catatkanlah rasamu di
BUKU TAMU
Noor Suraya


BUAT MENYAPU SI AYER MATA
adalah antologi cerpen-cerpen NOOR SURAYA sejak tahun 1985 - 2005:
  • Ajerah
  • Anak-anak Kongsi
  • ANA
  • Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...?
  • Cerita Semalam
  • Cinta Hajar Atiqah
  • Cukuplah Sekali
  • Fatimah Anak Perempuan Mr. Kong
  • Hati Zana
  • Maafkanlah Aku, Adibah!
  • Sayang Emak, Zeti!
  • Sepucuk Surat Cinta dari Lembah Kundasang

    Jemput ke...
    Rumah Kecil Tiang Seribu
    Nyanyian Tanjung Sepi

    Ulas Buku:
    Seribu Satu Malam


    Penerbitan
    Jemari Seni Publishing



    E-Novel
    NOOR SURAYA
    @kaksu

    KeBUN MiMPi...


    SURAT UNGU UNTUK NUHA

    edisi cetak

    ~ titipkan pesan buat J@J@
    di jendela ini...~
  •    

    << October 2007 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03 04 05 06
    07 08 09 10 11 12 13
    14 15 16 17 18 19 20
    21 22 23 24 25 26 27
    28 29 30 31


    Bacalah 10 Bab Dulu
    J@J@ & DIN




    Oktober 2009
    [1][2][3][4]
    November
    [5][6][7][8][9][10]


    tudung periuk pandai menari,
    menari lagu putera mahkota;
    kain yang buruk berikan kami,
    buat menyapu si ayer mata....


    NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB




    KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


    "Jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati, Ain."
    [Nik Ahmad Adam]




    BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



    "Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan."
    [Abdul Fattah]




    RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



    "Pabila berkata tentang cinta, kita bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
    [Dr Farhana Haji Abu Bakar]




    TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



    "Asap api embun berderai,
    Patah sayap haluan perahu;
    Niat di hati tak mau bercerai,
    Kuasa Allah siapa yang tahu?"



    GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing









    Who links to me?



    18 Sept. 2007


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed




    Wednesday, October 10, 2007
    II - Surat Bersampul Perang

    BAB TIGA PULUH



    IMRAN MEMAIN-MAINKAN anak kunci kereta sambil menunggu Najaah memakai kasut.  Mereka berdua akan ke Pasar Ramadan untuk membeli kuih dan makanan untuk berbuka puasa.  Nafisya dan Nuha mengikut Ilham menghantar Puan Darawisah ke Seremban sejak pagi tadi dan belum pulang-pulang lagi.  Kalau Ilham tidak pulang dan berhasrat untuk buka puasa di Seremban, Imran bercadang hendak ajak Najaah buka puasa di restoran saja. 

    Tiba-tiba last minute tadi Ilham telefon mereka sudah dalam perjalanan pulang.  Kenapa tak buka puasa di rumah Idayu saja?  Ilham, Ilham... susah betullah dia ni sorang.  Alasannya, kesian dekat Najaah nak berbuka puasa tak ada teman.  Habis aku ni siapa?  Takkanlah aku tak beri Si Najaah makan.  Alasanlah tu, tak nak berbuka rumah Idayu.  Macamlah air di Seremban tu ada virus apa-apa....

     

    "Najaah kenapa tak pakai kasut yang pak long beli hari tu... kasut ni kan dah koyak, kalau hujan nanti kembang kaki."

    "Sayanglah pak long, tu kan kasut raya."

    "Eh, siapa kata kasut raya... tu sneakers saja... kan kalau kasut untuk raya, papa Najah mesti beli kasut tinggi yang berwarna-warni."  Perli Imran. 

    Najaah suka betul pakai kasut tinggi, berwarna-warni serta beropol-ropol pula... dia akan berlagak seperti tuan puteri.  Warna merah jambu terang tu, warna kesukaan dialah. 

     

    Setiap kali Ilham nak beli kasut, pasti dia terpaksa berperang dengan anak tengahnya tu dulu.  Dalam banyak hal, Najaah ni jenis penurut.  Tetapi dalam hal kasut... dia sanggup mogok tak senyum tak ketawa berhari-hari dengan papanya.  Najaah, Najaah apalah yang seronoknya pakai kasut tinggi dan berwarna-warni seperti gula-gula tu.

     

    "Kat atas.  Dalam bilik."

    "Ambillah cepat.  Nanti hujan susah nak pergi ke Pasar Ramadan tu... jam pula."

    "Najaah tak laratlah pak long, Najaah kan puasa ni."  Katanya merenggek manja.

    Dari pagi tadi dia dah begitu, sehingga papanya ajak ikut hantar nenek ke rumah Mak Su Idayu pun, Najaah tidak mahu.  Padahal, dia ni jenis yang suka berjalan.

    Kasihan pula Imran memandang Najaah, budak baru nak belajar berpuasalah katakan.

    "Kat mana, biar pak long ambilkan."

    "Dekat atas," kata Najaah yang masih terbaring di atas sofa semula.

    "Aduh, dah lembik macam sotong dah... anak buah pak long ni."  Kata Imran sambil berlari ke atas. 

     

    Mana pula dia letakkan kasut tu?  Imran mula mencari kotak kasut tu merata-rata.  Mulanya di bawah katil kemudiannya dalam almari.  Tetapi dia tidak menemuinya.  Di mana pula dia simpan kasutnya itu, macamlah benda berharga sangat sampai mesti disorok bukan-bukan.  Selepas itu barulah Imran nampak kotak kasut yang terletak di tepi bantal tidur Najaah.  Aduh, kasut pun nak letak dekat katil... lucu betullah Si Najaah ni.  Imran segera mengambil kotak tu, lalu dibukanya. 

    Alah, bukannya kasut ... lukisan dan kertas-kertas conteng Najaah sahaja.  Imran nampak gambar dirinya yang dilukis oleh Najaah.  Tak cantik sangat lukisan Najaah, tapi Imran tahu itu dirinya.  Di tepinya tertulis: Pak Long Imran yang Najaah paling sayang.  Alah, semuanya mesti dilabelkan... tapi Imran seronok melihatnya.  Imran ada enam orang anak saudara... tetapi Si Najaah adalah anak buah kesayangannya.  Hmm, ada gambar pemandangan juga di situ.  Najaah ni pandai juga melukis dan suka berimaginasi, mungkin Imranlah yang banyak mempengaruhi kecenderungannya itu....

     

    Ketika membelek-belek itulah Si Imran terkejut apabila ada sampul surat yang terjatuh.  Sampul surat itu warna perang, seperti surat rasmi aja... tetapi ada gambar kartun pula di tepinya.  Amboi, sejak pandai menulis ni... bukan main lagi Si Najaah ni, dah pandai tulis surat.  Kepada siapa ya?

     

    Kepada,

    Tuhan - Syurga

     

    Tulis Najaah yang besar-besar seperti butir jagung itu, sungguh-sungguh membuat Imran digoda dengan perasaan ingin tahu apakah kandungan isinya.

     

    Lalu surat yang pertama dibukanya dengan cermat.  Surat itu belum digam.  Ada tarikhnya di situ, jadi Imran mula membaca dari awal mengikut tarikhnya.  Kerana penerima bagi ketiga-tiga surat itu adalah sama.

     

    Tuhan,

    Kepada Tuhan yang mendengar doa anak-anak kecil seperti saya.  Saya ingin meminta sesuatu daripada Tuhan.  Boleh tak Tuhan beri pada saya seorang mama?   Saya suka kalau Achik Anah, yang baik tu jadi mama saya.  Tahun lalu kami makan di rumahnya, dia masak nasi tomato yang sedap.  Dia tak marah pun bila bagi pecah pasu bunga di rumahnya.  Tahun dahulu saya belum pandai menulis lagi.  Sebab itu surat ini saya lambat hantar pada Tuhan.

     

    Yang benar,

    Najaah binti Ilham.

     

    Imran jadi kelu, tidak tahu nak berkata apa-apa.  Apa yang tak kena dengan anak-anak Ilham ni.  Ilham selalu kata mereka normal seperti anak orang lain, tetapi rupanya tidak.  Najaah memang rindukan seorang ibu.

     

    Tuhan,

     

    Ini surat saya lagi.  Saya tidak tahu macam mana nak pos surat pun.  Saya takut sangat orang tahu saya tulis surat kepada Tuhan.  Saya telah jadi budak yang baik tiap-tiap hari.  Sebagai contohnya, semalam saya tolong picit kaki nenek, dia sakit.  Boleh tak saya dapat hadiah?  Hadiah yang saya mahu ialah seorang mama.  Saya mahu Achik Anah, umi kepada Kakak  Zetti tu jadi mama saya.  Boleh lah Tuhan.

     

    Yang benar,

    Najaah binti Ilham

    Tahun Satu Anggerik.

     

    Ilham baca lagi surat yang seterusnya.

     

    Tuhan,

     

    Pak Long pernah bertanya, dalam semua anggota badan yang kami ada, apa yang kami sayang sekali, dan kalau boleh kami tak nak beri pada orang.  Kak Sya kata, dia sayang suara dan telinganya... kerana tanpa mulut dan telinga kita akan jadi macam Adik Nuha.  Kak Sya kesian kepada Adik Nuha.  Kata Kak Sya kalau boleh tukar, dia  nak Adik Nuha ambil telinga dan suaranya.  Kak Sya kata dia sudah lama mendengar dan bercakap, jadi dia tak rasa apa-apa lagi kalau dia boleh tukar dengan Adik Nuha yang bisu dan pekak itu.  Baiknya hati Kak Sya.

     

    Betulkah kita boleh tukar barang yang kita sayangi untuk dapatkan sesuatu yang lain?  Tuhan, saya sayangkan mata saya.  Kerana dengan mata saya dapat lihat, papa, pak long, nenek, Kak Sya dan adik.  Saya boleh lihat pemandangan yang cantik-cantik dan saya nak lukis pemandangan yang cantik-cantik itu.  Tuhan, pak long akan kahwin dengan Achik Anah.  Ini memang rancangan Kak Sya dulu.  Tapi sekarang Kak Sya pun tak setuju kalau pak long kahwin dengan Achik Anah.  Tapi dia tak berani cakap. 

     

    Pak long tak suka budak kecil campur hal orang tua.  Jadi Tuhan, kalau pak long nak tukar mata dengan saya dan kami pula boleh ambil Achik Anah sebagai ganti mama, saya sedia.  Tapi janganlah bagi saya rasa sakit bila saya bagi mata itu, saya takut lah.  Tuhan asalkan Achik Anah sanggup jadi mama saya, saya sedia beri mata saya untuk pak long.

     

    Tuhan surat ini kawan saya yang tolong tulis, sebab saya tak pandai tulis macam ni, panjang sangat.  Tapi apa yang dia tulis, saya yang kata.

     

    Yang benar,

    Najaah binti Ilham.

     

    Imran jadi sedih dan sungguh terharu dengan surat-surat Najaah.  Padanlah dia tidak nampak gembira pun apabila neneknya mengumumkan yang Imran akan berkahwin dengan Farhana.  Padahal Si Najaah ni suka pergi ke kenduri-kendara.  Najaah yang periang ni rupanya ada hati yang halus.  Semua orang kata dia seperti tak ada perasaan sedih.  Rupanya tidak.  Dia sedang menelan kesedihannya seorang diri.

     

    Patutlah baru-baru ni Najaah pernah bertanya kepadanya:  "Pak long kalau kita nak hantar surat kepada Tuhan... kita nak beli setem di mana?"

    Imran hanya ketawa dengan pertanyaan Najaah.  Tidak sangka Najaah sedang serius, dia sangkakan Najaah main-main.  Rupanya, Najaah betul-betul perlukan 'setem' untuk mengepos surat-suratnya itu.  Surat-surat yang disimpannya dalam sampul berwarna perang seperti surat rasmi.  Tetapi di sampul itu juga dia lukis sedikit gambar-gambar bunga dan watak-watak kartun kesukaannya di situ.  Aduhai, Najaah cuba menghantar surat bersampul perang untuk Tuhan.  Astaghfirullah, kesian Najaah.

     

    Bukankah aku pernah memberitahunya:

    "Tuhan itu Maha Mendengar, Najaah.  Najaah minta doa saja selepas sembahyang... ni pak long lihat Najaah liat aja nak sembahyang.  Mana Tuhan nak sayang kepada Najaah.  Dah tu tahun lalu suka ponteng puasa pula.  Najaah, Tuhan sayang pada budak-budak yang baik." 

     

    "Pak long jumpa tak?"  jerit Najaah dari bawah.

    "Tak adalah, Najaah... kat mana Najaah simpan?"  Imran segera menutup tudung kotak kasut itu dan letakkannya di tempat asal cepat-cepat apabila dia dengar tapak kaki Najaah di tangga.

    "Mana ya, Najaah tak tahu di mana."  Kata Najaah pura-pura mencari.

     

    Sebenarnya dia beri kasut itu pada Kak Fatehah, sahabatnya di sekolah.  Fatehah tu di darjah empat, tetapi mereka berkawan baik kerana mereka naik bas sekolah yang sama setiap hari.  Kenapa dia terpaksa beri kasut tu pada Kak Fatehah ialah:

     

                pertamanya, dia tidak suka kasut tu macam kasut budak sekolah saja kecuali warnanya biru tua dan jenis kainnya lebih lembut.  Dia lebih suka kasut tinggi warna merah jambu terang lah.  Tapi pak long tidak suka budak-budak pakai kasut macam tu. 

     

               keduanya, sebenarnya Kak Fatehah, budak yang pandai mengarang tu... mahu upah setelah dia tolong menulis surat yang panjang untuk  Najaah.  Kalau Najaah tidak beri hadiah, dia akan bocorkan rahsia Najaah kepada orang lain.  Mana Najaah ada duit!  Papa cuma bagi seringgit sehari.  Najaah tidak begitu pandai tulis surat yang panjang dan susah-susah begitu.  Tapi Kak Fatehah tu pandai mengarang.  Jadi kebetulan Kak Fatehah muat kasut itu... lalu kasut itu diberikan kepada sahabatnya itu sebagai upah.  Lagipun kaki Kak Fatehah tu kecil sahaja.

     

    "Tak apa lah, Najaah.  Nanti kita beli yang lain."  Imran pandang Najaah dengan sayu... kalau mata pun dia sanggup nak beri kepada aku untuk ditukarkan dengan Farhana, entah kasut tu kepada siapa-siapalah diberinya.

    "Najaah ada surat apa-apa tak nak di pos, sebab pak long nak singgah di pejabat pos esok."  Kata Imran pura-pura. 

    Selalunya sesekali ada juga surat yang Najaah nak kirimkan kepada sepupu-sepupunya,  di Seremban.  Sejak pandai menulis ni bukan main cik kak sorang ni, asyik nak menulis surat sana sini.  Kadang-kadang tu nak bercakap dengan papa atau kakaknya pun, dia main tulis-tulis surat.  Bila kita perli dia, Najaah akan kata; ini caranya apabila Najaah nak cakap dengan Nuha nanti, ni practise lah pak long. 

     

    Imran jadi serba salah, sedih pun ada... nak ketawa pun ada, simpati pun ada...  Najaah, Najaah ada ke dia tulis surat kepada Tuhan.  Rupanya susah betul nak besarkan anak-anak perempuan tanpa ibu mereka.  Itu yang perlu dia bincangkan dengan Ilham.  Janganlah lagi pentingkan diri sendiri, dia mesti fikirkan tentang anak-anaknya.

     

    "Pak long... kalau Najaah nak pos surat kepada Tuhan, setemnya berapa ringgit?"

    "Najaah bagilah surat tu dulu, nanti pak long belikan setemnya."  Kata Imran. 

    Dia bercadang selepas ni dia nak bercakap dari hati ke hati tentang hal ini.  Najaah perlu diberi penjelasan lengkap tentang konsep ketuhanan.

    "Najaah hutang duit setem dulu, nanti bila Najaah dapat duit raya... Najaah bayar ya."  Kata Najaah dengan gembiranya.  Mak Su Idayu dan Pak Su Chairil dah janji nak bagi duit raya yang banyak kalau dia habis puasa tahun ni... lima puluh ringgit, syoknya.

    "Tapi Najaah, kenalah berdoa kepada Tuhan apabila nak minta sesuatu kerana Allah itu Maha Mendengar.  Allah itu tahu apa yang ada di dalam hati kita, Najaah.  Kalau Dia tidak beri sekarang, Dia akan memberikannya kemudian.  Kalau Dia tidak beri yang ini, mungkin juga... insya-Allah, Dia beri yang lain sebagai gantinya."  Kata Imran.

    Dia sangat berharap Najaah faham apa yang diperkatakannya.  Kata-katanya tidaklah terlalu sukar untuk difahami oleh seorang budak darjah satu, dia kira.

     

    Najaah mengangguk.

    "Dulu, pak long juga berdoa minta-mintalah pak long ada anak saudara yang comel dan baik... namanya, Najaah... lalu Tuhan betul-betul mendengar doa pak long."  Najaah tersenyum dengan kata-katanya.

     

    Dia tahu, pak long memang sayang kepadanya.  Malah kata nenek, namanya pun pak long yang pilih.  Nama Kak Nafisya dipilih bersempena nama nenek mama.  Jadi tentulah Najaah ni istimewa di hati pak long, sebab namanya pilihan pak long.  Najaah sendiri tahu pak long lebih sayang kepadanya berbanding Kak Sya.  Dia pun ada hobi seperti pak long suka melukis.  Pak long selalu kata Najaah ni anak pak long kepada kenalan pak long, apabila dia ikut pak long ke mana-mana.  Dia memang sayang akan pak long.  Selepas papa, dia memang sayang kepada pak long. 

    Sebenarnya, dia bukan tidak mahu Achik Anah menjadi mak longnya, cuma dia lebih senang kalau perempuan yang baik itu menjadi mamanya terus.

     

    "Cepatlah, mana surat-surat tu?"

    Najaah mengeluarkan surat dari kotak kasut itu tanpa ragu-ragu lagi dan Imran pula pura-pura tidak tahu apa-apa pun.

    "Pak long jangan lupa pos ya, penting ni.  Kalau boleh Najaah nak surat ni sampai sebelum raya.  Boleh buat pos laju tak?"

    "Ya, sayang."  Imran tidak tahu nak kata apa-apa lagi.

     

    Kalau cinta itu boleh ditunjukkan dengan rupa, Farhana adalah rupa untuk mengungkapkan istilah 'cinta' itu! 

    Tetapi tegakah aku untuk merampas dia daripada Nafisya dan Najaah.  Apatah lagi dari Nuha yang tidak pernah diberi kesempatan untuk meluahkan seribu rasa yang terpendam dalam dadanya itu.

     

    Tuhan bagaimana aku dapat mengambil Farhana sebagai isteriku sedangkan anak-anak Ilham lebih memerlukannya lebih daripada aku! 


    _______________

    Catatan:

    Assalamualaikum,
          Kaksu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Syawal. Semoga kita dipanjangkan usia untuk bertemu lagi dengan Ramadan pada tahun akan datang. Amin. Maafkan kaksu atas segala salah dan silap; juga mana-mana yang terkasar bahasa lalu mengores rasa... apatah lagi canda yang mencalar hati...

    Terima kasih jua untuk sebuah ukhuwah yang manis :)


     


    copyright control @ jemari seni.com


    Posted at 1:52 am by noorsoraya

    pinkJambu
    October 11, 2007   09:10 AM PDT
     
    10x baca,10x mata pedih & basah *lap maskara yg dah comot kat mata*
    aura qaseh
    October 10, 2007   11:28 PM PDT
     
    Assalamualaikum kak su, dulu baca RMK ni tak rasa najaah ni cute tapi bila baca balik cute betul najaah ni & sy ucapkan selamat hari raya maaf zahir batin untuk kak su seluarga & untuk semua.
    wanAmalyn
    October 10, 2007   04:15 PM PDT
     
    kaksu...
    sob sob sob sedih la pulak... :'(

    selamat hari raya aidil fitri buat kaksu & keluarga... mohon ampun & maaf atas segala salah dan silap...
    nacha
    October 10, 2007   11:03 AM PDT
     
    iejay, nak bermadu dgn anim? silakan la. kita tak kisah. tapi patrick@taufik hidayat kita chop ya. sbb kan kami sama2 mata ijau. hehehe...
    kaknOOr
    October 10, 2007   10:52 AM PDT
     
    Amboi ijay ...hebatnya dia.....dulu nak bermadu dgn si nacha ni nak bermadu pula dengan kak anim.....
    Tepikan hero2 bujang kak su semuanya jadi rebutan .....
    Shema
    October 10, 2007   10:47 AM PDT
     
    Kaksu, selamat hari raya aidil fitri & maaf zahir batin.
    iejay
    October 10, 2007   09:28 AM PDT
     
    kak su kenapalah suka buat iejay nangis pagi2 buta ni?huhuhu...sedih baca part ni....

    x apalah abg imran, achik anah x ada, iejay ada... iejay ni masih single dan available....
    bujang terlajak pun bujang terlajaklah bang... yg penting architect...hahaha... abg kamal tu x pandang iejay pun, asyik pandang peach cobbler je...
    anim
    October 10, 2007   09:17 AM PDT
     
    em, anim pun suka part ni.. dok byg si kecik najaah yg chomel tu..

    abg imran, tak pelah jgn lah patah hati ..anim ada wat pengganti anah chewah!
    kak ee
    October 10, 2007   09:15 AM PDT
     
    bhgn yg paling menyentuh hati... kak su, baru ni balik alor star mkn laksa ... :)
    kaknOOr
    October 10, 2007   09:07 AM PDT
     
    Terima kasih kak su siarkan part yg paling kaknOOr minat.....Semalam balik buka RMK tanda buku betul2 kat page ni.....
    Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin untuk kak su sekeluarga dan juga warga kerja Jemari Seni.
    nacha
    October 10, 2007   08:51 AM PDT
     
    Kaksu, Selamat menyambut Lebaran utk kaksu & keluarga juga. semoga bergembira walau di mana juga berada.

    emmm.. tak perasan la. surat2 Najaah tu Imran pos kan kemana? dia x sampaikan kat Acik Anah ke? biar dia faham
    mar
    October 10, 2007   08:25 AM PDT
     
    sedihnya baca surat najaah.....teringatkan pulak cik kak kt umah tu pun selalu tulis surat...tp ibu dia x penah balas... huhuhu..x layak sungguh jd ibu mithali...
    notie
    October 10, 2007   07:56 AM PDT
     
    Kak su ada ke part dlm surat sampul perang yg tidak di warkan dlm RKM? Ingin menyelusuri hati2 anak2 ilham, luahan hati mereka membuat saya terharu.

    Selamat hari raya juga buat kaksu dan warga JS. Salah silap harap di ampun. Terima kasih jadi akak yg baik pada adik2mu yg nakai. *** raya comel cam baca buku pulak.
    Em
    October 10, 2007   05:29 AM PDT
     
    ni lah part favourite saya dlm RKM.
    what a brilliant idea! Thank you kaksu
     

    Leave a Comment:

    Name


    Homepage (optional)


    Comments




    Previous Entry Home Next Entry