bercakap dengan mana-mana lelaki dah. Dia ingin mengukuhkan kesetiaannya. Jaja dah gila bayang! Dah parah! 

    Hari tu pun Suhaimi sudah menegur. Katanya, Jaja jadi pendiam tiba-tiba! Lepas tu Si Mira duk berdeham-deham pula. Geram betul dengan Mira. Kalau Mie tahu fasal Din, memang Mira lah dalangnya!

    Abang Long 'mengail' macam-macam dan memasukkan ke dalam piring Jaja.

    "Thanks." Jawab Jaja sepatah. Lala mengerdipkan matanya. Lala ni nak kena ni, balik nanti tahulah Lala, marah Jaja dalam hati.

    "Sama-sama."

    Abang Long baru aje balik bercuti. Dia tinggal di US dan bekerja dengan NASA. Dan cerita tentang ibu Abang Long ingin mencarikannya jodoh dengan gadis Melayu bukanlah rahsia lagi. Dan yang paling merimaskan, Jaja memang sudah menjadi salah seorang daripada calonnya... tersenarai paling atas. Jaja hanya perlu berkata 'ya' sahaja untuk menang tanpa bertanding, mengikut kata Lala siang tadi. Tetapi kenapa ya hati ini tidak pernah tertarik pada kilauan cahaya. Nini dan Lala kata dia menolak tuah...!

    Apa kurangnya Abang Long. "Nanti kak boleh tinggal di US, dan kita boleh pergi ziarah juga." Sampuk Lala, yang tidak pernah tahu... bahawa hati perempuan bukannya seperti lampu yang ada suis: mudah dibuka ditutup. Lala masih mentah, manalah Lala tahu betapa cinta itu sesuatu yang sungguh aneh!

    "Ja, nanti ada benda yang Abang Long nak cakap. Jangan balik lagi ya, Ja...." kata Abang Long perlahan sangat, tetapi terasa kuat di telinganya. Jaja terasa hendak menangis. Perutnya sebu semula, dan dia terasa akan demam lagi. Aku tidak mahu memilih dia, kerana aku sudah ada 'dia'....

     

    [Bersambung...]  

    ______________

          Catatan: 

     

    Lagi dua episod aja... :) sebelum kaksu berhenti menulis. Terasa bagaikan

    ingin bercuti sabatikal dua tiga bulan...


    Posted at 11:06 am by noorsoraya
    Comments (15)  

    Saturday, November 17, 2007
    VII ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 7

    Aku, Mereka & Harapan



    JAJA MEMERHATI SAHAJA Lala menyuap sesudu-sesudu laksa ke dalam mulutnya. Amboi adik aku yang sorang ni, kita nak lekas... dia asyik duk mengira urat laksa satu per satu pula. Qaulah pula dari tadi asyik menjadi pemerhati Tuan Puteri Lala makan. Dah kenyang kata Qaulah tadi. Sesekali Qaulah menghulurkan mulutnya mencari straw untuk menyedut air kelapa. Qaulah dan Jaja sekadar mendengar ocehan Lala. Jaja tersenyum, kenapa ya anak-anak Doktor Haslinda pandai sungguh bercakap? Tidak ada sesiapa pun yang mengikut abah yang berat mulut.

    Jaja terkenang akan umi di rumah. Tak sabar rasanya hendak pulang, tetapi dalam masa yang sama tak sabar rasanya ingin bertemu 'dia'. Sejak tadi Jaja sudah hilang rasa lapar dan rasa dahaga. Dia ingin segera ke tanah perkuburan tu.

    Kata Qaulah tadi, menurut pada nombor batu pada jalan tu, tempatnya bukan ke arah Parit Buntar... sebaliknya di sempadan Perak – Kedah. Katanya lagi, atas sedikit sahaja dari Bukit Merah tu, garis sempadan cepat berubah... sekejap kita akan berada di Perak, sekejap Penang dan sekejap Kedah. Kata Qaulah lagi, "saya pasti Kak Jaja, insya-Allah... tempat itu dah tak jauh mana... atas sedikit pada Masjid Hijau tu saja."

    "Dah?" tanya Jaja. Matanya menikam mata Adila. Adiknya tersenyum manis.

    "Sedap la laksa ni, nanti hala balik kita singgah lagi." Kata Lala sambil mengelap bibirnya dengan tisu di atas meja. Jaja segera membayar harga makanan dan mereka meneruskan perjalanan.

    Jaja mencongak jawapan pada sebuah persoalan. Kalau Din mengajar di Parit Buntar, tetapi lokasi dalam gambar yang sekeping ini bukannya di Parit Buntar pula, jadi? Sahlah cerita aku ni sudah jadi Hikayat Misa Jayeng Kesuma versi perempuan. Jalan semakin jauh berliku dan penuh misteri! Agaknya, Din ni berasal dekat-dekat sini. Maknanya, dari masjid nanti... tentu ada orang boleh tunjukkan jalan ke rumah Din. Dan ini bermakna cerita pencariannya akan tamat di situ, dan dia akan memulakan episod baru... Jaja & Din. Gatal!



    "Kak Jaja, slow-slow... depan sana tu dekat-dekat lampu isyarat tu saja. Senang lagi kalau Kak Jaja ambil kanan, berhenti depan tu... nanti kita lintas jalan sahaja ke masjid tu." Kata Qaulah, memangkas Jaja dari terus menenun angan-angan.

    "Kak, Lala ni tak faham lagi la... awat kita kena singgah masjid ni dulu."  Kata Lala yang sudah semakin bingung dengan perubahan sikap kakaknya yang tiba-tiba ini. Dulu kakak ni pantang la, kalau kita nak suruh singgah mana-mana dalam perjalanan balik. Kakak mahunya cepat sampai di rumah sahaja. Singgah ambil orang, atau singgah kat mana-mana... ampun binti maaf la, kakak tidak suka! Alih-alih hari ini dia tumpangkan Qaulah pulang pula. Lepas tu dia hendak singgah masjid lama sezaman dengan Datuk Maharajalela ini sekadar hendak lihat kubur? Jangan-jangan kakak jatuh hati pada lelaki yang sedang berteleku tu, tak? Tak logik, anak saudara Uncle Aqmar yang jadi Jurutera Robotik kat US tu pun dia tak berkenan. 

    Hairan... hairan!

    Ketika berhenti di simpang tiga lampu isyarat itu, Jaja terkesima sejenak. Ya, inilah tempatnya. Kubur itu terserlah dari jauh, walaupun terlindung di sebalik pagar jarang itu. Selama ini dia tidak pernah perasan pun kewujudannya, padahal tempat ini hanya di tepi jalan ini.  Masjid itu sudah lama sebenarnya, tetapi terjaga bersih. Matahari sudah terpacak di kepala. Zuhur belum tiba.

    "Kak Jaja, kita nak ziarah kubur siapa ni?" tanya Lala. Rasanya sejak kecil dia tahu umi dan abahnya orang Kedah totok! Mereka tidak pernah ada saudara mara orang Perak pun.

    "Budak kecil duduk diam-diam sahaja. Kakak ada kerja ofis, ni projek." Kata Jaja. Ya projek masa depan, projek mendirikan 'masjid', sambungnya dalam hati. Jaja mengajak mereka menemaninya ke masjid tu.

    "Menziarahi kubur waktu tengah hari rembang ni, tak digalakkan dalam Islam kak." Kata Qaulah awal-awal lagi meletakan garis.

    "Tak, Kak Jaja cuma nak tanya tok siak tu... dan nak tahu ni kubur siapa saja." Qaulah mengangguk. Lala semakin pelik.

    "Kak, saya nak buat solat sunat masjid dulu ya, kebetulan dah masuk masjid ni." Kata Qaulah menuju ke tempat wuduk perempuan, Lala mengikutnya dari belakang. Dia berharap Kak Jaja juga mengikut mereka. Tetapi Kak Jaja menuju ke arah tok siak, di tepi serambi.

     

     

    "Assalamualaikum, nak tumpang tanya."

    Lelaki tu mengangguk, sambil memerhati ke arah Jaja sesaat. Sekejap sahaja Jaja mengerti erti pandangannya. Jaja buat-buat tak sedar tentang kepalanya tidak berkelubung, dan melupakan sejenak yang dia sekadar berjean dan berbaju-T. Akhir-akhir ini dia bersedia sahaja dengan baju kurung kalau hendak pulang ke utara: manalah tahu kalau-kalau dia terpaksa singgah ke rumah Din.

    Bagaimanapun sejak di KL lagi pagi tadi, dia sudah nekad... dia tidak akan mencari lokasi misteri ini kali ini. Dia tidak mahu Lala dan sepupu Mira itu mengetahui misinya. Alih-alih, ceritanya menjadi sebaliknya.

    "Pakcik pernah tengok orang ni, tak?" tanya Jaja sambil menghulur gambar nan sekeping itu.

    Lama tok siak tu memerhati. Dia berfikir sesaat, Jaja resah seminit. Dia merenung seminit, Jaja termenung berminit-minit. Lalu dia membuka suara.

    "Dia bukan orang sini. Dia orang luar."

    "Dah lama orang ni tak datang ke sini. Masa Maulud tahun lalu, dia datang." Kata pakcik tu. Dia bangun dan menyerah gambar tu semula, tanpa memandang Jaja.

    "Pakcik nak kena siapkan sejadah ni, solat Jumaat dah nak masuk ni." katanya, dan Jaja segera menilik jam di pergelangan tangannya: dua belas lima belas minit. Jaja tahu, dia sekadar mencari alasan untuk beredar. 

    "Pakcik... ni kubur siapa ya?" tanya Jaja lagi. Dia sedar, pakcik tu menjaga matanya dari terus memandang Jaja. Bukan Jaja nak mengurat dia pun, aksen lah pakcik ni. Dah la tak handsome, aksen pula!

    Bukannya aksen Jaja, lelaki yang baik menjaga pandangannya. Lelaki yang memelihara agama menutup matanya daripada memandang wanita bukan muhrimnya. Itulah Makcik Dara bilang apabila Jaja kompelin fasal Uncle Aqmar yang bila bercakap dengan Jaja, suka tidak melihat mata Jaja. Perubahan sikap Uncle Aqmar membuat Jaja rasa kecil hati pada mulanya. Ya lah, sejak kecil dia akrab dengan Uncle Aqmar, dah macam abahnya juga. Dia bagaikan pernah membesar dalam riba Uncle Aqmar. Mulanya dia ingatkan semuanya berpunca daripada Makcik Dara. Waktu itu dia rasakan Makcik Dara cuba merosakkan hubungan baiknya dengan Uncle Aqmar. Tanpa malu-malu dia bersemuka dengan wanita yang menggantikan tempat Auntie Lida itu

    Pakcik tadi tidak menjawab, dia sekadar memberi salam dan berlalu. Sebentar kemudian, Qaulah dan Lala menyertai Jaja di serambi masjid.

    "Ada good news?" tanya Lala.

    "Qaulah, kita singgah sekejap ke kubur tu... belum rembang pun." Kata Jaja sambil berjalan. Dia tidak ingin menunggu kata ya daripada Qaulah yang manis itu. Sebentar saja mereka sudah di muka tanah perkuburan.

    "Itulah kuburnya..." Jaja membandingkan dengan gambar di tangan. Lala mengangguk. "Beri salam dulu la, kak," kata Lala tatkala melihat Jaja cuba meredah tanah perkuburan begitu sahaja.

    "Assalamualaikum."

    "Assalamualaikum ya ahlil kubur," kata Lala.

    "Bukan. Assalamualaikum ya, ahlil ziyad," sambung Qaulah. Jaja memerhati Qaulah... kalau Wassim tu dewasa mahu sahaja dia pinangkan Qaulah sebagai adik iparnya. Ahlil ziyad?

    Jaja memerhati batu nisan tu. Tulisan Jawi pula! Manalah Jaja tahu tulisan Jawi.

    "Nama siapa, Qaulah? Tulisannya macam khat pula," tanya Jaja, cuba menyembunyikan kekurangan diri. Dia tidak perlu bertanya kepada Lala yang belajar Jawi pun tak khatam macam Jaja juga. Memalukan, tulisan Jepun... tulisan Kanji tu cekaplah pula Jaja membacanya, aksara Jawi dia tak hafal pun. Ni kes bukan salah umi menggandung dah. Memalukan betul! 

    Qaulah memandang Jaja, mana pula orang pahat tulisan khat kat sini? Aksara Jawi biasa sahaja. Tetapi Qaulah yang cerdik sempat menangkap. Agaknya, Kak Jaja tidak tahu membaca tulisan Jawi.

    "Puteri Zahirah Megat Zaidi... 12 Rabiulawal 1420." Kata Qaulah, kemudian dia mula membaca Al-Fatihah.  Jaja menunggu Qaulah menghabiskan bacaannya. 

    "1420... bersamaan tahun berapa ya?"

    "1999 – 2000... macam tu la, Kak Jaja. Sekarang tahun 1424." Budak Ukur Tanah ni bukan sahaja cekap hitung tanah, hitung almanak untuk Hijriah – Gregorian pun dia cekap.

    "Jomlah kak. Lala... lapar dah!" Jaja memandang adiknya yang baru habiskan dua mangkuk laksa tadi. Jaja buat-buat tak kisah.

    "Siapa ya Puteri Zahirah ni?"

    "Agaknya kubur isteri orang ni kut," kata Lala tiba-tiba sambil mencapai gambar di tangan. Muka Jaja berubah tiba-tiba. Rasa sedih menyerbu hati. Kata-kata Lala membuat perutnya sebu.

    Kenapa dia tidak terfikir sejak awal akan kemungkinan itu? Cinta telah membutakan seluruh rasanya. Mungkinkah Din tidak ingin berkahwin lagi setelah isterinya meninggal?

    "Kak jomlah, bukan saudara kita pun... nak ziarah lama-lama. Yang Lala musykil ni, siapa orang ni...?"

    Jaja cuma diam. Hatinya luka sedikit. Kalau Din hendak memilih lagi, tentu sahaja dia memilih orang yang seperti Qaulah. Bukannya orang seperti Jaja! Siapa Puteri Zahirah? Isterinya? Adiknya? Atau ibunya?

    Nenek? Tak kan lah, nama nenek pun moden dan comel macam tu. Bunyinya macam orang muda sahaja... kekasih?

    Kekasih? Aduhai... pilunya....

     

    ABAH MEMOTONG kek keju blubbery. Memotong sepotong seorang. Seperti biasa Wassim mendapat potongan yang besar sekali. Umi rasa sedikit, umi kan masih dalam program kuruskan badan. Penasihat kesihatannya Kak Aini sering saja bertanya diet umi setiap hari. Kak Aini dah semakin hairan sebenarnya, kenapa jamunya tidak pernah bertindak cepat untuk Doktor Haslinda, berbanding pelanggannya yang lain.

    "Jaja tak nak makan ka, ni kek kesukaan Jaja!" kata abah.

    "Nantilah, bah. Jaja rasa macam nak demam tak demam ni." kata Jaja. Walaupun abah dan uminya doktor, tetapi kalau demam Jaja hanya menelan Panadol sahaja.

    "Minggu sudah dah demam selesema, kan?" tanya umi, sambil memegang dahi anak sulungnya itu.

    "Tak berapa panas, sikit sahaja." Kata umi, menjawab soalan abah yang bertanya dengan mata tadi. Abah dan umi ni macam ada hubungan telepati. Abah tidak pernah bertanya dengan kata-kata, kerana umi akan panda-pandai menjawab semua soalan di fikiran abah!

    "Okey... Nini ada pengumuman." Kata Nini dengan suara ceria.

    "Sekejap Nini, kita ikut giliran... abah mulakan dulu." Kata umi, yang duduk di samping abah di meja makan.

    "Abah tak ada apa-apa pengumuman. Syukur, abah diberi Allah panjang umur. Terima kasih untuk hadiah ini." Kata abah sambil menunjukkan hadiah Jaja, Nini dan Lala... tiket bercuti ke Bali. Juga hadiah sebatang joran daripada Wassim. Entah suka entah tidak abah dengan aktiviti memancing, abah kan sudah masuk kelab menembak. Umi pula hanya belikan kek sahaja. Tidak ada hadiah lain. Uncle Aqmar janji akan belanja mereka sekeluarga makan steamboat malam ini.

    "Pengumuman daripada umi... tak apa juga, kecuali berat umi sudah turun 485 gram minggu ini." Kata Doktor Haslinda. Jaja ketawa, Nini juga... ala umi, itu pun kira pengumuman ke, usik Lala sambil tersenyum. "Mestilah," balas umi. "Satu peningkatan," sambungnya lagi.

    "Kak Jaja pun tak ada pengumuman... cuma rindu dekat semua orang, tetapi nak balik selalu kerja banyak." Kata Jaja mendatar. Ya, dia tidak pernah ada pengumuman. Setelah sekian lama, dia baru sedar... dia tidak pernah ada pengumuman baru untuk dikongsi dengan keluarganya.

    "Kak Nini, biar Lala cakap dulu ya." Nini mengangguk.

    "Lala masih suka tinggal kat UTP, TETAPI lecturer Fizik kita orang handsome... jadi Lala suka subjek Fizik melebih subjek apa-apa pun!" canda Lala. Semua orang ketawa.

    "Wassim?"

    "Pengumuman penting... Wassim dapat nombor 39."

    "Hah, banyaknya." Jerit Nini dan Lala serentak.

    "Per?" tanya Lala.

    "Empat puluh dua!" balas Wassim dengan bangganya.

    Wassim sedikit pun tidak kisah. Umi pun tak marah, jadi siapa yang berani berleter lagi. "Wassim janji ya, rajin belajar sikit." Sampuk Jaja.

    Wassim mengangguk.


     

     

    "Okey... Nini?" tanya umi. Semua mata memandang ke arah Nini. Suspens.

    "Wassim dan Lala tutup telinga... untuk lapan belas tahun ke atas sahaja." Abah memerhati Wassim dan Lala yang jelas tidak menutup telinga. Umi memandang Nini penuh tanda tanya sejak tadi.

    "Nini dah bersedia nak bertunang..." kata Nini. Amboi moderennya adik aku, main umum-umum macam tu aja! Tak ada pula soalannya berbunyi, "boleh tak Nini bertunang?" Hai, Cikgu Marini... modennya pemikiran dia!

    Umi dan abah mengucap tahniah, dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pilihan Nini. Lala dan Wassim sudah tersenyum-senyum. Teringin benar mereka ada abang ipar. Jaja terasa bersendirian. Bersendirian dengan mimpi-mimpi tak pasti. Jatuh hati pada Din orang yang tak tentu, siapa dia? Kerja gila!

    Terolang-aling mencari Din bagaikan perigi mencari timba. Memalukan. Sungguh memalukan. Wajarkah aku berhenti daripada terus menenun cinta yang tidak kesampaian?

    Seiring berjalannya dengan waktu, aku masih di sini... menjadi seorang Jaja yang keseorangan. Aku memandang wajah Nini yang kemerahan diusik Lala. Bahagianya dia...dan aku? Aku tumpang bahagia untuk Nini.

    [Bersambung...] 

     


    Posted at 9:42 am by noorsoraya
    Comments (10)  

    Tuesday, November 13, 2007
    VI ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 6

    Aku, Mereka & Waktu

     

    Sewaktu aku berumur 13 tahun, aku telah membaca Hikayat Misa Jayeng Kesuma. Ceritanya panjang amat, tentang perjalanan cinta Raden Inu Kartapati mencari tunangnya, Raden Galuh Chendera Kirana yang merajuk.

     

    Akulah 'Raden Inu' yang tidak pernah jemu menunggu dan menanti itu. Dan dialah 'Raden Galuh' insan pilihan hati yang tiada tolok bandingannya. Cuma dalam hakikat sebenar, aku perempuan dan dia lelaki: Jaja & Din.

     

    Konfliknya bermula pada saat Raden Inu ingin melihat wajah Raden Galuh yang waktu itu sedang bermain di taman larangan. Raden Inu ingin tahu bagaimana rupanya Raden Galuh kerana sejak awal mereka bertunang tanpa pernah saling melihat. Lalu Raden Inu menyuruh pengiringnya masuk ke taman dan melukis gambar Raden Galuh.

     

    Ya lah, dulu-dulu mana ada kamera digital,mana ada telefon yang canggih-canggih! Semuanya mesti dilukis. Kisah mereka mengingatkan Jaja... ya, seperti mereka juga... kami juga tidak pernah saling mengenali. Cuma yang berbezanya, kami tidak pernah dijodohkan oleh orang tua seperti cerita panji itu!

     

    Permintaan Raden Inu sudah diketahui dek sang peri yang nakal. Dia telah menukar diri menyamar menjadi Raden Galuh Chendera Kirana. Cuma dia merupa menjadi perempuan hodoh. Pada saat Raden Inu melihat lukisan 'Raden Galuh' yang sangat hodoh itu, dia tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan Raden Galuh.

     

    Aku jatuh hati pada saat pertama kali memandang gambarnya; pada matanya yang hitam, teduh, menunduk dan memikat. Dia tidak pernah hodoh di mataku. Betulkan kata orang, dari mana datangnya cinta, kalau tidak dari mata turun ke hati. Ah, orang dulu-dulu memang pandai bermain kata-kata... indah dan mengasyikkan.

     

    Atas kerana rasa sedih dan terhina, Raden Galuh membawa diri bersama pengiring-pengiringnya.

     

    Sedangkan aku bersendirian membawa cintaku... aku keseorangan: cuma bertemankan hatiku sahaja.

     

    Kemudian cerita sebenar terangkat, dan cerita penuh berliku itu berakhir dengan ternyata cinta sejati terbukti dan terserlah.

     

    Aku tahu namanya Din...

     

    Itu sudah memadai, kerana tahun lalu aku mengenali gambarnya dan hari ini aku mengetahui namanya. Tahun depan? Ah, tahun depan aku bertemu orangnya pula... hidup ini sekadar suatu perjalanan waktu. Kita melalui tahun yang sama... dan dalam perjalanan kita bertemu dengan orang yang tidak disangka-sangka pula... semoga esok masih ada.

     

    Walaupun aku memujuk hatiku begitu, pengalaman di Hentian Duta itu benar-benar merubah hidup aku sepanjang minggu itu. Aku seperti tiada semangat dan berada di awang-awangan. Kagee telah dua kali menegur aku, sewaktu makan tengah hari kelmarin.

    "Jaja, you dah jadi orang lain... I macam tak kenal you minggu ni... mana hilangnya mulut you becok tu?"

    Hish, tak sangka Kagee rindu akan mulutku yang becok. Aku sudah jadi bisu Kagee, hati sedang memenjarakan seluruh rasa ceriaku, desis hati kecilku.

     

    Aku menutup buku lama warna perang tua kepunyaan Mak Ndak aku. Teks sasteranya  semasa di tingkatan enam dulu. Entah kenapa aku menyukai cerita Jawa yang satu ini. Cerita mengarut tidak masuk akal langsung. Aku memang pelik. Semasa kecil tatkala Nini menyukai cerita rakyat koleksi, The Brothers Grimm dan Hans Christian Andersen, sementara aku pula gila pada segala hikayat Melayu, cerita-cerita berbingkai dan cerita Seribu Satu Malam serta cerita-cerita panji. Pelik.

     

     

    Aku menyemak buku catatan dan menandakan semua tugasan penting sebelum pulang:

     

    Φ        Hadiah untuk abah

    Φ        Buku Volcano untuk Wassim

    Φ        Umi punya ubat kurus, ambil daripada Kak Aini

    Φ        Singgah Koperasi UM ambil buku pesanan Uncle Aqmar

    Φ        Beli kain kapas untuk baju kurung baru

    Φ        Jangan lupa bawa balik barang kiriman Mie untuk mamanya

     

    Inilah yang malasnya, kalau kita nak balik kampung, dan rahsia kita sudah 'terheboh' seluruh negara. Semua orang ada sahaja hendak mengirim itu dan ini. Tiba-tiba sahaja yang lebih menyakiti hati SMS Mira menyusul:

     

    Jaja, tolong ambil adik sepupu aku kat Politeknik Ungku Omar, aku dah bagi nombor hp Jaja. TQ

     

    Amboi, Mira... bila pula aku buat perkhidmatan kereta sapu ni, tiba-tiba nak kirim orang pula. Rasanya tidak pernah ada pun mana-mana syarikat dispatch di dunia yang ada khidmat pos 'orang' macam ni. Aku tidak suka ada arahan yang sebegitu, tanpa meminta pendapat aku terlebih dahulu. Dia ingat, setelah dia berjaya memberi tip nama Din, aku sudah terhutang nyawa kepadanya. Baru sahaja jarum kesukaan aku untuk Mira menjadi 75 peratus minggu lalu, kini berkurangan 5 peratus pula. Geramlah Mira ni.

     

    Tidak lama kemudian Mie menelefon, bercerita fasal sepupu Mira yang hilang tiket bas. Dan tidak dapat pulang ke kampung kerana tiket bas sudah habis. Kakaknya akan berkahwin. Lalu aku diminta untuk menumpangkan sepupu Mira itu dalam perjalanan aku pulang minggu ini. Aku tidak perlu bersusah, kerana aku hanya menghantar dan mengambil sepupu Mira di Plaza Tol Bertam sahaja.

     

    Ya lah, ya lah... bencilah.

     

    Pagi itu, selepas sahaja mengambil Qaulah di Ipoh, kami meneruskan perjalanan ke Universiti Teknologi Petronas (UTP), untuk menjemput Tuan Puteri Lala. Adik perempuan aku itu sudah tersenyum manis ketika melihat aku sudah di ruang asramanya. Agaknya sejak pagi dia menunggu dengan beg di situ macam pelarian perang. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk pulang. Aku tahu betapa dia tidak suka berada di UTP yang jauh dari rumah. Lala manja orangnya. Setiap kali dapat tawaran ke mana-mana yang jauh dari rumah dia akan menolak dengan satu alasan: jauh sangat. Selama ini abah dan umi sabar sahaja.

     

    Bagaimana keadaan berubah setelah dia mendapat tawaran ke UTP sebelum keputusan SPM diumumkan. Kata abah kalau rumah ini boleh keluarkan ijazah untuk dia, abah pun tidak akan biarkan dia pergi jauh. Kata abah lagi, hanya ada satu cara yang boleh buat Lala terus tinggal di rumah. Abah cadangkan dia berkahwin dan jadi suri rumah sahaja. Lala, mana tahu abah sedang mengusiknya. Malam itu juga dia terus kemas barang-barangnya untuk ke UTP. Padahal hari kemasukan dua minggu lagi.

     

    Lala, Lala... aku rasa dia sebenarnya overdose makanan ringan sebab tu kelakuannya macam tu. Tapi tidak sangka juga ya, Tuan Puteri Lala akan buat kursus kejuruteraan. Aku ingatkan dia akan jadi pengusaha makanan ringan. Abah dan umi kecewa kerana tiada siapa yang mengikut jejak mereka menjadi doktor. Wassim memang sudah tidak boleh diharap lagi sejak dia jatuh hati pada gunung berapi!!

     

    "Buat kursus apa dekat politek," tanya Lala yang peramah.

    Tidak terlintas untuk aku bertanya Qaulah soalan itu tadi. Teruknya aku. Aku hanya melayan lara di hati, dan membiarkan Qaulah di sebelah diam sahaja sejak dari Ipoh tadi.

    "Diploma Ukur Tanah... tahun dua." Jawab gadis manis bertudung labuh rona kelabu lembut itu.

    "Adila buat apa kat UTP." Tanyanya lembut, selembut warna bajunya.

    "Panggil lah Lala! Saya baru dalam kelas persediaan." Kata Lala sambil tersenyum, tatkala aku menjelingnya.

    "Oh, bakal juruukur la ni... dah habis la ukur seluruh Perak ni?" usik Lala.

    "Dah... dari Batang Kali sampai ke Jawi... sudah." Kata Qaulah, tidak tahu Lala mengusik. Qaulah pelajar dari sekolah agama dekat Kodiang tu lurus orangnya. Tiba-tiba hatiku berdetik: dari Batang Kali sampai ke Jawi? 

     

    Aku membelok ke kiri jalan, dekat-dekat dengan kedai laksa. Lala sudah hairan dan bertanya sama ada aku sakit perut atau teringin nak makan laksa. Aku tidak menjawab soalan Lala sebaliknya, aku beralih ke belakang memandang Qaulah.

    "Qaulah... Parit Buntar termasuk tak?" tanya Jaja.

    "Ya." katanya perlahan, kehairanan. Mujurlah dia cepat menangkap soalan Kak Jaja.

     

    Aku menghulurkan sekeping gambar. Aku ke Parit Buntar Ahad itu. Maklumat daripada abang pemandu bas hari tu, tidak membantu. Apabila aku memberi gambaran tentang Din, dia cuma berkata: "Lelaki tu turun di stesen bas. Semua orang turun di stesen bas la, ni bas ekspres."

     

    Itu sahaja. Dan aku tidak menemui sesiapa pun di sana. Penat saja aku memandu dalam demam selesema Ahad minggu tu. Parit Buntar macam pekan cowboy diserang penjarah sahaja: sunyi sepi.

     

    Dan hari ini rancangan aku berantakan lagi kerana Qaulah dan Lala menumpang pulang. Mesti mereka hairan kenapa pula Kak Jaja mencari nisan dan kubur di tepi jalan.

    "Oh, kak tak lihat ke nombor kilometer di batu jalan ni?"

    Aku memandang. Ya, ada batu jalan... walaupun kabur tetapi masih boleh dibaca. Setelah menyimpan gambar ini setahun lebih, kenapa aku tidak perasan tentang tanda di batu jalan ini?

    "Ini dekat sempadan Perak-Kedah Kak Jaja. Nanti saya tunjukkan. Tetapi Kak Jaja mesti masuk jalan kampung, jangan ikut lebuh raya." Ya, dah lama Kak Jaja masuk jalan kampung mencari 'dia'.

     

    Aku berdebar-debar. Jantungku terasa bernafas semula. Terasa ingin mengambil Qaulah menjadi adik angkat tiba-tiba.

    "Kak kita makan laksa dulu!" kata Lala dengan muka welfare. Jaja ni lah, orang nak cepat dia macam-macam pula.

     

    [Bersambung] 


    Posted at 12:04 pm by noorsoraya
    Comments (20)  

    Saturday, November 10, 2007
    Jeda: Jaja & Din

     * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *  

     

    Undangan Perkahwinan

      

    Faiza 

    &

    Burhanuddin Helmi 

     

     

    Jumaat,  5 Ogos 2005

    29 Jamadilakhir 1446

     

     

     * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *  

     

     Walimatulurus

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh  

     

    Dr. Badrul Hisyam bin Ma'aruf

    dan

    Dr. Haslinda binti Haji Othman

     

    mengucap salam, menghulur tangan penuh takzim

    mempersilakan

    Puan Noor Suraya & suami

     ___________________________________________________

    ke majlis perkahwinan anak perempuan kami

     

    FAIZA BINTI BADRUL HISYAM

     

    dengan pilihan hatinya 
    BURHANUDDIN HELMI BIN HAJI MUSTAFA

     

    pada hari Jumaat, Ogos 2005

    bersamaan 29 Jamadilakhir 1426

     

    bertempat di

    No. 376 Taman Golf, Kelab Golf Diraja Kedah

    Kedah Darulaman.

     

    Wassalam

    * * * *

     

    Atur Cara Majlis

    Marhaban: 10.30 pagi

    Jamuan Makan: 12.00 tengah hari – 6.00 petang
     


    Catatan:
    Inilah kad kahwin Jaja yang ada dalam simpanan kaksu, tetapi kata Jaja:

    "Ceritanya tidak seindah ini kaksu... ada begitu banyak cerita sedih berlaku sebelum Jaja sampai ke tahap ini uwaaa... ceritanya macam Hikayat Misa Jayeng Kasuma... yang terbaliknya, bukan Raden Inu Kartapati mencari Gaden Galoh Chendera Kirana... hikayat Jaja adalah sebaliknya....
    "

    Posted at 8:46 am by noorsoraya
    Comments (13)  

    Tuesday, November 06, 2007
    V ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 5

    Aku, Dia & Kebetulan

     

    Aku dan dia bagaikan malam dan siang: tidak mungkin lagi bertemu... sebuah fatamorgana!

     

    Pagi Sabtu itu...

     

    5:01 am

    SUHAIMI: Assalamualaikum, Jaja... aku masih di KK ni, nak minta tolong kau ambil Mira dekat Hentian Duta sat. Bas dia sampai dalam pukul tujuh dari Kulim. Jaja jangan lupa, nanti Mira merajuk susah aku nak pujuk, thanks

     

    Ini yang aku benci ini, tiba-tiba aku kena jadi babySister Mira kalau Mie outstation! Aku bukan suka sangat dekat dia. Sambung tidur.

     

    6:01 am

    MIRA: Assalamualaikum, Jaja... bas rosak dekat Rawang... lewat sikit... tapi kau datang awal lah, Mie biasanya tunggu aku... bukan aku yang tunggu Mie!

     

    Tak tau bersyukur, Mira ni... aku dah janji nak ambil pun kira okey, kalau aku tak tunggu? Ingat la sikit, siapa pakwe dia... Mie atau aku? Aku sambung tidur.

     

     7:01 am

    ADILA: Assalamualaikum. Kak minggu depan jangan lupa balik, birthday abah... kita kongsi hadiah macam selalu no... yang mahal no dengan nisbah 3:2:1

     

    AKU: Okey...

     

    ADILA: Kak, jangan lupa ... Lala seperti biasa, yang satu perenam tu Lala punya share. Kak, jangan lupa ambil Lala kat asrama no.

     

    Okey... jawab aku lagi. Sambil membawa badan ke sofa di ruang tamu pula. Ya lah, suara Lala yang manja buat aku tersenyum pagi-pagi... abah akan genap 49 tahun minggu depan... 3:2:1 ya...? Maknanya, hadiah dibahagikan dengan formula: Kak Jaja bayar tiga bahagian sebab gaji Kak Jaja banyak. Kak Nini dua bahagian sebab dia anak kedua dan Lala cuma satu! Bijak, bijak, bijak sungguh adik-adik aku berbahagi harta... tapi untuk abah, aku sebenarnya tidak perlu berkira... walaupun setiap tahun, aku jadi mangsa mereka... mereka order, mereka tumpang tulis nama pada kad, dan bayarnya aku seorang. Ah, nak sambung tidur sekejap lagi. Masih ada masa ni.

     

    8:01 am - tidur semakin nyenyak –

    Telefon berbunyi, berkali-kali... ada ENAM miss call...

    7:41 am - Mira

    7:51 am - Mira

    8:01 am – Mira

    8:11 am – Mie

    8:21 am – Mie

    8:31 am - Mie

     

    Ada... TIGA mesej bersemayam di situ, dan entah berapa voicemail!

    1. Aku dah sampai – Mira
    2. Aku dah lama sampai. Cepatlah – Mira
    3. Kak, Nini nak share hadiah untuk abah juga... tapi hutang dulu sampai elaun masuk. TQ kak, love you.

    Aku masih bermimpi – masih tidak tahu aku ada enam miss called & tiga mesej... dan sekarung voicemail.

     

    Aku sedang mendayung di Sungai Thames dengan 'dia'... tiba-tiba perahu kami sampai Venice... langsung ke Sungai Korok: Wassim tersengih, dan 'dia' hilang di mana... kacau sahaja adik bongsu aku ni. Macam mana pula jalur sungai-sungai di Eropah tu bersambung dengan Sungai di Korok di Kedah ni? Tak pernah ada dalam peta sejak dulu pun. Ajaib! Ajaib!

     

    8:51 am

    Telefon berbunyi lagi, suara Wassim bergema... manja-manja ingin mengena seperti selalu

     

    WASSIM: Kak kalau balik, jangan lupa beli buku fasal gunung berapi untuk adik!

     

    Oh, kerana itulah Wassim masuk dalam mimpi aku yang indah... mengacaulah, Wassim ni.

     

    Jaja bingkas bangun dari sofa, melihat jam di dinding. Meneliti panggilan dan mesej yang berbaris panjang seperti gerabak kereta api. Kacaulah Suhaimi ni, mengganggu tidur aku pagi-pagi Sabtu. Jaja bergegas mencari tuala di bilik, berlari untuk ke bilik mandi. Kepalanya sudah pening-pening lalat asyik diganggu dengan semua panggilan telefon bimbit, sejak enam pagi lagi. Kenapa orang tidak pernah tahu Sabtu ialah hari rehat untuk Jaja. Belum sempat pintu bilik air dibukanya. Sekali lagi telefon rumah pula berdering.

     

    9:01 am

    SUHAIMI: Jaja, kenapa tak sampai lagi... Mira dah tunggu berjam-jam. HP hang kenapa?

    JAJA: Opss, sorry aku tertidur semalam selesema, overdose ubat. Ni aku nak keluar dah!!

     

    Jaja memandu laju ke Hentian Duta. Mujurlah, pagi-pagi ini tidak sesak sangat. Tentu sahaja muka Mira akan berkerut sejuta, Jaja memang rasa bersalah. Dia tidak suka pada Mira satu hal, tetapi dia tidak suka mungkir janji. Biarpun dia lakukan bukannya dengan ikhlas hati. Hanya kerana Suhaimi, teman baiknya... bukan kerana Mira teman wanita, teman baiknya. Bukan!

     

    Mira ni pun satu, kalaulah sahaja dia tidak beritahu Jaja fasal bas rosak itu, tentu sahaja Jaja tidak menyambung tidur. Jaja mencapai tisu. Dikesat hidungnya sekali lagi. Selesema ini sudah dua tiga hari tidak lega. Segera ditelefon Mira untuk minta maaf terlebih dahulu. Sekejap ya, aku dah lepas Jalan Kuching ini, kata Jaja dengan rasa sesal tak sudah.

     

    MUJURLAH, MIRA TIDAK MERAJUK. Dia sedang rehat-rehat di ruang menunggu sambil membaca di situ. Jaja melambai-lambainya, pura-pura mesra cuba menyembunyikan rasa bersalah. Mira membalasnya dengan sebelah tangan, sebelahnya dia memegang buku. Dia terus dan menandakan buku yang dibacanya tadi dengan bookmark. Tangannya pantas mencapai baju sejuk di riba. Sejak dua menjak ini, Jaja sudah boleh menerima Mira sebagai tunangan Mie, 60 peratus. Dia jadi kagum melihat Mira yang bisa menguasai hati Suhaimi secara mutlak. Terasa dia harus berguru dengan Cik Tomboy yang sudah bertukar menjadi sang rama-rama yang cantik... setelah sang lelaki macho dengan rambut separas bahu itu berjaya dipikatnya.

     

    Baru sahaja Jaja melangkah ke ruang menunggu, dia berselisih dengan seseorang yang begitu dekat dengannya lebih setahun ini. Wangi juga baunya. Tetapi bukan minyak atar, sukar untuk meneka apabila hidungnya tersembat  begini. Jaja cepat-cepat berpaling. Ya, dia. Dia melangkah pantas, dan menaiki bas di platform dekat-dekat situ. Bas itu baru sahaja tiba dari Puduraya.

    Jaja jadi terpegun beberapa saat. Sebelum Jaja melangkah mengikut dari belakang. Belum pun sempat dia mengejar, dia sudah duduk di dalam bas itu. Tidak seperti kebiasaannya, bas pagi itu segera sahaja berlalu. Bas hari itu hanya mengambil 'dia' di Hentian Duta: lalu mereka tidak ada sebab untuk menunggu lama.

     

    Jaja terkejut bukan kepalang melihat bas Transnasional ke Utara 'menculik' 'Si Hitam Manis' itu daripadanya. Bagaimana dia dapat mengejar bas yang sedang bergerak meninggalkan Perhentian Duta ini, dengan sandal dan seluar baggy separuh lutut begini? Baju merah cili kelihatan bagaikan traffic light bergerak aja kalau dia harus mengejar bas itu, pagi-pagi Sabtu begini.

     

    Jaja mungkin juga, bukan dia?

    Betul, itulah 'dia'... Jaja mencari gambar dalam dompetnya, memang sudah tidak syak lagi. Dan mata itu buat pertama kali menikam kalbunya di alam sebenar. Jaja tidak lagi sekadar menyimpan rasa pada sekeping foto kaku itu. Ya, dia memang betul-betul wujud. Jaja terasa hendak menangis melihat bas itu menderu laju ke jalan besar... tidak mungkin dia ada kesempatan ini lagi. Ya, sesaat itu dia menangis sambil tangannya melambai tidak sudah-sudah: tidak peduli.

     

    Dia bagaikan bulan yang rindu akan matahari, tapi sayangnya sampai bila-bila pung bulan dan matahari tidak mungkin bertemu. Ya, tidak mungkin bertemu kerana bulan menyirami malam dengan cahayanya, dan matahari menyinari siang dengan sinarnya. Waktu telah memisahkan mereka, teatpi masa tidak pernah bertimbang rasa... lalu aku hilang dalam celah-celah perbezaan masa itu....

     

    "Jaja," Mira mencuit bahunya dari belakang, dan tangannya mengheret beg beroda di sisi.

    "Kenapa menangis?" sambungnya.

    "Bukan selesema." Balas Jaja sambil, mengambil tisu dari saku seluar baggynya, pura-pura mengesat hidungnya dan kemudian, matanya pula.

    Mira mencapai tangannya, lalu gambar itu berpindah tuan.

    "Orang tadi? Kenapa?" tanya Mira dengan cerdik.

    "Tak ada, apa... ingat kawan lama." Jaja mengelak.

    "Orang dalam gambar ini... orang itu, kan." Kata Mira.

    "Tak ada apa-apa. Jomlah kita balik dan pergi sarapan." Kata Jaja sambil menarik beg Mira ke keretanya.

     

    Jaja memandu, melayan rasa dengan diamnya. Hatinya luluh, jiwanya resah. 

    "Orang tadi, naik bas ke Parit Buntar. Nama dia, Din." Kata Mira, seperti mengerti apa yang ada dalam fikiran Jaja sahaja.

    Jaja menjeling Mira.

    "Aku dengar tadi, dia berbual dengan adik lelaki sebelah aku. Dia tu kerja ustaz kut... sebab budak tu panggil, ustaz. Dan kemudian, bapanya budak tu panggil Din. Macam mereka kenal lama."

    Mata Jaja sudah bercahaya. Untuk pertama kali dalam hidupnya dia rasa ingin memeluk Mira, perempuan yang paling dia tidak suka.

     

    "Mira, macam mana kita nak cari. Company aku ada hutang dengan dia, dulu Suhaimi ambil gambar dia sebagai iklan, dan kami masih berhutang." Cepat-cepat Jaja cuba mencantas kemungkinan yang bersarang dalam fikiran Mira. Kalau sampai Suhaimi tahu dia ada hati pada Ustaz Din, mahu sahaja Suhaimi tergelincir Gunung Kinabalu terkejut. Suhaimi masih di Kota Kinabalu, mengambil gambar habitat di gunung tertinggi tu. Lusa baru pulang.

     

    Mira memerhati wajah Jaja. Kemudian dia memegang tangan Jaja.

    "Oh, kita boleh berpatah balik tanya budak tu dengan ayah budak tu." Kata Mira. Hati Jaja sudah berbunga senang. Tadi fikirannya tepu, dia bagaikan sudah putus harapan.
    "Kalau Jaja malu, biar Mira yang tanya." Kata Mira, dan Jaja cuma diam sahaja.

     

    Jaja membelok semula ke Hentian Duta. Selepas parkir kereta, dia dan Mira cepat-cepat ke ruang menunggu. Sayangnya, kedua-dua beranak tadi sudah tidak ada. Kalaulah dia datang awal mengambil Mira, tentu sahaja dia dapat bertemu Ustaz Din. Kalaulah dia tidak tertidur dari bilik melarat sampai ke sofa depan, macam orang kena ubat tidur... tentu dia sudah berkenalan dengan Ustaz Din. Apatah lagi kata Mira, Din sudah di situ ketika Mira sampai. Lama tu!!!

     

    Din? Din sahaja kah? Atau Din apa? Shamshiruddin, Shaharuddin, Shiffuddin, Shanazzuddin, Isllahuddin? Habis senarai anak-anak lelaki arwah Makcik Syikin dia sebut. Atau nama dia Mydin? Iskh ada ke Mydin... tak glamor langsung nama tu untuk orang sekacak dia. Kalau Nini tahu aku jatuh hati pada orang namanya Mydin, tentu dia ketawa tak cukup mulut!

     

    Mira datang sesaat kemudian. Sambil menghulur sekeping kertas.

    "Nombor bas, dan pemandu bas tadi... sah ke Parit Buntar." Kata Mira.

    "Nak buat apa?" aku bukannya nak mengurat pemandu bas ekspres tu, aku nak mengurat Din.

    "Petang nanti bas tu patah balik, Jaja tanyalah dia berhentikan Din ke mana?" kata Mira.

    "Mira... tentulah di stesen, ini kan... bas ekspres, bukannya teksi sapu." Balas Jaja pura-pura tidak peduli, padahal dia rasa sungguh terhutang budi kepada Mira. Tidak terfikir pada ketika itu, untuk berbuat begitu.

     

    "Ya, apa salahnya mencuba..." kata Mira sambil mengenyit matanya yang bundar.

    "Thanks, Mira." Kata Jaja, sambil mendakap Mira untuk pertama kalinya, setelah mengenali gadis itu bertahun-tahun.

    "Sama-sama kasih dengan syarat... kalau kau jadi pengantin, aku akan jadi pengapit." Kata Mira.

    "Eh, aku sekadar nak bayar hutang company, Mira." Kata Jaja dengan rasa sesak nafas. Dalam hati siap duk, amin, amin, amin... masinlah mulut kau Mira.

    "Jaja aku ni perempuan... dan aku kenal juga, antara air mata sebenar, dan air mata kerana selesema."

    Jaja masih buat-buat tidak tahu... dalam kepala otaknya sudah siap terisi beberapa maklumat.

     

    Nama: Din (Din apa tidak tahu.)

    Pekerjaan: Ustaz

    Tempat Tinggal: Parit Buntar

    Umur: ?

    Asal Negeri: ?

     

    Minggu depan dalam perjalanan balik ke Alor Setar, aku singgah ke Parit Buntar... Din & Jaja... sedapnya gabungan itu....

     

    [Bersambung...]


    Posted at 1:40 pm by noorsoraya
    Comments (20)  

    Saturday, November 03, 2007
    IV ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 4

    Aku, Dia & Kenangan

     

    Lebih setahun kemudian

     

    MEMERHATI POSTER IKLAN Berhati-hati di Jalan Raya... yang berbingkai ringkas tanpa cermin dan terlekat di dinding, Jaja diburu rasa sedih. Si Hitam Manis (sebenarnya, dia Si Putih Kuning... tetapi Jaja tetap memanggilnya sebagai Si Hitam Manis) belum Jaja temui lagi.

     

    Kenapa panggil dia Si Hitam Manis, Jaja?

    Sebab waktu cinta ku bersemi, lagu itu yang berkumandang di radio. Kan hari tu Jaja dah cakap, kenapa harus buat-buat lupa! Tetapi setelah tahu namanya Burhanudin... Jaja suka menyerunya sebagai 'Din'. Din dan Jaja... kan sedap bunyinya: Din dan cinta itu, sinonim! Gatal!

     

    Jaja, macam boleh tak jumpa?

    Macam mana nak jumpa kalau Suhaimi tidak langsung tahu di mana lokasi tanah perkuburan tu, dan beberapa bulan selepas itu Suhaimi terlupa terus akan hal tersebut. Agaknya kepala Suhaimi tepu dengan masalahnya – Mie dan Mira - sahaja. Aku ini bukannya siapa-siapa yang harus diberi perhatian. Setiap kali (bukannya berkali-kali, ada lah tiga empat kali, sebenarnya) aku bertanya dia, dia akan menepuk dahi, dan berkata: "Sorry, aku lupa lagi. Baru saja minggu lalu aku balik Loq Staq... aku tak dan nak tengok tempat tu."

    Entah kenapa waktu itu, aku masih lagi malu-malu lagi untuk berterus-terang kepadanya. Aku bagaikan cuba menyimpan rasa dengan berselindung di sebalik sehelai kain kasa. Ada ke peribahasa begini?

     

    Cuma yang aku tahu, menurut Man... mereka masuk jalan kampung. Hari itu, pagi Jumaat (tarikhnya, Man lupa). Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan kerana hari itu lebuh raya sesak sangat, ada kemalangan jalan raya yang belum dipindahkan sejak Subuh dekat terowong tu. Rasanya selepas Sungai Perak, kami masuk kawasan kampung. Mendengar tip begitu, aku selalu sahaja memandu ke Utara mengikut jalan kampung. Malah kadang-kadang sebelum Sungai Perak pun, aku sudah memintas ke jalan kampung. Manalah tahu, kalau-kalau Man salah bercerita, salah memberi petua?

     

    Aku tidak jemu-jemu memerhati masjid dan melihat kalau-kalau tanah perkuburan itu seakan-akan dalam gambar iklan itu. Aku memandu perlahan. Aku yang selama ini lebih senang memakai jean dan baju-T kalau memandu pulang, tiba-tiba memilih baju kurung. Manalah tahu kalau-kalau aku terpaksa singgah di mana-mana tanah perkuburan dan bertemu dengan Din atau orang yang kenal Din di situ. Tak mungkinlah pula aku berani melangkah ke masjid dengan jean ketat dan baju-T sendat begitu.

     

    Sementara itu, gambar Si Hitam Manis ini pula aku simpan dalam tas tangan supaya senang untuk dirujuk tatkala melalui jalan-jalan kampung. Tetapi hampa. Dia sudah hilang; aku tidak mungkin dapat menjejakinya lagi. Jaja, kamu mengalah dah ke? Tak mungkin pula tidak jumpa, sebab lokasi ini ada dalam peta Malaysia lah, Jaja. Go Jaja go, hatiku memberi semangat!

     

    Di mana dia tinggal, ya? Kalau tahu lokasinya, aku sanggup jadi pegawai banci mengetuk setiap rumah. Jaja, kau ni sudah parah!

     

    "Dia anak jin kut," usik Man. Aku jadi sakit hati. "Anak buluh betung kut," sambung Mie... nasib baik, Mira tidak menambah: kalau tidak... aku... aku. Huh, tak tau lah malas nak cakap. Rasa tidak senangku kepada Mira berlarutan sehinggalah dia menjadi sebahagian watak penting dalam cerita aku dan Din! Nantilah, aku bercerita... kalau sudah bercerita awal-awal mana lagi asyiknya cerita ini. Aku tidak suka kepada Mira, kerana aku rasa, sekiranya Suhaimi tidak memilih Mira... dia akan lebih cemerlang dalam kerjayanya. Mira menyekat kreativiti Mie dengan sikap suka merajuknya itu. Mie membuang masanya hanya dengan memujuk Mira yang cengeng.

     

    Ho ho ho... Jaja, entah-entah kau suka pada Mie... sebab itu kau iri? Kau cemburu pada Mira? Hish, aku kan dah jatuh hati pada Si Hitam Manis!! Tiada yang lain, melainkan dia sahaja...!

     

    Aku menyembunyikan alasan 'utama' kenapa aku mencari Din pada mereka. Aku sekadar memberitahu, hutang syarikat kepada talent harus dibayar. Kerana Suhaimi tidak mahu bertanggungjawab, elaun itu aku simpan. Ya lah kalau audit semak, takut tidak tele. Kononlah... itulah juga alasan yang membuat aku duk practise skripnya sekiranya aku terserempak dengan Si Hitam Manis:

     

    "Encik, saya dari agensi periklanan Universal McCann... saya 'ditugaskan' menyerahkan dokumen dan duit ini...." Kemudian aku dapat mengambil kesempatan untuk memanah matanya dengan jampi-jampi sikit, sebelum menambah. "Jom, kita minum depan tu sekejap, ada hal yang perlu 'pihak kami' bincangkan... kita berminat untuk mengambil Encik untuk iklan Brylcreem." Dengar tu frasa yang aku gunakan untuk mengurat Cik Din, 'ditugaskan', 'pihak kami'... chewah, Jaja.

    Oh, kemudian aku akan pura-pura menyuruh dia membuka kopiah putihnya, kerana aku perlu melihat wajahnya secara keseluruhannya sebagai prasyarat untuk menjadi model iklan minyak rambut. Jaja, bawa-bawa mengucap sikit!

     

    Okey lah, aku sambung lagi. Kerana itulah, sampul duit itu sentiasa aku simpan dalam dompet. "Ala kak, biar ajalah... dia pun tak kisah agaknya..." kata Man, sewaktu aku bertanya tentang lokasi gambar yang diambil Mie. Waktu itu kami sekeluarga ke rumah Pak Junaidi, ada rumah terbuka sempena hari raya. Mie juga menjemput Mira ke rumahnya. Mira tidur rumah keluarga Mie malam itu. Kalaulah aku berani buat begitu, tentu sahaja aku hampir-hampir kena tembak dengan abah macam cerita Antara Dua Darjat tu.

     

    Oh, ya aku lupa memberitahu yang abah sudah masuk kelab menembak, setelah meninggalkan padang golf. Abah aku tu, walaupun berfikiran terbuka, tetapi apabila datang bab begini, fikirannya sangat konservatif. Anak perempuan harus menjadi perempuan, satu sifatnya... sopan binti santun dan sifat kedua, segan binti silu: tanpa kompromi lagi. Sebab itu aku jadi hairan, apabila abah jadi kelu dan menurut sahaja kemahuan aku supaya meminang Din.

     

    Kebetulan pula gambar 'buah hati Jaja' tu dibincangkan di tengah rumah. Pak Junaidi dengan bangganya memberitahu yang idea iklan (iklan itu disiarkan muka penuh di semua akhbar untuk tiga hari) ini, Mie yang buat. Dan Mie segera menambah, "Jaja yang pilih gambar itu." Kemudian semua orang memuji-muji Mie dan sekejap sahaja tetamu di ruang itu bercerita fasal lain.

     

    Hmm, macam mana aku hendak bertanya ini?

    Akhirnya aku bertanya juga. Walaupun hendak bertanya itu pun, seorang Jaja terpaksa berfikir lima kali. Ala, Jaja lima kali tu tidaklah lama mana pun, tidak la dramatik sangat, ejek hatiku. Aku jadi bimbang anak-anak Pak Junaidi mengesyaki apa-apa. Man dan Mie teman sepermainan aku sejak kecil, sebelum abah berpindah ke rumah kami sekarang – di Lot No. 376, Taman Golf – yang dulunya, milik Uncle Aqmar dan bekas isterinya, Auntie Lida.

    Rumah ini, hadiah daripada Nenek Syarifah untuk anak lelakinya, Aqmar Aziz. Namun betapa rapat pun Jaja dengan Uncle Aqmar, Jaja tidak pernah sekali pun bertanya soal rumah itu. Tetapi kalau umi ada ura-ura nak berikan banglo comelnya ini untuk Wassim? Bagaimana? Hmm, asalkan Jaja dapat kahwin dengan Din, Jaja sudah tidak mahu berebut harta dunia lagi. Oh, Jaja aku sungguh teruja dengan kata-katamu, kalau buat skrip untuk drama tentu saja Rashid Sibir pun teringin untuk mengarah cerita kau dengan Din ni. Sudah parah sangat, ni!

     

    "Ala kak, biar ajalah... dia pun tak kisah agaknya..." ulang Man semula. Hish, Man ni. Kalau jadi apa-apa kepada Kak Jaja sebelum melunasi hutang orang, bagaimana? Aku menjual cerita. Man akur, Suhaimi percaya. Dan yang menyedihkan Man tidak dapat tolong mencari lokasi gambar itu, kerana cuti panjangnya sudah habis, dan dia harus kembali ke Nagoya. Man berkursus di sebuah kilang seramik – Mikasa – di sebuah kilang di sana. Aku menjadi hampa.

     

    Kata Man... tahun ini (2003), dia tak pulang bercuti. Ya lah, tahun sudah dia pulang sampai kali. Jadi tahun depan lah, Man tolong  Kak Jaja cari tempat itu... itu pun kalau Man masih ingat tempatnya. Janji tinggal janji. Man berkahwin dengan gadis Jepun, dapat kerja di sana... dan tidak pulang-pulang sehingga sekarang. Sehinggakan Makcik Robot (sebenarnya, Robe'ah... tetapi aku dan Nini panggilnya begitu, tentu aja di belakang Man dan Mie) sudah merungut.

     

    "Faiza..." suara Din membuat aku tersentak dari cerita lama itu.

    "Ya," jawab aku ala-ala isteri mithali alaf baru. Syyyh, susah dah nak jumpa isteri yang taat macam Jaja ini. Sebab apa, Jaja tak pernah tidak menjawab apabila dipanggil. Jaja tidak pernah bercakap buruk fasal Din di belakangnya. Jaja tidak pernah tarik muka, apalagi merajuk hendak dipujuk macam Mira. Kalaulah Jaja sedang berangan, Jaja akan segera berhenti berangan untuk menjawab panggilan Din.

    "Faiza!" panggil Din lagi. Eh, Jaja sudah dua kali Din panggil... setakat menjawab tetapi tidak bergerak ke tempat Din, tak ada semithali mana!

    "Ya."

    "Dah ambil wuduk... jom qiamullail." Kata Din sebelum membentangkan sejadah di tengah-tengah kondominium aku... opss, kondominium kami.

     

    Jaja... ceritanya akan bersambung bila ni?

    Sekejaplah... aku pun teringin hendak meniru teknik Scheherazad dalam Kitab 'Alf Layla wa-Layla (cerita Seribu Satu Malam) tu: berhenti di saat tengah suspens. Okey, aku pergi dulu ya.

     
    [Bersambung]
    ____________

    Catatan:

    Sedutan episod akan datang:

     

    Jaja terkejut bukan kepalang melihat bas Transnasional ke Utara 'menculik' 'Si Hitam Manis' itu daripadanya. Bagaimana dia dapat mengejar bas yang sedang bergerak meninggalkan Perhentian Duta ini, dengan sandal dan seluar baggy separuh lutut begini? Baju merah cili kelihatan bagaikan traffic light bergerak aja kalau dia harus mengejar bas itu, pagi-pagi Sabtu begini.

     

    Jaja mungkin juga, bukan dia?

    Betul, itulah 'dia'... Jaja mencari gambar dalam dompetnya, memang sudah tidak syak lagi. Dan mata itu buat pertama kali menikam kalbunya di alam sebenar. Jaja tidak lagi menyimpan rasa pada sekeping foto kaku. Ya, dia memang betul-betul wujud. Jaja terasa hendak menangis melihat bas itu menderu laju di jalan besar... tidak mungkin dia ada kesempatan ini lagi.

     

    Dia bagaikan bulan yang rindu akan matahari, yang sayangnya sampai bila-bila tidak mungkin bertemu kerana bulan menyinari malam, dan matahari menyinari siang. Waktu memisahkan mereka, masa tidak pernah bertimbang rasa... aku hilang dalam celah-celah perubahan masa....

     

    Yuhuuu... sampai jumpa lagi ke Episod 5 ya!


    Posted at 8:28 am by noorsoraya
    Comments (22)  

    Wednesday, October 31, 2007
    III ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 3

    AKU, DIA & PERASAAN


    Dua bulan sebelum Aidilfitri 2002

     

    SEBENARNYA TUGAS AKU sebagai Media Planner tidak ada sangkut paut dalam mencari talent untuk iklan, apatah mengendalikan kerja-kerja Art Director seperti Kagee, Meng Yuen dan Viola. Tetapi apabila ada waktu lapang aku suka sekali ke ruang itu. Suhaimi, junior aku semasa di UiTM Shah Alam, menjadi photographer dan membantu kerja-kerja di ruang seni itu. Kami – orang Melayu – tidak ramai bekerja di sini. Tetapi aku tidak nafikan apabila datang bab kreatif, Suhaimilah yang terpandai... mengalahkan Yuen dan Viola yang kerja lebih sepuluh tahun itu. Sejak dulu, aku sering sahaja membantu Suhaimi dengan kerja-kerja seninya; aku mahu kalau ada kenaikan pangkat di jabatannya, dialah yang terpilih.

    Tetapi ya, begitulah... sudah dua tahun Suhaimi di sini, dia sekadar tukang foto dan tukang buat story-board sahaja. Padahal prestasi kerjanya cemerlang sangat. Kami akrab di sini, sebab keluarga kami saling mengenali sejak dari kecil lagi.

    Dia sering sahaja meminta pendapat aku: maklumlah kerja aku hanyalah tengok televisyen, dengar radio, baca surat khabar serta meneliti segala mak nenek hal yang berkaitan dengan media. Aku perlu buat research untuk membeli ruang iklan untuk klien. Aku harus booking lebih awal dari masa yang sepatutnya. Kerana itulah, kalau tidak cekap... mana mungkin klien kami dapat ruang pada prime time... tambah-tambah lagi, kalau musim perayaan... siapa lambat putih matanya. Walaupun baru dua tahun bekerja di sini, tetapi aku tidak pernah menyangka, aku diberi tanggungjawab sebesar itu: inikan syarikat mat salih.

    Sejak aku memasuki bidang ini, orang kerja di TV, akhbar dan media periklanan adalah teman akrab aku. Kami sering bertukar-tukar pendapat fasal iklan yang bagus dan berkesan; fasal iklan yang cantik tetapi tidak membawa manfaat... iklan yang tidak efektif menghabiskan duit klien dan masa pengguna; juga iklan yang memberi impak yang negatif.

    Kami juga kadang-kadang boleh berbual berkali-kali, mengenai iklan makanan ringan 'syarikat Mat Sentol' yang menggunakan teknik begitu-begitu juga, suara yang macam-macam tu lah juga... sukses dia berbanding dengan syarikat anu tu, yang menggunakan khidmat agensi periklanan tersohor, tetapi gagal dan ranap terus.

    Mat Sentol! Teringat pula aku pada Lala yang sampai sekarang ini masih suka makan Ding Dang la Ding Dong la, sampai umi mengamuk kerana dia kurang makan nasi. Dengan hadiah dalam pek makanan ringan entah apa-apa itu pun, dia sudah terliur bukan main. Lala kini sudah tujuh belas tahun, tetapi tabiat makan dia... hush, malas nak bercerita.

    Berbalik pada cerita Suhaimi semula. Kami memang rapat. Kami akan berbual dan membuat pelbagai klasifikasi tentang apa sahaja iklan. Dia suka bercerita kepada aku tentang ideanya, dan aku menokok tambah apa yang perlu, lalu setiap kali iklan bergerak di TV, atau berkumandang di telinga, atau tertera di billboard apatah lagi di dada akhbar, aku tumpang berbangga sama.

    Aku akan syok sendiri... dan menambah dalam hati... oh, kat situ aku yang tambah... mujurlah kat situ aku suruh Suhaimi buang dulu. Apatah lagi aku juga kamceng dengan copywriter. Jadi walaupun aku ini Media Planner tetapi kepala otak aku tetap digunakan di jabatan Suhaimi, juga oleh Cik Liena si copywriter berbahasa Melayu tu. Sesekali aku mendapat upah makan tengah hari percuma. Tetapi hubungan aku dengan Suhaimi setakat waktu pejabat dan di ofis sahaja, makwenya cemburu tahap gaban. Padahal aku lebih tua daripada Suhaimi. Dan Suhaimi sendiri tahu, aku tidak mungkin menguratnya: ingat tak rules aku yang Nombor 1, pasangan aku mestilah lebih tua, paling-paling tiga tahun daripada aku.

    Pagi itu begitulah, sudah dua hari Suhaimi menyuruh aku ke ruangan kerjanya. Ada 'idea' yang ingin dia berkongsi juga. 

    "Jaja, tengok sat aku punya storyboard ni... untuk paper." Kata Suhami. Aku baru sahaja mengunyah sandwic double decker. Dengar tu Mira, tak kanlah Suhaimi nak sebut dirinya, sebagai 'aku' kalau aku ni betul makwenya. Lepas tu dia panggil aku 'Jaja' atau 'hang' sahaja... padahal dekat kau dia panggil, 'sayang' apa? Ceh, sampai nak tergeliat lidah aku mengulanginya dalam hati! Sayang-mayang macam ini aku pun jadi pening mendengarnya. Budak macho macam Suhaimi boleh cair macam kek keju blueberry dengan Mira yang tomboy.

    "Tak tau nak pilih gambar apa. Untuk iklan raya!" kata Suhaimi, sambil menunjukkan gambar yang berselerak atas meja. Kagee, bos Suhaimi belum datang. Suhaimi memang datang awal, sebab kena menghantar Mira ke tempat kerjanya terlebih dahulu. Kadang-kadang aku hairan juga melihat makwe yang manja-manja macam ni. Pergi mesti berhantar, balik mesti diambil... makan mesti berteman! Lepas tu part yang buat aku meloya, suka merujuk dan perlu dipujuk! Yang menghairankan aku lagi, dalam banyak-banyak perempuan dalam Jabatan Komunikasi dulu tu, ada ke Mira yang dia pilih. Tapi aku mana tahu hal cinta, tidak sekalipun aku pernah jatuh cinta. Cinta pada abah, umi dan adik-adikku ada lah. Cinta pada pakwe... eee, itu bukannya Jaja, itu Jojet barangkali...!

     

    Aku membelek-belek gambar yang sudah dipilihnya. Ada lebih daripada sepuluh. Dalam membelek-belek itulah, aku terpandang pada gambar Din untuk pertama kalinya yang diasingkan sebelah lain. Sat.. sat.. sat... aku nak describe gambar ni dulu, sebab inilah part yang membuat aku terpaut:

     

    Seorang lelaki muda memakai kopiah putih, sedang bertafakur di pusara seberang jalan. Matanya bening, janggutnya sejemput. Memakai kemeja putih yang dilepaskan di luar. Tangan kanannya memegang surah... bersila di atas tanah sebelah batu nisan. Tangannya yang sebelah memegang tanah.

     

    Pagi masih berkabus, belakangnya bukit-bukit yang berderet. Tanah perkuburan yang bersih terjaga, rumput menghijau menutupinya. Ada kuntum-kuntum kemboja di atasnya. Macam lukisan. Dan suasana jalan raya yang lenggang di depan pusara itu juga, bagaikan menghasilkan suasana yang penuh kontra. 

     

    Gambar nisan-nisan di sekelilingnya kabur... hanya satu itu menjadi fokus utama. Di tepi jalan itu, ada pagar jarang yang memisahkan: dua suasana. Tetapi gambar itu dirakam pada celah-celah pagar itu.

     

    Tiba-tiba aku nampak sepasang burung bertenggek di nisan tu. Maknanya, si lelaki tidak bergerak dan khusyuk sedari tadi. Atau bacaannya sudah melekakan sang burung-burung. Mukanya jernih! Pasti suaranya mempesonakan juga... sehingga burung-burung jadi enggan terbang... dan pepatung itu, ah mempesonakan...

     

    Subhanallah, sudah lama aku tidak mengucapkannya.

    "Jaja... Jaja." Suara Suhaimi mengganggu aku daripada terus teruja. Matanya yang menunduk, membuat aku jadi resah. Pertama kali, rasa yang pelik menjalar deras di seluruh hati. Hati aku tiba-tiba tertutup untuk yang lain, hanya dia... yang ada hanya dia!

     

    "Aku suka gambar ni. Guna gambar ni." Arah aku, macamlah aku ni Kagee, Art Director di sini. Aku pura-pura membelek yang lain, tetapi hatiku cuba memusat ke arah gambar tadi juga, memandang dari jauh dalam resah.

    "Memang aku suka gambar ini... sesuai. Ini kempen untuk berhati-hati di jalan raya... di musim perayaan. Tapi..." kata Suhaimi, sebelum aku cepat-cepat memintas.

    "Memang sesuai pun, ada kubur... lambang kematian. Lelaki di perkuburan sedang bertafakur. Dia lambang c-i-n-t-a... cinta seseorang pada seseorang yang telah pergi, akibat kemalangan. Pembaca boleh kaitkan begitu." Hish, dengan susah payah aku menyebut kata 'cinta' itu... sebab aku sedang jatuh cinta kepadanya. Gatal!

    "Sunyi di belakangnya, jalan raya lenggang di depan. Burung-burung berkongsi kesedihan. Pagar yang memisahkan kesunyian dan kesesakan secara simbolik! Tinggal mencari ayat yang sesuai sahaja. Ayatnya jangan panjang, Mie. Biar golongan sasar kita menghayati peristiwa dari dalam gambar ini sahaja... kerja mengayat tu serah aja pada Liena, dia expert." Sambung aku lagi, tanpa memberi ruang kepada Suhaimi mencelah.

    "Gambar bercerita seribu cerita kan?" kataku mengakhiri pendapat yang panjang lebar itu, dalam diam cuba mempengaruhi Suhaimi dengan idea aku, dengan pilihan aku....

     

    "Hmmm... tapi..." Suhaimi mendengus. Aku tahu, dia tidak menyukai ayat aku yang terakhir... gambar bercerita seribu cerita! Ada cerita lain di sebalik kata-kata itu.

    "Ya, sesuai... pakai saja gambar ini." Kataku sekali lagi, menyembunyikan rasa hati daripada dapat dikesan oleh Suhaimi. Aku bimbang Suhaimi tukar fikiran. Aku juga bimbang Suhaimi mula perasan sesuatu....

     

    Padahal baru sahaja minggu sudah aku menegaskan... aku tidak akan berkahwin dalam usia muda. Aku ingin berjaya dalam karier aku dulu, rumah tangga akan mengganggu aku membina nama!

    Ya lah apa tidaknya, kebetulan Suhaimi terdengar... Nini bertanya sama ada aku ingin menerima cadangan Uncle Aqmar untuk menjodohkan aku dengan anak sulung Auntie Umairah. Memanglah glamor berkahwin dengan engineer robotik yang duduk di US dan bekerja dengan NASA tu. Tapi, biar dia nak hadiahkan aku Ferrari sepuluh biji pun, aku tetap mengikut rules Nombor 3 dan 4. Dia orang Kedah, biarpun dia dah dapat PR Amerika, dan NO aku tidak suka mereka pasang-pasang aku dengan siapa-siapa. Tak suka. Noktah!

    "Jaja... aku pun setuju. Foto ni bagi impak yang bagus. Tengok lelaki ini... tengoklah..." kata Suhaimi, menyorong gambar tu ke depan aku semula. Aku sudah tidak berani memandang mata yang tertunduk membaca surah itu lagi. Jantung bergerak laju, mengalahkan... ah, tak tau lah mengalah apa. Aku menolak semula gambar itu kepada Suhaimi.

     

    hitam manis hitam manis

    yang hitam manis

    pandang tak jemu pandang tak jemu

    yang hitam manis pandang tak jemu

     

    Tiba-tiba aja, lagu dari radio mendendangkan suara R. Azmi pula. Ya, memang pandang tidak jemu. Parah dah aku ni. Seumur hidup aku... tidak pernah sekalipun aku jatuh hati. Biarpun sudah ramai yang aku jumpa, sudah ramai yang telah aku temui... malah ada juga dari mereka yang seorang dua pernah melafazkan rasa hati mereka, tetapi aku tidak pernah sudi. Not my type... aku kan nak kahwin dengan mat salih.


    hitam manis hitam manis

    yang hitam manis

    paras mu elok buah hatiku

    siang dan malam selalu ku rindu

     

    di waktu bulan terang cuaca...

    ku pejam mata tapi tak lena

    yang hitam manis datang menjelma

    yang hitam manis datang menjelma

    kenangan yang menggoda

    aku teringat pandang pertama


          "Kat mana kau ambil gambar ni, Mie?" Aku pura-pura buat dono padahal hati ingin bertanya macam-macam.

    "Aku dalam perjalanan balik, cuti Maulud Nabi hari tu... masa Man berhenti dekat lampu isyarat aku tangkap. Bila balik dan cuci gambar... aku rasa gambar ni sesuai untuk kempen sempena raya ni... tapi..." kata Suhaimi.

    "Tapi apa, dari tadi asyik tapi... tapi."  Aku bertanya, walaupun suah bertahun-tahun duduk di KL ini, kami tetap menggunakan loghat utara ini dengan fasih lagi.

    "Macam mana nak guna gambar ni, bila aku tak dapat izin daripada tuannya... kita nak bayar dekat sapa duit untuk talent ni?" Masih dianggap talent ke kalau kita tangkap gambar curi begini, sambungku dalam hati. Pedulikan, asalkan disiarkan aja.

    "Tak pi balik ka ke tempat tu, cari dia?" Aku semakin berdebar, dengan segala informasi daripada Suhaimi.

    "Aku tak ingatlah kat mana... aku tengah mamai, tiba-tiba Man menjerit suruh aku ambil gambar lelaki di tanah perkuburan ni." Kata Suhaimi terus bercerita tanpa sedar yang aku sedang mengumpul informasi. Ya lah, Suhaimi kalau tidur pun, tetap memeluk Nikonnya.


          Siapa dia? Siapa ya? hatiku terus bertanya.

    "Tak kan tak ingat sedikit pun..." tanya Jaja.

    "Jaja tau la, Man... bawa gheta macam mana... tak dan kita nak kata apa, dia dah pecut... tapi kalau tak salah aku sempadan antara Kedah, Penang dan Perak." Suhaimi dengan adiknya, Sulaiman memang rapat. 

    "Lepas Bukit Merah lah kut." kata Suhaimi.

    "Hah, Bukit Gantang mungkin juga...." sambung Jaja.

    "Tak... tak aku rasa dekat Jawi kut." Sampuk Suhaimi.

    "Juru?"

    "Aku tak boleh fikir la Jaja, aku proceed saja, gambar lain tak sesuai la... nanti kalau aku kena, hang tolong backing la." Kata Suhaimi.

    "Ya, aku sokong la... selalu pun aku sokong apa. Tapi kalau Mie bubuh gambar lain, aku tak akan tolong ya." Kata Jaja, sambil berlalu... Suhaimi tahu, aku dengan Kagee rapat sangat. Kami boleh bersenda gurau.

    "Oh, satu lagi Mie... apa susahnya, bila dia atau keluarganya nampak gambar ni, depa mesti contact... masa tu kita bayar la pada talent." Kataku sebelum menolak pintu kaca di jabatan Suhaimi.

    "Oiit, selalu hang juga lah yang suka bekerja pakai segala etika?"

    "Sesekali kalau ada peluang, aku rasa kita rebut peluang la… eh, nanti bila Mie print poster tu beri aku satu… aku nak letak di hospital abah, mana tahu kalau-kalau ada pesakit abah yang kenal orang ini… senang kita bayar duit posing dia tu." Betul ke Jaja? soal hatinya berulang kali. Wajah tulus itu mengganggu sekali lagi hatinya. Mengganggunya untuk beberapa tahun lagi. Wajah itu....

    "Jangan bimbang Jaja, aku bagi Jaja dua keping... satu untuk Jaja letak dalam bilik juga… dan gambar original ini, aku akan frame kan dan bagi juga." Usik Suhaimi sambil meneruskan kerjanya.

    "Terima kasih, untuk pendapat berharga Jaja ni," kata Suhaimi tidak panggung-panggung kepala lagi.


    Jaja berjalan pantas ke biliknya. Suara radio sudah bertukar ke Light & Easy, maknanya Kagee dan Viola dah datang. Suhaimi mana berani membuka radio Era kalau bosnya sudah tiba. Jaja menyambung lagu itu dari dalam biliknya.

     

    hitam manis hitam manis

    yang hitam manis

    pandang tak jemu pandang tak jemu

    yang hitam manis pandang tak jemu

     

    Jaja, begitu saja ke pertemuannya? Tidaklah seunik mana pun. Eh, itu baru babak satu... kan Jaja dah cakap, ada tiga babak pertemuan, kan? Sanggup lagi ke kau orang menadah telinga mendengar cerita Jaja dan Din, ni?


    [Bersambung....]


    _____________
    Catatan:

    1.      Hitam manis yang hitam manis... kaksu suka lagu ini :O

    2.     kaksu masih lagi dalam 'tahanan opis' maaf tidak sempat untuk sama-sama bergumbira di sini.

    3.     Selamat ulang tahun untuk Mar dan Infazety, semoga mendapat umur yang berkat di dunia dan akhirat.

    4.     Terima kasih pada semua, yang sabar menunggu cerita Jaja yang ini...

    5.     Maaf Zahir Batin, selagi ada musim raya... kita bermaaf-maafan

     

    Sayang,

    kaksu 


    Posted at 10:10 pm by noorsoraya
    Comments (20)  

    Thursday, October 25, 2007
    II ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 2

    AKU, UMI & ABAH

     

    "Jaja jumpa dia kat mana?" soal umi

    "Di mana Jaja temu anak ustaz tu?"tanya abah

    ...jadi kat mana ya, aku jumpa dia?

     

    Semua soalan berpusat kepada suatu inti pati yang sama walau bagaimanapun strukturnya.

     

    Soalan umi berbau cemas dan ingin tahu... pada saat aku mengumumkan pilihan hati aku, umi bagaikan mendapat aduan daripada guru disiplin! Cemas, cemas... dan cemas. Umi tentu bimbang kalau-kalau tengah hari tadi aku makan kerutup daging di gerai depan tu... kata umi, sekarang ni wabak penyakit kuku dan mulut di Alor Setar. Ya Allah, Doktor Haslinda... penyakit tu tak efek otak pun. Jaja sihat binti waras!

     

    Pertanyaan abah pula penuh dengan nada lucu... abah jadi teruja, seperti aku ni menemui Din dekat pokok buluh depan tu... Din tu anak buluh Betong!  Dan hubungan aku dengan Din sudah menakutkan abah... abahku  yang seorang gynecologist ini bagaikan mulai percaya pada cerita-cerita Tamar Jalis lah pula. Hm, sejak kecil memanglah aku suka membaca buku-buku daripada penulis tu, koleksi abah sewaktu abah masih remaja dulu-dulu aku khatam, semuanya. Agaknya, sudah sampai saatnya... abah rasakan aku ini sudah ditimpa rasukan?

     

    Abah dan umi, memang wajar cemas. Aku Si Jaja yang selama ini sangat memilih dan ada seribu alasan untuk membuat pilihan, tiba-tiba jadi begini. Aku bagaikan dirasuk, memilih seorang yang tidak pernah terdetik untuk aku pilih; pada waktu mana pun mengikut kiraan mereka. Malah aku sendiri pun ingin bertanya soalan begitu pada diriku sendiri tentang hal ini, sebelum terus bercerita.

    Rupa-rupanya cinta telah membawa hatiku terbuai-buai ke sana sini tanpa perlu berhenti di mana-mana 'lampu isyarat'... apalagi perhentian, cinta membuat aku tidak lut lagi dengan segala 'peraturan hati' yang selama ini aku junjung:

    v      aku ingin memilih suami yang usianya, paling-paling 3 tahun tuanya daripada aku

    v      aku tidak mahu berkahwin dengan guru... cukuplah aku kenal seorang Cikgu Shaari dalam cerita Masam-Masam Manis tu... bagiku lelaki yang jadi guru, karakter mereka membosankan

    v      aku nak kahwin dengan orang negeri lain, lelaki-lelaki muda dari Kedah mengikut firasatku tidak gentleman lagi... aku ingin kahwin dengan mat salih, misalnya!

    v      aku ingin kenal dan bercinta, aku tidak mahu dipasang-pasangkan, tidak mahu tergesa-gesa

    v      aku tidak akan memulakan 'perkenalan' dulu, kerana perempuan harus ada egonya... ada gengsinya... menjaga martabatnya!

     

    Huh, semua peraturan itu aku terpaksa buang... tidak pula aku ikut walaupun satu, apabila aku bertemu anak Che' Pa tu!

    v      Din muda hampir setahun daripada aku (ya lah aku lahir 1.1.1978 dan dia lahir 31.12.1978)

    v      Din memang seorang guru (malah kalau di sekolahnya, orang panggil ustaz pula!)

    v      Din orang Kedah, berasal dari Baling... (sahlah, anak jati Kedah sejak turun-temurun lagi... tidak syak lagi) 

    v      Din ingin bercinta sebelum kahwin? (nauzubillah... dia kan anak ustaz... dan dia lepasan Universiti Al-Azhar, mustahil sekali)

    v      Din tak pernah memulakan... ya lah, sebab aku yang gatal! (betul tu!)

     

    Apa yang telah terjadi kepada aku ni, sebenarnya? Apa yang terjadi, ni?

     

    Betulkah ada cinta pandang pertama?

    Aku selalu tidak pernah percaya pada frasa ini... mustahil!

    Sehinggalah... aku tertarik pada fotonya, yang diambil oleh Suhaimi untuk projek iklan hari raya 2002

     

    Betulkah dia pilihan hidupku?

    Aku tidak pernah waswas tentang perkara ini... bagiku tiada yang mustahil!!

    Padahal perasaan waswas sudah mengikut dan menguasai aku selama ini: lipstik aku cukup merah atau tidak, rambutku sudah cukup perang atau tidak, mataku perlu menggunakan lensa hijau, kelabu atau biru, atau biarkan perang atau hitam sahaja!  

     

    Betulkah dia juga memlilih aku?

    Untuk ini aku tidak pernah ada jawapan... kayu pengukur antara ya dan tidak, aku belum pasti

    Oleh itu, nasihat Uncle Aqmar aku jadikan azimat!

     

    Nasihat umi:

    Jaja fikir betul-betul dulu... sebelum buat keputusan.

    Umi ni, Jaja sudah habis fikir... kalau umi tahu bagaimana Jaja menunggu bertahun-tahun untuk bertemu dia... tentu sahaja umi akan panggil orang TV3 datang buat liputan khas. Cerita ini lebih sensasi daripada cerita Doktor Sheikh naik ke angkasa. Cerita Jaja mencari Din, boleh aja rakam dalam siaran Mencari Jodoh di TV9. Malah kita boleh aja panggil Kak Shaidah yang kerja dengan Berita Harian tu tulis dalam satu ruang besar... kerana cerita Jaja ni akan memberi motivasi kepada perempuan yang suka memendam rasa berabad-abad, tetapi tidak pernah mengambil inisiatif untuk menghebahkannya... memulakan sesuatu. Amboi, Jaja... pernyataanmu sungguh menguja! Kamu sudah layak membuat seminar motivasi untuk perkara ini!

     

    Sambung abah:

    Jaja lihat dulu pro dan kontra... Jaja ada banyak masa untuk membuat keputusan apalagi pilihan.

    Abah ni, Jaja ada banyak masa, ka? Umur Jaja sudah dua puluh tujuh tahun dah, bah. Bukannya baru berumur tujuh tahun. Kalau tidak kerana Jaja suka kat dia... dan terbuka hati dekat dia, sampai umur tujuh puluh tahun tak kahwin pun tak apa. Abah, pro dan kontra menjadi satu... apabila kita bercakap benda yang bertentangan dengan hati kita... tetapi kalau kita sekufu  dengan hati dah, semua jawapan tetap 'ya'. Ewah, Jaja... dengan abah kamu yang sudah melangsungkan perkahwinan hampir dua puluh lapan tahun itupun kamu nak beri kuliah ke juga?

     

    Ya!

    Jaja dah fikir betul-betul dan sudah membuat keputusan, umi.

    Ya!!

    Pro dan kontra, sudah tidak penting... dan Jaja sudah guna seluruh masa untuk membuat pilihan, abah.

     

    "JADI?" tanya abah dan umi serentak. Nini cuma menjadi pemerhati.

    "Jaja, perlu sokongan abah dan umi... perlu orang tua untuk melamar Din."

    Cermin mata abah melurut dari hidungnya, mata umi sudah tidak cukup kelopak lagi untuk menampung keluasan biji matanya yang membutang.

    "JAJA... abah perlu penjelasan."

     

    Penjelasan? Penjelasan yang bagaimana kalau semuanya sudah jelas. Premisnya tetap sama. Jaja suka dekat dia, dan Jaja ingin berkongsi hidup dengan dia. Dia? Cuma, dia yang Jaja belum pasti. Dan Jaja pun tidak tahu dia suka atau tidak pada Jaja. Tapi kalau abah dan umi sayang Jaja, tentu abah dan umi sedia membantu.

     

    "Apa yang terjadi? Ada dia buat apa-apa yang tak senonoh dekat Jaja, dan dia tidak mahu bertanggungjawab." Tanya abah. Untuk pertama kalinya, umi yang becok menjadi tidak terkata... dan abah yang pendiam menjadi becok pula.

     

    Buat apa-apa? Dia kenal Jaja pun tidak! Dan abah... dia tu alim bin warak, jalan pun tak pandang perempuan... walaupun pernah sekali matanya 'memanah' Jaja, tak sengaja. Dan sejak itu, Jaja percaya pada semua buku cerita... pada premis, memang cinta pandang pertama itu sungguh mengesankan! Gatal!

     

    "Okey, sebelum abah bertindak apa-apa... abah mahu Jaja cerita semuanya. Macam mana Jaja boleh bertemu dia. Dan kenapa pula dia tak kenal pun Jaja?" kata abah. "Jaja ni perempuan, dia lelaki... macam mana abah nak pergi merisik dan meminang dia, Jaja!" kata abah sudah semakin pening. Abah bercakap agak perlahan, bimbang Pak Ya tuan punya warung mendengarnya. Mereka duduk jauh daripada pelanggan lain.

     

    Nini yang tadi tidak tahu kepala ekor, jadi terkejut. Rupa-rupanya Burhanudin ni tidak kenal pun Kak Jaja. Kak Jaja ni memang pelik, dia ni pelik sangat. Sejak dulu, apa yang dia nak... semua dia dapat. Jadi mungkinkah kali ini dia peroleh apa yang dia nak? Nini mati akal. Tadi dia fikirkan hanya hal sekufu atau tak, kakaknya dengan anak ustaz tu. Sekarang ni rupa-rupanya sudah semakin serius:  anak ustaz tu kenal Kak Jaja pun tidak!

     

    Mahu tidak mahu, aku bercerita juga kepada abah, umi dan Nini. Cerita tiga tahun dahulu. Tetapi aku tidak akan menceritakan semuanya... aku shortcut dan edit di sana sini. Walaupun aku ni brutal lah juga, tetapi apabila datang bab hati ni... aku masih seorang perempuan. Ceritaku masih berbungkus silu, berbalut malu. Ewah! Sedapnya bahasa... tetapi dapatkah menyaingi kehebatan bahasa guru sastera Arab tu...?

     

    Lalu cerita aku bertitik tolak dalam tiga babak, boleh tak aku sambung kemudian? Sudah masanya aku membuat kerja ni, nanti kena tegur dek Din... dia marah pulak. Katanya, jangan curi tulang, bukankah keringat Jaja tu dibayar setiap sennya harganya. Keringat? Aku kan kerja dalam bilik yang ada penyaman udara... mana datang keringat ni? Walaupun waktu sudah melepasi dua belas tengah hari, aku tetap belum berkeringat. Tetapi syurga bagi seorang isteri, di bawah tapak kaki suaminya... aku menurut saja. Aku di KL, Din di Parit Buntar... tetapi, Allah nampak kalau aku tidak taat kepada Din!

     

    [Bersambung]  
    ________
    Catatan:

    Terima kasih pada yang sudi memberi komen, maaf kaksu masih belum ada waktu membalasnya, masih terikat dengan tugasan Paduka Ratu. Kata-kata semangat itu, membuat kaksu menulis lagi n3 kedua ni, sebagai tanda kasih daripada kaksu... selamat membaca ya, juadah yang kurang berperisa...



    Posted at 3:41 am by noorsoraya
    Comments (24)  

    Monday, October 22, 2007
    I ~ JAJA MENANTU CHE' PA

    EPISOD 1  

    AKU, DIA & KAMI

     

    Kata orang cinta itu buta?

    Selalu dah duk hafal premis tu... sehinggalah aku bertemu dia

    Sekarang ni aku sedang buta... kerana memilih dia, bukannya orang lain

     

    Kata orang cinta itu meruntuhkan dinding rasa

    Tak pernah percaya kata-kata tu... sehinggalah matanya merenung aku pagi itu

    Mulai saat itu, aku rasa hati aku sudah sesat tiada jalan pulang

     

    Kata orang cinta paling agung... cinta Layla kepada Majnun

    Hampir saja percaya dengan kata-kata itu... sehinggalah aku memilih dia!

    Cinta Jaja pada Din tu lah yang teragung... Cinta Din pada Jaja? Huh, tak tau lah!

     

    Cerita ini, sebuah cerita biasa, tetapi aku sengaja menjadikannya luar biasa kerana aku menyukai dia lebih banyak daripada dia menyukai aku! Itulah yang aku rasa. Aku Si Jaja terpaksa menebal rasa untuk melamarnya... rasanya spesies macam aku yang hidup dengan ego tak pernah susut, tak mungkin pernah melakukan perkara begitu dalam kurun mana pun... TETAPI itulah yang telah aku lakukan. Memalukan... tetapi tak kisah, asalkan aku dapat kahwin dengan dia. Hhm, JAJA!!! Sungguh mengaibkan, premis mu itu.

     

    Hmm... macam mana nak mulakan cerita ni ya? Sebab cerita ni tidaklah sesusah mana, tetapi sengaja aku susah-susahkan juga apabila ramuan hati dan perasaan aku 'gaul' sekali sebagai wadah cinta. Aku tidak boleh berharap lebih... kerana cintaku seluas lautan tanpa sempadan sedangkan kasih dia... aku tak ukur lagi! sedih, sedih!

     

    Tetapi aku nak bercerita juga. Aku memang suka bercerita... aku suka cakap banyak, agaknya kerana itu dia tidak menyukai aku... kerana dia seorang yang pendiam... pendiam sangat... pendiam macam semut, eh ada ke peribahasa begitu?

    Jadi macam mana aku nak mulakan? Mungkin aku boleh cerita fasal 'aku', 'dia' dan kemudian 'kami'?

     

    Aku

    Nama aku Faiza. Faiza anak Doktor Badrul Hisyam. Tetapi sejak kecil semua orang panggil aku Jaja. Menjadi kakak sulung kepada tiga lagi adik, Nini (Marini), Lala (Adila) dan Wassim.  Wassim tu anak kesayangan umi, semua dia buat... semuanya betul. Maklumlah anak lelaki seorang. Aku pun disayangi umi, aku anak sulung umi... aku lahir sewaktu abah dan umi masih menjadi doktor siswazah di Hospital Besar Alor Setar lagi. Aku ni macam, hmmm... kenangan yang tidak mungkin dilupakan... kononlah tu, aku ni tanda mata cinta mereka yang pertama. Chewah.

     

    Aku ni menjadi anak buah kesayangan ramai, terutamanya Uncle Aqmar, teman baik abah dan umi sejak sekolah tu. Kemudian aku ni juga cucu sulung untuk Tok dan Nenek. Jadi faham-faham ajalah... kedudukan aku sebagai anak sulung tujuh keturunan. Sejak kecil aku selalu aja menang dan suka membuli adik-adik aku, Nini dan Lala. Lalu sejak kecil, aku mudah sahaja dapat apa yang aku nak. Abah dan umi tak pernah berkira... hidup aku tahu gembira sahaja dua puluh empat jam... sehinggalah aku bertemu dia!

     

    Dia

    Nini ketawa tak cukup mulut apabila aku beritahu, aku nak kahwin dengan anak Ustaz Mustafa a.k.a Ustaz Pa'. Nama dia Burhanuddin. Amboi, nama dia... macam ciri-ciri orang mengaji di Pondok Gunung Semanggol tahun enam puluhan sahaja, kata Nini. Kalau tidak fikirkan aku di tempat awam, mahu sahaja aku stapler mulut Nini biar dia tak boleh bernafas terus.

     

    Aku bercerita lagi. Dan ini bahagian yang Nini tidak tahan, "Dia kerja sebagai guru sastera Arab di Parit Buntar." "Guru sastera?" Nini sudah terkejut tak tahu bertingkah.

     

    "Kak tahu tak, kak kerja apa sekarang ni? Kak tu Media Planner di Universal McCann tau... bukannya jual Yong Tau Fu dekat medan selera sebelah Kak Bedah tu!"

    "Kalau jadi Media Planner, kenapa?"

    "Kak tak boleh suka-suka hati nak duduk Parit Buntar... dia yang kena pergi KL. Dia nak ke, hidup di KL... dia tu orang Baling la kak. Dia tu lepasan Universiti al-Azhar pula tu."

     

    Hish, adik aku yang sorang ni... memanglah tak boleh diharap, bukannya nak menolong beri semangat... nak berkongsi masalah pun dia dah surrender. Tak pernah ada benda yang positif diharapkan keluar dari mulutnya yang comel tu.

    "Habis nak kak jadi macam Nini, kerja guru... nak kahwin dengan guru... dah tu satu sekolah pula tu. Macam sempitnya dunia." Kata aku, mengejek Nini yang baru bertunang dengan rakan sekolah menengahnya dulu, yang kebetulan pula mengajar sama-sama dengannya di Kuala Nerang.

     

    Apa salahnya Media Planner nak kahwin dengan Cikgu Sastera Arab... kat mana salahnya? Aku menyoal dia berkali-kali.

    "Banyak masalahnya kak... percayalah cakap Nini. Dia anak ustaz!"

    "Awat, anak ustaz tak boleh kahwin dengan anak doktor ke? Kalau mak dia suri rumah, tak layak ke bergading dengan umi kita yang doktor tu? Umi okey apa, umi kan jenis open minded."

    "Tak sekufu...."

    "Kat mana?"

    "Menantu ustaz kenalah pakai tudung!"

     

    Aku diam, Nini pun diam. Sekian waktu selepas itu Nini bertanya:

    "Kat mana kak jumpa dia?" Dia macam sudah merestui pilihan aku, ataupun dia rasa serba salah mengores hati aku fasal menutup aurat tu. Aku membetulkan skirt labuh yang ditiup angin... menghirup teh tarik Pak Ya di gerai sebelah Pusat Pakar Perubatan Darulaman. Kami menunggu dengan sabar abah dan umi habis kerja... ingin aku khabarkan kepada mereka: "Jaja sudah ada pilihan hati!"

     

    ...jadi kat mana ya, aku jumpa dia? Spesies pakej lelaki terakhir Malaya ni aku jumpa kat mana?

     

    Kami

    Cerita kami bermula dari sini.... 

     

    [Bersambung] 


    Posted at 10:33 am by noorsoraya
    Comments (28)  

    Friday, October 19, 2007
    Novelet Akan Datang?

    Jaja Menantu Che Pa'

    Berapa orang yang masih ingat kepada Jaja ya? Ya, Jaja... anak sulung Kak As dan Abang Sham tu. Kak As mana ni? Oh, Kak As tu... Doktor Haslinda, kawan Lida... dalam Nyanyian Tanjung Sepi tu....

    Pernah seseorang memberi saran, tulislah fasal Jaja, kaksu... ewah, ada peminat juga Si Jaja ni. Pada tahun 2005 dulu, Jaja kan berkahwin dengan anak Ustaz Pa'... kerana tu lah, Kak Lida & Doktor Zainur serta anak-anaknya pulang ke Alor Setar. Dan itulah pertama kalinya, dia bertemu semula dengan Doktor Aqmar dan Kak Engku!

    Untuk pengetahuan ramai, Jaja tak balik beraya di rumah mertuanya pada tahun 2006 tu, sebab Ustaz Pa' dan Makcik Pipah berpuasa dan beraya di Mekah.

    TAPI tahun ini giliran Jaja... 'TERPAKSA' pulang beraya ke kampung suaminya tu... dan untuk itu, kaksu akan tulis fasal Jaja la...!

    Bagaimana ya, anak kesayangan Kak As ini dapat menyesuaikan diri menjadi menantu ustaz dan juga mak lang orang di kampung tu. Apatah lagi Jaja ni, bekerja di syarikat periklanan yang terkenal... o'o' :) :( 

    Cerita ni kaksu rasa tak sabar-sabar nak tulis semasa pulang ke kampung baru-baru ni... bagaimanapun sebaik sahaja sampai ke rumah sendiri, idea sudah susut... sebab itulah, orang suruh kita ikat idea dengan 'pena dan kertas'... bukannya biar idea tu terumbang ambing di kepala sahaja!

    Cerita sepuluh episod ni, kaksu akan tulis dengan motif sekadar suka-suka aja... sebab sekarang ni kaksu sedang sibuk dengan kerja-kerja urusan seri paduka, jadi kaksu perlukan selingan untuk diri sendiri...



    salam sayang,
    kaksu

    _____________

    Catatan:
    kaksu mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kerana tidak dapat membalas mana-mana SMS hari raya sepanjang kaksu bercuti di kampung. Sebab line 01* tu tidak ada pemancar.   


    Posted at 2:19 am by noorsoraya
    Comments (9)  

    Next Page