catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~
  •    

    << February 2011 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03 04 05
    06 07 08 09 10 11 12
    13 14 15 16 17 18 19
    20 21 22 23 24 25 26
    27 28


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing









    Who links to me?



    18 Sept. 2007


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Monday, February 28, 2011
    [2] - Gadisku, Wan Adnin

    1

    Cek Tak Kenal?

    hidup di dunia biar beradat; bahasa tidak terjual beli

     

    Memandang ke arah jalan, hati Adnin disalut sedih. Semalam Abang Wafi sudah pergi. Kenapa ya dalam keluarga ini, lelaki mudah sangat mengikut kata hati. Kenapa mereka yang seharusnya menjadi pelindung kepada wanita-wanita yang mereka kasihi, mengambil jalan mudah sahaja untuk melahirkan rasa duka lara. Susah sangat ke untuk menghadapi cabaran, lalu satu-satu jalan keluar ialah melarikan diri?

    Abah pergi setelah ibu pilih untuk bercerai. Ibu tinggalkan Adnin, abah pun sama tinggalkan Adnin. Dalam usia baru setahun tahun, Adnin sudah bagaikan anak yatim piatu. Adnin yang dalam usia masih menyusu, ditinggalkan tanpa belas kasihan. Singkatnya kasih ibu pada abah. Pendeknya sayang abah pada Adnin. Kurangnya cinta ibu pada Adnin.

    Mujurlah ada Tok Bonda. Bising-bising mulut Tok Bonda pun, dia menyayangi Adnin sepenuh hati. Cerewet-cerewet Tok Bonda pun, dia tidak pernah tinggalkan Adnin. Dia berikan seluruh kasih sayangnya untuk Adnin. Kasih yang tidak pernah abah dan ibu curahkan. Dia yang membesarkan Adnin sehingga dewasa begini. Dah 25 tahun pun usia Adnin, sehingga Adnin sendiri pun tidak boleh menjangka lagi bagaimana sudah raut wajah abah dan ibu sekarang ni.

    Gambar?

    Tok Bonda simpan semuanya, tiada sekeping pun yang ada dalam simpanan Adnin.

    Agaknya, mereka pun sudah tak ingat pada Adnin lagi. Harap-harap satu hari nanti terdetik juga di hati abah dan ibu untuk datang walaupun sesaat tengok Adnin di sini. Paling-paling hadir waktu Adnin kahwin. Kan abah harus jadi wali Adnin?

    ... tetapi Adnin hendak berkahwin dengan siapa? Siapa yang perasan Adnin ini wujud di  Negeri Kedah Darulaman ini? Sebaik sahaja keluar universiti dia terkurung di rumah nenek, tidak pernah ke mana-mana. Dia tidak pernah kenal siapa-siapa pun. Namun kata orang, kalau jodoh tidak ke mana. Biarpun ikan di laut, asam itu di darat... tentunya di dalam periuk bertemu juga. Itu kata oranglah...

    Sebenarnya, bukan dia hendak cepat-cepat berumah tangga. Tetapi dia tahu, inilah satu-satu caranya dia dapat bebas daripada belenggu Tok Bonda. Ya, belenggu... kalaulah boleh dikatakan demikian. Tetapi mana tahu kalau sudah keluar dari mulut buaya, dia terpaksa masuk ke mulut naga, lalu bagaimana? Astaghfirullah al-Azim, apa yang Adnin merepek ni.  

    "Adnin," suara Tok Bonda yang datangnya dari beranda rumah agam ini, bagaikan bunyi telefon bimbit bergetar. Perlahan tapi penuh wibawa.

    Petang-petang begini, lepas solat asar Tok Bonda akan melihat pokok-pokok di lamannya yang luas. Adnin meninggalkan tekat benang perak pada sarung bantal berbaldu biru tua. Adnin ingin segera mendapatkan neneknya. Pantang Wan Empuk, kalau cucunya lambat sampai.

    "Saya, Tok Bonda!" Suara Adnin perlahan sahaja mengiringi jalannya. Kalau Tok Bonda panggil, mesti dijawab dengan jawapan, 'saya' atau 'ya'... tanda taat, tanda hormat. Tak boleh nak senang-senang jawab 'ha' ke 'oi' ke... salah dalam tata adat Melayu. Itu pesan Tok Bonda, sejak Adnin boleh berkata-kata dan faham bahasa; sejak mumaiyiz.

    "Cek, kenal Akhtar?"

    Adnin tidak pernah buat muka pura-pura. Dia gadis polos yang tulus. 'Tahu', tahulah jawapannya. 'Tak tahu', tak tahulah jawabnya.

    "Akhtar?"

    Puas sudah dia 'muat turun' maklumat yang bersarang di mindanya, tiada maklumat yang sepadan. Kenalan lelaki yang dia tahu, boleh dikira dengan sebelah tangan pun tak habis.

    "Tadi ada lelaki nama Akhtar telefon, dia kata dia kenal cek." Mendatar sahaja suara Wan Empuk. Dia memang tidak suka jika ada mana-mana lelaki berani mengintai gadisnya.

    Selain panggil dengan nama rasminya sebagai Adnin, Tok Bonda akan gelarnya sebagai 'cek'. Cek itu bahasa halus bagi orang utara zaman dulu-dulu. Kadang-kadang Adnin malu juga kalau terpaksa membahasakan dirinya sebagai cek pada saudara-mara Tok Bonda.

    Tok Bonda selalu akan guna ganti nama itu untuk mengurangkan rasa tidak puas hati kepada cucunya itu. Kalau Tok Bonda sedang marah atau tidak puas hati, begitulah dia seru nama Adnin. Ada juga waktunya, kadang-kadang kalau dia ingin menunjukkan rasa sayang dan kasihnya pada Adnin, dia panggil cek juga. Maksudnya, 'awak' pada yang memanggil; maksudnya 'saya' pada yang berbicara. Cek itu untuk ganti nama diri pertama dan kedua sekali gus.

    Pelik bunyinya kan. Itulah, loghat Kedah ini indah, pada yang memahaminya. Loghat Kedah itu kasar pada yang tidak tahu menuturkannya.

    "Dia kata, dia sekelas dengan cek masa kat USM." Sambung Tok Bonda. Matanya masih memandang ke arah anggerik dalam pasu gantung di beranda. Ekor matanya mengerling ke arah cucu kesayangannya. Satu-satu cucu perempuannya.

    Anak Wan Empuk cuma dua orang, dan cucunya lima. Adnin ini buah hati intan payungnya. Pada Adnin dicurahkan seluruh kasih sayang. Pada Adnin dilengkapkan dengan budi bahasa dan kemahiran tekat-menekat. Jadi, bukan sembarangan kumbang dapat menyeri kembangnya ini. Adnin gadis yang dikurung dalam taman larangan.

    Adnin cuba memeras otak:

    Akhtar?

    Akhtar!

    Akhtar.

    "Tak kenal!" Akhirnya, Adnin mengalah.

    "Dia kata, hujung minggu ni dia nak mai." Mata Tok Bonda mencerlang tak senang.

    "Adnin tak kenal, Tok Bonda." Tegas Adnin. Kepalanya mengangguk entah kenapa. Matanya sudah berair, apabila lihat Tok Bonda bagaikan tidak percaya pengakuannya.

    "Tak apalah, Sabtu nanti kita tengoklah, cek kenal ke dak." Kata Tok Bonda, sambil tangannya menyembur air pada anggerik ungu pula.

    Adnin sudah takut separuh mati dengan kata-kata neneknya yang berbau ancaman. Akhtar mana pula ni? Awat nak mai pula ni? Nak mai buat apa pula ni? Adnin terus ke dalam bilik mencari buku istiadat konvokesyen, dua tahun yang lalu. Manalah tahu nama Akhtar ada di situ. Kalau ada dia akan segera telefon, Angah Su...!

    [Bersambung...]

    Catatan:

    (a) Latar cerita ini, di daerah Yan yang sungguh indah. Dulu-dulu kaksu selalu rancang dengan Enche Housemate kalau ada rezeki, hendak buat rumah kayu sama ada di Yan, Pantai Merdeka (Kota Kuala Muda) atau Sungai Layar (Sungei Patani). Boleh bela lembu dan kambing dan bercucuk tanam.

    (b) Pada sesiapa yang pernah melalui jalan lama (bukan lebuh raya); tentu pernah nampak Terusan Wan Mat Saman. Sayangnya, terusan itu sudah tidak cantik seperti waktu kaksu masih kecil. Yalah, sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi :(


    Posted at 12:13 pm by noorsuraya

    ryn
    March 16, 2011   09:26 AM PDT
     
    owh..tak sabar tunggu kemunculan akhtar yang misteri itu..

    jid, dalam tepak sireh nama akhtar memang wujud, tapi dah terovershadow oleh kaum kerabat yang 'gila kuasa'..muahaha...
    Jid
    March 9, 2011   06:38 PM PST
     
    Kak Su, Akhtar ni pernah wujud ka zaman cerita Tepak Sireh dulu? Sian Adnin kena dera..hehe..tapi jid pun hilang ingatan juga pasal kewujudan Akhtar nih...hehe..
    kaksu
    March 7, 2011   03:24 AM PST
     
    Jidah,
    lagu ni Tok Bonda akan dera Adnin Jidah oii :)

    Angah Su,
    doakan kaksu tau :)
    angahsu
    February 28, 2011   07:56 PM PST
     
    hati tgh berbunga2 kaksu, dpt baca update dr Kaksu..teruskan menulis yer.Sy sentiasa doakan melimpah ruah ide-ide kak su. Insyaallah..
    Jidah
    February 28, 2011   07:48 PM PST
     
    Tok Bonda, kesian la kat Adnin, jangan la buat lagu tu kat dia. Jenuh Adnin teriak sat gi.

    Dia bukan kenai pun si Akhtar tu.
     

    Leave a Comment:

    Name


    Homepage (optional)


    Comments




    Previous Entry Home Next Entry